Diuji dalam kehidupan? Mohon bantuan kepada Allah | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 2 December 2022

Diuji dalam kehidupan? Mohon bantuan kepada Allah

 

 

KEHIDUPAN manusia di dunia penuh dengan ujian dan dugaan dari Allah SWT. Setiap manusia pasti mengalami ujian dalam kehidupan masing-masing.

 

Hakikatnya, ujian dalam kehidupan mematangkan dan mendewasakan perjalanan kehidupan seseorang.

 

Orang sihat ada ujian, begitu juga dengan orang sakit. Orang kaya juga berhadapan ujian, begitu juga dengan orang miskin. Orang cerdik turut menghadapi ujian, begitu juga orang yang kurang cerdik turut menghadapinya.

 

Setiap ujian yang dihadapi sebenarnya boleh menjadikan diri seorang insan menjadi lebih kuat dan tabah dalam menempuh dan menghadapi kehidupan mendatang..

 

Terdapat beberapa kaedah dan langkah dalam Islam untuk menghadapi serta menyelesaikan ujian dalam kehidupan supaya tetap tenang dan sabar dalam situasi sedang diuji seperti berikut:

 

 

irsyad

 

 

1. Memahami dan menerima hakikat kehidupan adalah suatu ujian

Sewajarnya, seseorang yang menghadapi musibah dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional, positif dan yakin dengan ketentuan Allah SWT.

 

Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menghadapi ujian dan tekanan hidup melalui maksud firman-Nya: “Demi sesungguhnya! Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, (merasai) kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa (kehilangan nyawa) serta buah-buahan (kehilangan hasil usaha), dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar” (Surah al-Baqarah 155).

 

Ujian dan tekanan hidup adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, ketaqwaan, kesyukuran dan rasa cinta kepada Allah SWT. Apabila seseorang yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya berjaya menghadapi ujian dan tekanan dengan tenang dan berjaya.

 

2. Kembali kepada Allah SWT

`Kembali' dengan sentiasa mengingati dan memohon bantuan dan panduan dalam menyelesaikan permasalahan hidup. Solat, berdoa, baca al-Quran dan berzikir adalah amalan yang perlu dilazimi dalam kehidupan seharian sebagai terapi secara kerohanian untuk merawat penyakit tekanan dan kemurungan.

 

Allah SWT sentiasa mengingatkan manusia agar sentiasa mengingati-Nya bagi mendapatkan pertolongan sebagaimana dalam ayat yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat” (Surah al-Baqarah: 153).

 

Seterusnya, amalan berzikir seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih dan sebagainya merupakan amalan yang mampu menenangkan jiwa sebagaimana jaminan Allah SWT dalam ayat yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah, ketahuilah dengan zikrullah itu, dapat menenteramkan hati manusia” (Surah al-Ra’d: 28).

 

 

irsyad

 

 

3. Memelihara hubungan dan komunikasi yang baik bersama masyarakat di sekeliling

Masyarakat terutama ibubapa, ahli keluarga, sahabat serta jiran tetangga berperanan sebagai tempat meluahkan permasalahan dan membantu memberikan sokongan moral atau emosi dalam menghadapi ujian dan tekanan.

 

Perlakuan bersendirian adalah petunjuk atau pentanda kepada kecenderungan penyakit mental yang menyebabkan kurang berasimilasi, berkomunikasi dan berkongsi permasalahan bersama pihak lain.

 

Saranan Nabi SAW untuk membantu golongan yang menghadapi ujian dan tekanan terdapat dalam hadis yang bermaksud “Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia, maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat” (Riwayat Muslim, no. 2699).

 

Hubungan yang erat bersama ahli keluarga dan masyarakat sekeliling mampu meningkatkan pemikiran, emosi dan perasaan yang lebih seimbang dalam mencari solusi. Seterusnya berupaya merangsang semangat dan motivasi dalam meneruskan kelangsungan kehidupan.

 

4. Berusaha mengatur strategi dan langkah penyelesaian

Bersiap siaga dengan jalan keluar terhadap permasalahan yang dihadapi dengan bijaksana dan sabar dalam menyelesaikannya. Setiap permasalahan hidup pasti disusuli dengan solusi yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Setiap kesulitan pasti disusuli kemudahan” (Surah al-Sharh: 5) diulang sebanyak dua kali berturut-turut untuk memberi isyarat bahawa janji Allah adalah pasti dan benar.

 

 

irsyad

 

 

Kesimpulannya, segala permasalahan yang dihadapi perlu diselesaikan dengan pendekatan yang berlandaskan syarak. Yakinlah bahawa setiap masalah yang timbul, pasti ada solusinya dan Allah SWT sentiasa membantu.

 

Allah SWT tidak akan membebankan seseorang dengan sesuatu yang tidak mampu ditanggung kerana kasih terhadap setiap hamba-Nya.

 

Jadikanlah ujian dan cabaran hidup sebagai pengukuh kemantapan diri supaya menjadi manusia yang lebih cemerlang dalam mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

 

Hindarilah daripada terlalu mengikut perasaan yang akan menyebabkan tekanan jiwa dan melakukan tindakan di luar batas syarak seperti membunuh diri, pengambilan alkohol, dadah, perlakuan maksiat dan sebagainya. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BIN BHARI merupakan Ahli Jawatankuasa Wakaf dan Zakat, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk)
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD

Portfolio Tags