Kereta kebal ringan Sabrah buatan Israel aset baharu tentera Filipina, konsisten laksanakan pemodenan  | DagangNews Skip to main content

Kereta kebal ringan Sabrah buatan Israel aset baharu tentera Filipina, konsisten laksanakan pemodenan 

oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 27 Dis - Program pemodenan tentera negara jiran, Filipina terus berjalan mengikut dirancang apabila aset terbaharu iaitu kereta kebal ringan (light tank) mula diterima.

 

Kereta kebal Sabrah dipamerkan pada sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Filipina (AFP) Ke-87 di Kem Aguinaldo, Quezon City minggu lepas yang dihadiri Presiden Ferdinand R. Marcos Jr.

 

Difahamkan kereta kebal ringan ini akan menjadi aset  Divisyen Armor 'Pambato' yang penghantarannya adalah secara berperingkat-peringkat tahun hadapan.

 

Perolehan Sabrah bagi membentuk sebuah batalion tank di dalam divisyen armor tersebut.

 

Sabrah dibina oleh firma pertahanan Israel, Elbit Systems Land (Elbit) berkonsepkan modular pada kerangka kenderaan ASCOD bagi versi berunut atau kenderaan armor 8x8 Pandur II untuk versi beroda.


 

sabrah

 


Kedua-dua kenderaan ini buatan General Dynamics European Land Systems (GDELS) yang dibangunkan secara bersama dengan firma Elbit.

 

Kereta kebal ringan merujuk kepada kereta kebal dengan berat sekitar 20 hingga 25 tan yang diperanankan sebagai kenderaan peninjau dan menyokong operasi tertentu.

 

Dengan saiz kompak dan ringan, kereta kebal ini sebenarnya adalah pelengkap kepada peranan kereta kebal utama (main battle tank) yang lebih berat iaitu antara 50 hingga 60 tan.

 

Filipina bakal mengoperasikan 18 kereta kebal ringan Sabrah manakala 10 buah versi beroda menggunakan kenderaan armor 8x8 Pandur II pula.

 

Dua buah lagi adalah kenderaan pemerintahan dan kembalik.


 

sabrah

 


Tentera Filipina sebenarnya telah pun menubuhkan batalion tank pada tahun 1958 menggunakan aset-aset bekas kepunyaan Amerika Syarikat.

 

Bagaimana pun, fungsi kereta kebal dimansuhkan pada tahun 1961 disebabkan faktor kos lalu memberi tumpuan pada pengoperasian kereta perisai yang lebih menjimatkan.

 

Kumpulan pertama kereta kebal Sabrah telah pun tiba bulan ini dan sedang menjalani ujian penyesuaian sebelum diserahkan secara rasminya kepada pihak tentera Filipina.

 

Sabrah merupakan kereta kebal ringan berteknologi moden paling baik ketika ini dengan berat sekitar 30 tan.

 

Ia mempunyai kelajuan sehingga 70 kilometer (km) sejam dan dengan jarak pemanduan sehingga 500km.

 

Sistem suapan peluru pada meriam adalah secara automatik dengan setiap kereta kebal membawa 36 butir peluru pada satu-satu masa.

 

Pembelian kereta kebal ringan ini adalah menerusi program modeniasi Horizon 2 bagi melengkapkan AFP dengan aset-aset baharu.


 

sabrah

 


Filipina merupakan negara keempat mengoperasikan kereta kebal Sabrah selepas Austria, Sepanyol dan United Kingdom.

 

Perolehan secara terus menerusi perbincangan antara kerajaan dengan kerajaan ini yang mana tentera darat negara itu sangat memerlukan kelengkapan tempur yang canggih.

 

Pada Januari 2021, firma Elbit Systems Land telah mengumumkan kontrak berjumlah AS$170 juta bagi membekalkan kereta kebal ringan Sabrah kepada sebuah negara Asia yang tidak dinyatakan.

 

AFP mula melalui proses modenisasi secara sederhana tetapi konsisten selepas konflik di Marawi pada 2017 selain bagi mendepani isu keselamatan serantau.

 

Filipina kini berada pada penghujung pemodenan lima tahun menerusi perbelanjaan 300 bilion peso (RM23.9 bilion) bagi kelengkapan tenteranya yang lapuk.


 

sabrah

 


Ini termasuklah penggantian kapal perang dari era Perang Dunia Kedua dan helikopter yang digunakan Amerika Syarikat dalam Perang Vietnam.

 

Malaysia

Sepertimana Filipina, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mempunyai perancangan untuk memperoleh kereta kebal ringan bagi menggantikan aset terdahulu.


 

ATM
ATM berhasrat untuk memiliki kereta kebal ringan bagi melengkapi 10 Briged Para.

 


Dalam ATM, kereta kebal ringan dioperasikan oleh Skuadron Armor 10 Briged Para sejak pasukan ini ditubuhkan pada 1992.

 

Tunjang utama adalah kereta kebal ringan Alvis Scorpion buatan Britain dengan meriam kaliber 90mn Cockerill Mk III dan Stormer APC sebagai kenderaan pembawa anggota.

 

Scorpion dengan berat lapan tan asalnya kenderaan peninjau dan bukanlah kereta kebal tetapi ATM memilih agar dipasang dengan meriam 90mm untuk dijadikan kenderaan tempur.

 

Kereta kebal ini dibeli pada 1978 dan mula digunakan pada 1981 bagi penubuhan Rejimen Ke-11 Kor Armor Diraja (11 KAD) sebagai batalion tank.

 

Khidmat Scorpion ditamatkan setelah 11 KAD menerima kereta kebal PT91M Pendekar pada tahun 2008.

 

Pada Disember 2018 pula, 10 kereta kebal ringan Scorpion dalam briged para pula ditamatkan dengan perancangan untuk mendapatkan kenderaan tempur yang sesuai.


 

ATM
Penggunaan Scorpion memberi pendedahan pada ATM tentang operasi kereta kebal.

 


Sejak tempoh tersebut briged para kini menggunakan kenderaan tempur infantri MIFV K200, namun ia dilihat kurang bersesuaian dengan ciri-ciri pasukan atur gerak cepat.

 

Sebelum itu, ada cadangan untuk menaik taraf Scorpion bagi memanjangkan hayat kenderaan ini menerusi kerjasama ATM dengan syarikat tempatan pada tahun 2016.

 

Bagaimana pun, ia tetapi tidak menarik minat kerajaan selain dikatakan tidak ekonomik.

 

Jika bukan keperluan yang mendesak, maka ATM masih boleh membuat pilihan manakah kereta kebal ringan yang paling sesuai untuk dipilih menggantikan Scorpion. - DagangNews.com