Krisis perbankan AS tidak jejas penarafan bank Malaysia - RAM Ratings | DagangNews Skip to main content

Krisis perbankan AS tidak jejas penarafan bank Malaysia - RAM Ratings

KUALA LUMPUR 17 Mac - RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings) tidak melihat sebarang impak penarafan terhadap bank Malaysia daripada krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS) akibat daripada kegagalan Silicon Valley Bank (SVB) dan dua lagi bank lebih kecil lain di negara itu pada minggu lepas.

 

Agensi penarafan itu berkata di Malaysia, asas kredit bank kekal teguh  dan berdaya tahan disokong oleh pengawalseliaan yang kukuh untuk berdepan dengan peningkatan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global. 

 

“Berbanding dengan SVB, kami melihat perbezaan asas dalam perniagaan dan profil lembaran imbangan bank perdagangan di Malaysia. 

 

“Bank perdagangan domestik biasanya terlibat dalam lebih banyak aktiviti berian pinjaman berbanding bergantung kepada pelaburan bon yang terdedah kepada kemeruapan pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Bernama.

 

RAM Ratings berkata, perkadaran aset sistem perbankan domestik yang dilabur dalam sekuriti bon adalah kurang daripada 25% manakala sebaliknya 50% daripada asas aset SVB berada dalam sekuriti tersebut yang membawa kepada kerugian tidak direalisasi sangat besar di tengah-tengah kenaikan kadar faedah yang tinggi di AS.

 

Selain itu, kurang 40% (purata) pegangan bon dalam lapan bank utama Malaysia diklasifikasikan sebagai dipegang hingga matang (HTM), manakala selebihnya bagi perakaunan nilai saksama.

 

"Ini bermakna kerugian nilai saksama bagi sekuriti bon telahpun sebahagian besarnya dicerminkan dalam kedudukan modal bank.

 

"Sebaliknya, SVB mengklasifikasikan hampir 80% sekuriti bon sebagai HTM (hanya kira-kira 20% bagi perakaunan nilai saksama) menunjukkan bahawa kerugian tidak direalisasi masih belum dicerminkan dalam ekuitinya. 

 

“Bon HTM dibawa pada kos terlunas dalam lembaran imbangan memandangkan hasrat untuk memegang sekuriti ini hingga matang, jadi kerugian penilaian saksama tidak direkod dalam modal,” katanya. 

 

RAM Ratings berkata kerugian nilai saksama dalam bank Malaysia juga agak kecil, berikutan kenaikan kadar yang sederhana oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan strategi berhemat pegangan bon jangka pendek oleh bank sejak kebelakangan ini. 

 

Nisbah modal tier-1 ekuiti biasa industri perbankan domestik kekal kukuh pada 14.9% pada akhir 2022 daripada 15.5% pada 2021.

 

“Kerugian penilaian seterusnya, sekiranya berlaku, dijangka tidak teruk memandangkan pendekatan berhati-hati bank pusat dalam menaikkan kadar,” kata agensi itu sambil menambah bank di Malaysia kebanyakannya dibiayai oleh deposit pelanggan dengan butiran yang tinggi.  

 

Profil mudah tunai bank-bank juga kukuh dengan aset cair berbanding nisbah deposit kira-kira 20% dan pinjaman bersih berbanding nisbah deposit pada 88%.
 

Menurut BNM, bank domestik tidak mempunyai pendedahan langsung kepada ketiga-tiga bank AS tersebut.

 

“Penyeliaan berhemat bank pusat dan rekod prestasi yang baik - yang terbukti membantu dalam krisis kewangan sebelumnya - dijangka memastikan kestabilan kewangan berterusan sistem bank Malaysia,” katanya. - DagangNews.com