Matrade sasar bawa 150 syarikat ke CAEXPO 2023, intai jualan sehingga RM500 juta | DagangNews Skip to main content

Matrade sasar bawa 150 syarikat ke CAEXPO 2023, intai jualan sehingga RM500 juta

KUALA LUMPUR 17 Mac - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasar untuk membawa 150 syarikat ke Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) yang akan diadakan di Guangxi, China selain mengintai peluang jualan sehingga RM500 juta daripada acara berkenaan.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sharimahton Mat Saleh berkata, CAEXPO 2023 akan datang yang  merupakan edisi ke-20, telah membina reputasinya sejak beberapa tahun dan menjadi acara perdagangan yang sangat popular dalam kalangan pengeksport Malaysia.

 

“Sejak tiga tahun lepas, CAEXPO dianjurkan dalam bentuk hibrid yang mana hanya syarikat yang mempunyai wakil di China dibenarkan menyertai ekspo fizikal. Tetapi apabila ekonomi China dibuka semula tahun ini, syarikat yang tidak mempunyai wakil di China juga boleh mengambil bahagian.

 

“CAEXPO 2023 akan menjadi acara utama secara fizikal pertama di China, diselaraskan oleh Matrade sejak pembukaan sempadan pada 8 Jan 2023. Justeru, kami menyasarkan kira-kira 150 syarikat menyertai kami tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan promosi untuk CAEXPO bertemakan “Your Preferred Entryway To China Market” di sini hari ini, lapor Bernama.

 

Sharimahton turut berkongsi bahawa Pavilion Malaysia di CAEXPO 2023 bukan sahaja akan menampilkan makanan dan minuman, tetapi juga sektor-sektor berpotensi tinggi seperti kesihatan dan kesejahteraan, gaya hidup serta perkhidmatan seperti pendidikan, pelancongan, pelancongan perubatan dan logistik.

 

Matrade juga menyelaraskan beberapa siri aktiviti termasuk seminar, sesi padanan perniagaan, sesi penstriman langsung dengan pemimpin pendapat utama (KOL), persembahan seni dan budaya serta lain-lain semasa berlangsungnya acara itu, katanya.

 

Mengenai sasaran jualan, beliau berkata walaupun jualan tertinggi yang dicatatkan di CAEXPO ialah kira-kira RM700 juta, sasaran yang ditetapkan untuk tahun ini adalah munasabah memandangkan ramai pengeksport Malaysia masih dalam proses pemulihan daripada pandemik itu.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong dalam ucapannya berkata, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut.

 

“Saya percaya hubungan perdagangan dan ekonomi yang erat antara China dan Malaysia akan terus diperdalam dengan aliran barangan, perkhidmatan, orang dan idea.

 

“CAEXPO menyediakan platform untuk syarikat Malaysia meneroka potensi perdagangan yang luas di pasaran China,” katanya.

 

Beliau berkata, keadaan fizikal Malaysia semasa pasca-COVID-19 adalah penting untuk menilai pasaran, untuk melihat perubahan trend, cita rasa dan pilihan pengguna China, khususnya kelas pertengahan.

 

“China mempunyai sekurang-kurangnya 400 juta populasi yang dikategorikan sebagai kelas pertengahan dan mereka adalah kuasa besar pengguna China dan pasaran eksport utama di seluruh dunia.

 

“Mengambil bahagian dalam pameran seperti CAEXPO akan membolehkan rakyat Malaysia memahami pasaran eksport ini dengan lebih baik,” katanya. - DagangNews.com