MIDF Research positif terhadap sektor teknologi walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap sektor teknologi walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Okt - MIDF Research kekal positif terhadap prospek sektor teknologi walaupun sedang berdepan tekanan daripada kenaikan kadar faedah selain cabaran makroekonomi semasa.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, permintaan terhadap teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI) dan produk berkaitan kenderaan elektrik (EV) kekal tinggi dan ia adalah perkara utama dalam menyemarakkan ekonomi digital di peringkat global.

 

Katanya, industri semikonduktor sangat bergantung kepada kemajuan teknologi untuk perkomputeran.

 

"Hasilnya, kami kekal positif terhadap sektor ini kerana prospek jangka panjang yang kukuh dengan kombinasi penerimaan dan penyepaduan teknologi pintar yang semakin meluas merangkumi pelbagai industri selain aplikasi," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Berdasarkan laporan Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), jualan industri semikonduktor meningkat 0.1% kepada AS$47.4 bilion (RM219.82 trilion) pada Ogos 2022 berbanding AS$47.3 bilion (RM219.35 trilion) pada tahun lalu.

 

Firma itu berkata, sekiranya berlaku ketegangan geopolitik antara China dan Taiwan kesan daripada lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi pada Ogos 2022, Malaysia akan mendapat manfaat daripada gangguan rantaian bakal berlaku.

 

Katanya, kesan daripada konflik itu, kebanyakan syarikat multinasional akan memindahkan operasi mereka kepada negara yang tidak terlibat dengan sebarang ketegangan.

 

"Kami percaya syarikat seperti Inari Amertron Berhad, Unisem (M) Berhad dan Globtronics Teknology Berhad akan mendapat limpahan positif daripada penyaluran semula rantaian bekalan," katanya.

 

Firma itu berkata, Amerika Syarikat (AS) dijangka mengumumkan langkah baharu bagi menyekat akses firma China kepada teknologi pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

Katanya, undang-undang itu antara lain bertujuan bertujuan untuk menyekat akses China kepada teknologi semikonduktor yang canggih, kerana AS berhasrat untuk menyekat penjualan mikrocip buatan AS kepada AI China dan firma pengkomputeran super.

 

"Ini mungkin menyebabkan penubuhan pusat teknologi dan ekosistem  berbeza antara AS dan China. Walau bagaimanapun, kami percaya bahawa ini akan memberi sedikit kesan kepada semikonduktor Malaysia," katanya. - DagangNews.com