Daki gunung bawa bendera, NYC tanam semangat patriotik 85 belia | DagangNews Skip to main content

Daki gunung bawa bendera, NYC tanam semangat patriotik 85 belia

Peserta perkhemahan NYC tiba di puncak Gunung Datuk, Kota di Rembau, Negeri Sembilan.
oleh MUHAMMAD ALIEF HAKIMIE RAMLI

DEMI menanam sifat patriotik dalam diri, 85 orang belia serata Malaysia yang menuntut di universiti tempatan dan luar negara seperti Mesir dan Jordan menyertai acara Perkhemahan Belia Nasional (NYC) di Gunung Datuk, Kota di Rembau, Negeri Sembilan baru-baru ini.

 

Acara yang dianjurkan oleh Pertubuhan Pemimpin Sukarelawan Malaysia (YOSH) dan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) itu berlangsung selama tiga hari dua malam.

 

Pelbagai aktiviti menarik disediakan dengan acara utamanya ialah mendaki gunung setinggi 884 meter yang memerlukan peserta melakukan perjalanan sejauh dua kilometer dari titik mula sehingga ke puncak Gunung Datuk.

 

Beberapa belia yang tiba di puncak Gunung Datuk, Rembau Lebih menarik lagi apabila para peserta perlu mendaki gunung tersebut dengan membawa bendera negeri kelahiran masing-masing yang terdiri dari semua 14 negeri di Malaysia termasuklah Sabah, Sarawak, Perlis dan Johor.


 

nyc

 


Wakil belia dari Tawau, Sabah, Mohd Asran Lataga, 25, berkata, pengalaman bersusah-susah membawa bendera negeri Sabah ke puncak Gunung Datuk memang tak dapat lupakan.

 

"Saya membayangkan bahawa saya menjadi wakil Sabah yang membawa maruah negeri saya sendiri ke puncak bersaing dengan pemegang-pemegang bendera negeri yang lain.

 

 

nyc
Mohd Asran Lataga (tengah) bersama empat belia dari Sabah dan Sarawak yang lain.

 


 "Sememangnya aktiviti seperti ini mampu untuk menyemarakkan lagi semangat patriotik dalam jiwa kami. Bendera sering diumpamakan sebagai maruah sesuatu tempat. Jika saya berpatah balik ketika menaiki gunung, maka maruah negeri Sabah akan tercalar," katanya yang juga merupakan Timbalan Mudir An-Nur Quranic Centre.

 

Manakala menurut wakil belia kelahiran Rembau, Negeri Sembilan, Nur Arif Aiman Abdul Kudus, 19, berkata, beliau telah mendaki gunung ini sebanyak dua kali sepanjang hidup.

 

"Namun saya dapat rasakan perbezaan antara pendakian sebelum ini dan yang hari ini. Kalau sebelum ini saya mendaki bersama keluarga dan tujuannya hanyalah untuk beraktiviti bersama keluarga di hujung minggu.

 

"Hari ini saya mendaki dengan satu tujuan iaitu bagi mengharumkan nama negeri kelahiran saya, Negeri Sembilan.

 

 

nyc
Arif Aiman semasa mendaki Gunung Datuk, Rembau bersama bendera negerinya.

 


"Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan semasa mendaki ini adalah kami didenda pumping kerana ahli kumpulan kami berpecah semasa mendaki dan tiba lewat di beberapa titik pemeriksaan (checkpoint). Ini sangat menguji daya ketahanan mental dan fizikal kami dan menyelesaikan misi-misi yang diberi," ujar beliau yang juga merupakan pelajar perubatan dari Universiti Sains Islam Malaysia.

 

Wan Imran Mahdi Wan Yusni, 22, Pengarah NYC 2022 menyatakan bahawa semua peserta yang menyertai NYC pada kali ini merupakan belia-belia yang terpilih dari sudut potensi, tenaga dan daya fikir kerana hanya belia yang mempunyai misi yang jelas sahaja yang mampu membuat perubahan dalam mendepani cabaran dunia yang semakin meningkat.

 

“Kami amat berharap agar lebih ramai lagi belia yang berjiwa besar dan berusaha menjadi ‘rahmatan lilalamin’ dengan menggunakan potensi, tenaga, dan daya fikiran mereka untuk sama-sama membentuk kesejahteraan masyarakat yang lebih baik,'' ujarnya. - DagangNews.com