Khazanah, Sunway Education jalin kerjasama program pendidikan percuma memupuk bakat mahir teknologi | DagangNews Skip to main content

Khazanah, Sunway Education jalin kerjasama program pendidikan percuma memupuk bakat mahir teknologi

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 Mac - Khazanah Nasional Berhad dan Sunway Education Group (SEG) jalin usaha sama untuk menubuhkan 42 Malaysia (42MY), sebuah sekolah sains komputer peer-to-peer untuk mempercepatkan pembangunan 10,000 bakat mahir teknologi dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

Program itu adalah sebahagian daripada gerakan global dengan rangkaian 47 kampus di 26 negara yang menawarkan peluang pendidikan unik secara percuma kepada individu berumur 18 tahun ke atas, tanpa mengira latar belakang pendidikan dan sosioekonomi, menurut satu kenyataan Khazanah hari ini.

 

Model pendidikan program ini inovatif dan boleh diperkembangkan bertumpu kepada pendekatan pembelajaran berasaskan projek secara peer-to-peer dan latihan industri menyerupai persekitaran kerja sebenar, memberikan para pelajar peluang mempelajari pengekodan sambil bekerja dalam projek industri sebenar dengan rakan korporat 42MY.

 

Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata, “Pelaburan ini selaras dengan komitmen kami dalam menyampaikan impak sosioekonomi melalui mandat Dana Impak kami, salah satu tonggak utama strategi memajukan Malaysia.

 

 

Datuk Amirul Feisal Wan Zahir
Datuk Amirul Feisal Wan Zahir

 

 

“Ketersediaan bakat adalah penting bagi pembangunan berterusan semua industri justeru 42MY akan terus memperkukuh ekosistem pemula dan teknologi domestik dengan memupuk serta membangunkan bakat, melengkapkan agenda pembangunan ekonomi digital negara dan mengukuhkan keupayaan IR 4.0,” katanya yang mengalu-alukan peluang kerjasama baharu.

 

Khazanah juga berhasrat melancarkan inisiatif lain dalam meningkatkan kemahiran dan kemahiran semula tenaga kerja tempatan melalui penggerakan sumber bakat kurang diguna pakai, misalnya melalui institut Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET), dalam usaha mencapai matlamat negara untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

 

Sementara itu, Pengasas dan Pemegang Amanah Yayasan Jeffrey Cheah, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata kerjasama tersebut dapat mengembangkan program 42MY ke seluruh Malaysia.

 

 

Tan Sri Dr Jeffrey Cheah
Tan Sri Dr Jeffrey Cheah

 

 

“Dengan pekembangan ini, kami dapat menyediakan pendidikan berkualiti kepada lebih ramai pelajar di seluruh negara di samping menemui dan memupuk lebih ramai bakat teknologi untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital di ASEAN,” katanya.

 

Kerjasama tersebut, katanya, menunjukkan komitmen SEG terhadap pembangunan negara dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, didorong komitmen daripada pelbagai pihak.

 

Yayasan Jeffrey Cheah memiliki dan mentadbir semua entiti di bawah SEG dan yang terbesar seumpamanya dalam memajukan pendidikan tempatan melalui model perusahaan sosial.

 

Di samping itu, Khazanah juga sedang membangunkan Inisiatif Semarak, iaitu rangka kerja penilaian impak yang menyatukan metodologi global namun disesuaikan untuk konteks tempatan. -DagangNews.com