Mana janji reformasi? Soal Sin Chew, Nanyang Siang Pao | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 4 February 2023

MANA JANJI REFORMASI? Soal Sin Chew, Nanyang Siang Pao

 

 

PADA 24 November tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengambil alih kerajaan dan membentuk kabinetnya pada 3 Disember.

 

Kerajaan yang dipanggil ‘Kerajaan Perpaduan’ ini belum cukup 100 hari, tetapi banyak organisasi dan individu telah meminta untuk berjumpa, menghantar memorandum malah ada juga yang mengeluarkan kenyataan menuntut kerajaan baharu mengambil tindakan terhadap isu-isu yang mereka bangkitkan.

 

Baru-baru ini, Anwar juga tidak ketinggalan melancarkan slogan baharu ‘Malaysia Madani’ untuk menyampaikan falsafah pemerintahannya. Namun di sisi lain pula, beliau melantik anaknya Nurul Izzah sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada PM.

 

 

madani

 

 

Pelantikan yang telah menimbulkan kontroversi nepotisme. Ditambah pula apabila jawatan Menteri Kewangan juga dipegang oleh Anwar sendiri, yang mungkin ada pertimbangan kepentingan politik.

 

Perkara ini membuatkan orang ramai tertanya-tanya sejauh mana kesediaan kerajaan baharu ini benar-benar mahu melakukan reformasi.

 

Kontroversi lantikan anak

Melantik anak perempuan sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada dirinya sendiri dilihat sebagai tidak wajar dari segi moral.

 

Walaupun terdapat banyak alasan menyokong dan menentang pelantikan ini, namun tidak dapat menolak hakikat Nurul Izzah adalah anak PM.

 

Walaupun Nurul Izzah tidak dibayar gaji daripada duit rakyat, tetapi terdapat konflik serius dengan pelbagai janji reformasi Anwar sebelum ini.

 

Dalam keadaan Kerajaan Perpaduan yang masih belum berdiri kukuh, sudah pasti pelantikan ini ibarat membaling batu kepada diri sendiri.

 

 

madani

 

 

Sebagai seorang penasihat, sudah tentu individu itu adalah seorang pakar dalam bidang itu agar sepadan dengan gelaran.

 

Walaupun Nurul Izzah mempunyai kebolehan yang luar biasa, dia masih belum pakar dalam bidang ekonomi.

 

Jadi, ramai yang menganggap tindakan kronisme telah membunuh perjuangan reformasi Anwar dan Nurul Izzah selama ini.



Pengakhiran reformasi

Hari ini, permintaan rakyat adalah semakin tinggi. Mereka yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 tetapi tetap dilantik sebagai senator dan menteri telah menjadi kritikan dan dipersoalkan. “Tiada orang lain yang berbakat ke?”

 

Pelantikan secara langsung ini telah memberi bonus kepada pihak lawan mengemukakan hujah untuk menyerang Anwar Ibrahim.

 

Pada peringkat ini, penyokong Pakatan Harapan (PH) mungkin ada yang tidak bersetuju dengan pelantikan ini. Selain Nurul Izzah, masih ramai yang layak memegang jawatan ini dan Anwar Ibrahim sebenarnya tidak perlu mengambil risiko.

 

Pengakhiran perjuangan reformasi bukan sekadar menjadikan Anwar Ibrahim sebagai PM.

 

 

reformasi

 

 

Sebaliknya ia hanyalah satu titik permulaan untuk menunaikan segala janji reformasi agar sistem demokrasi yang sihat dapat diserahkan kepada generasi kita yang akan datang. 

 

Perlu masa untuk pembaharuan

Dalam hal ini, beberapa penyokong parti pemerintah lantas tampil mempertahankan kerajaan baharu. Bahkan menggesa orang ramai bertenang dan memberi lebih banyak masa kepada kerajaan baharu. Antara alasan yang akan kita dengar termasuklah:-

 

  1. Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan gabungan besar, di mana parti-parti politik yang membentuknya mempunyai falsafah yang sangat berbeza dan masing-masing mempunyai manifesto pilihan raya sendiri.

  2. Kerajaan Perpaduan ini tidak pernah mempunyai pengalaman kerjasama secara formal.

  3. Kerajaan ini adalah sangat ‘rapuh’ kerana banyak tekanan politik dan titik perpecahan. Perbalahan dalaman UMNO masih sengit dan akan datang bakal menghadapi 6 Pilihan Raya Negeri (PRN).

 

 

Oleh itu, penyokong-penyokong menyeru agar: “jangan terlalu risau dan jangan minta terlalu banyak. Biarlah kerajaan baharu menumpukan perhatian untuk meneruskan kerja dan menunjukkan pencapaian mereka kepada rakyat dan negara”.

 

Segera laksana janji reformasi

Memang benar, menunaikan janji pilihan raya dan melaksanakan pembaharuan boleh dilakukan pada bila-bila masa.

 

Tetapi, lebih cepat adalah lebih baik, jangan tunggu terlalu lama untuk menunjukkan kad laporan, kerana nanti rakyat akan mengkritik kerajaan tidak membuat kerja.

 

Jadi, 22 bulan pertama hasil kerajaan pimpinan PH boleh dijadikan sebagai rujukan bahawa pembaharuan politik boleh sahaja dilaksanakan dan tidak perlu tunggu orang lain.

 

Malah pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang pernah membuat kenyataan menggesa Anwar Ibrahim segera melaksanakan reformasi sistem kerana beliau tidak mungkin mempunyai masa lima tahun.

 

 

PH
Kerajaan PH 2018 tidak hidup lama berikutan tiada perpaduan. Bagaimana kerajaan hari ini?

 

 

Seandainya terlepas peluang keemasan yang dimiliki hari ini, adakah Kerajaan Perpaduan yang diketuai PH ini akan mengecewakan penyokongnya sekali lagi?

 

Kerajaan baharu seharusnya membiarkan rakyat merasai keazaman reformasi dan transformasi.

 

Hanya dengan cara ini boleh mencerminkan dengan lebih baik semangat berorientasikan rakyat dan mengutamakan prestasi. - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao dan Sin Chew Jit Poh 1-3 Februari 2023, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags