OPR naik, kenapa pembiayaan Islam saya juga naik? Ini penjelasannya | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 31 January 2023

OPR NAIK, KENAPA PEMBIAYAAN ISLAM SAYA JUGA NAIK? INI PENJELASANNYA

 


PENULIS menerima banyak pertanyaan mengenai kadar dasar semalaman (OPR), kadar asas (BR) dan kadar terapung kerana kenaikannya telah menyebabkan perubahan jumlah bayaran bulanan pembiayaan Islam kepada pelanggan bank. Oleh itu, dalam isu kali ini penulis ketengahkan 10 soalan yang kerap ditimbulkan mengenai perkara tersebut.

 

 


SOALAN 1

Difahamkan, sebelum ini pembiayaan Islam dikatakan tidak terdedah kepada risiko turun naik kadar keuntungan, berbanding pinjaman konvesional. Ini menyebabkan ramai yang membuat pembiayaan Islam seperti rumah dan kereta untuk mengelak risiko kenaikan kadar hutang jika ekonomi tidak bagus dan apabila OPR baik. Namun, apa yang berlaku, bila Bank Negara Malaysia (BNM) naikkan OPR, pembiayaan Islam juga dikatakan berubah sama seperti pembiayaan konvensional. Ini mengakibatkan pelanggan bank terjejas dengan kenaikan bayaran bulanan.

ULASAN

Semasa penubuhan Bank Islam pada 1983 sehingga 1993, kadar keuntungan pembiayaan Islam adalah tetap dan tidak terdedah kepada turun naik kadar keuntungan bank. BNM memperkenalkan pembiayaan secara kadar terapung setelah mengambil kira permintaan para pelanggan untuk membayar ansuran bulanan mengikut pasaran. Pada ketika ini kadar tetap adalah lebih tinggi daripada kadar efektif yang berlaku dalam pembiayaan kadar terapung. Dalam pembiayaan kadar terapung ini terdapat kadar efektif dan kadar siling. Kadar efektif adalah jumlah yang pelanggan kena bayar, manakala kadar siling adalah kadar maksimum pelanggan kena bayar.

 

 

gambar hiasan

 

 

SOALAN 2

Di manakah yang dikatakan bagusnya pembiayaan secara Islam ini apabila kadar keuntungan bank juga naik dengan kenaikan OPR? 

ULASAN

Pinjaman konvensional juga menawarkan kadar terapung ini. Namun, dalam kemudahan pinjaman mereka tiada had siling yang ditetapkan di mana kadar efektif boleh naik tanpa had. Pembiayaan Islam pada kadar efektif tidak akan sama sekali melepasi kadar siling yang telah ditetapkan di awal perjanjian.

 

 

SOALAN 3 

Bank yang saya kunjungi hanya menawarkan pembiayaan kadar terapung sahaja dan tidak ada pembiayaan kadar ytetap. Saya terpaksa ambil pembiayaan kadar terapung sahaja. 

ULASAN

Di Malaysia terdapat lebih daripada 30 bank yang menawarkan produk perbankan Islam. Kita boleh sahaja mengunjungi bank-bank lain untuk mendapatkan pembiayaan yang bersesuaian dengan kita.

 

 

gambar hiasan

 

 

SOALAN 4

Pernahkah kadar pembiayaan efektif bank mencecah kadar siling?

ULASAN

Kemungkinan kadar efektif mencecah kadar siling memang ada. OPR pernah mencecah lebih daripada 10% pada 1998 dan ia boleh berulang bila-bila masa.

 

 

SOALAN 5

Pada 2011 saya membuat pembiayaan sebanyak RM79,000 dengan kadar tetap 9% setahun. Setelah cecah 13 tahun saya dapati baki prinsipal pembiayaan saya sebanyak RM60,000. Saya terfikir mahu membuat pembiayaan semula sebab saya tertarik dengan bayaran kadar terapung yang lebih rendah sekarang berbanding dengan kadar 9% sebelum ini.

ULASAN

Pembiayaan semula akan menguntungkan bank. Jika ada keperluan mendesak, pelanggan boleh membuat pembiayaan semula ini. Kalau saja-saja hendak buat pembiayaan semula untuk mendapatkan tunai, saya sarankan untuk kita fikirkan dalam-dalam sebelum membuat keputusan. Kadar keuntungan tidak semestinya rendah selalu.

 

 

gambar hiasan

 

 

SOALAN 6

Adakah kadar efektif dan kadar siling itu BR?

ULASAN

Bila kita pilih pembiayaan Islam yang jenis kadar terapung ini (bukan kadar tetap), kita akan bayar ansuran bulanan mengikut kadar efektif. Kadar ini berubah-ubah menurut naik turun kadar asas, iaitu, BR (sekarang disebut SBR – kadar asas standard). SBR ditetapkan BNM mengikut naik turun OPR. Kadar siling pula ialah kadar maksimum para pelanggan kena bayar dalam pembiayaan. Untuk pinjaman konvensional, tidak ada kadar siling sebegini.

 

 

SOALAN 7

‘Kullu qordin jarra naf'an fahuwa riba'. Setiap hutang yang disertai keuntungan, maka itulah riba?. 

ULASAN

Al Baqarah 275. "Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan karena gila. Yang demikian itu karena mereka berkata bahwa jual beli sama dengan riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Barangsiapa mendapat peringatan dari Tuhannya, lalu dia berhenti, maka apa yang telah diperolehnya dahulu menjadi miliknya dan urusannya (terserah) kepada Allah. Barangsiapa mengulangi, maka mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya." Keuntungan dalam kes soalan 7 di atas ialah hutang daripada transaksi pinjaman. Keuntungan daripada hutang yang terhasil melalui transaksi jual beli seperti ayat Al Quran di atas dibenarkan.

 

 

gambar hiasan

 

 

SOALAN 8

Kita setuju keuntungan daripada transaksi jual beli itu halal. Contoh situasi, pelanggan membeli rumah terus daripada pemaju yang ada pilihan untuk beli secara tunai atau ansuran. Begitu juga, pengguna yang membeli kereta secara terus daripada syarikat pengeluar kereta. Ini kita setuju jual beli sebenar. Tapi jika pihak bank sebagai penjual dalam urusan ini, sedarlah bahawa itu hanyalah helah utk menghalalkan riba kerana bank adalah penjual yang tidak menerima tunai untuk jualan yang dibuat bank melainkan bayaran secara ansuran sahaja. Sedangkan fitrah peniaga itu pastinya transaksi tunai menjadi keutamaan.

ULASAN

Sebaiknya ialah pelanggan boleh beli rumah dan kereta secara tunai. Itu yang sebaiknya. Tetapi sekiranya pelanggan tidak mempunyai tunai untuk membeli  rumah dan kereta, jika memiliki rumah dan kereta itu adalah satu keperluan hidup, maka, di sini bank memainkan peranan untuk membantu menyediakan kemudahan berkenaan. Pelanggan ada pilihan untuk membuat pembelian secara tunai dengan menyimpan duit sedikit demi sedikit di dalam tabung buluh sehingga cukup, atau menggunakan kemudahan disediakan oleh bank. Kalau tidak mendesak, duit boleh disimpan sehingga cukup dan beli. Sebenarnya pihak bank menyediakan kemudahan kredit untuk keselesaan pelanggan mereka dengan tidak meminjamkan wang yang ada faedah kepada pelanggan. Mereka menggunakan kontrak-kontrak yang telah diputuskan patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS) BNM (terdiri daripada cendekiawan Islam yang diiktiraf seluruh dunia). Siapalah kita untuk menafikan pandangan mereka yang telah dimandatkan dalam Akta Bank Negara Malaysia 2009 untuk menentukan hukum halal haram transaksi bidang kewangan di Malaysia. Bagi saya mudah sahaja. Kalau tidak bersetuju, jangan ikut. Simpan duit dalam tabung buluh di rumah, sikit-sikit sampai cukup dan beli secara tunai terus daripada pemaju atau penjual kereta, tetapi jangan sama sekali menafikan hak sahabat yang lain untuk mengikut pandangan yang ditetapkan oleh MPS BNM.

 

 

gambar hiasan

 

 

SOALAN 9 

Saya ingin mempunyai kekeliruan mengenai riba. Secara ringkasnya saya memahami riba itu ialah mengenakan bayaran yang tinggi atas sesuatu urusan. Jadi, soalan saya ialah :

1. Berapakah tinggi kadar sesuatu bayaran/caj itu yang dikategorikan sebagai riba.
2. Bagaimana pula sekiranya (tidak pasti terjadi, mungkin ada) pinjaman konvensional itu, jumlah keseluruhan bayaran/caj tambahan dikenakan lebih rendah daripada pembiayaan Islamik (Bagi kategori pinjaman/pembiayaan yang sama bentuk dan nilainya).

ULASAN

1. Riba qard (faedah daripada kontrak pinjaman), walaupun hanya 1 sen, ia tetap riba. Lebihan daripada jumlah pokok pinjaman, sedikit mana pun, ia tetap riba.
2. Jumlah keseluruhan bayaran pembiayaan Islam kebiasaannya kurang lebih sama sahaja dengan jumlah keseluruhan bayaran pinjaman konvensional jika, jumlah fasiliti, kadar dan tempoh pembiayaan sama. Namun, pembiayaan Islamik (yang guna kontrak jual beli) ada siling pembayaran, yang tak akan lebih daripada harga siling. Had satu lagi, tiada had.

 

 

gambar hiasan

 

 

SOALAN 10

Apa pula penjelasan dari tuan jika salah satu caj/bayaran daripada pembiayaan Islamik adalah lebih tinggi daripada pinjaman konvensional? (ini saya pasti ia wujud). Dalam penetapan kadar keuntungan pula (dalam urusan pelaburan, pembiayaan Islamik atau pinjaman peribadi konvensional) berapakah kadar dikategorikan sebagai Islamik, berapa pula kadar yang dikategorikan adalah riba?

ULASAN

Harga setiap produk perbankan sama ada Islamik dan konvensioal bergantung kepada kadar keuntungan/faedah yang diletakkan oleh bank. Tugas kita ialah untuk mencari dan pilih yang mana yang lebih sesuai dan berpatutan dengan kehendak kita. Ada lebih daripada 30 bank yang menawarkan produk perbankan Islam. Sudah tentu kita akan mendapati ada antara harga produk Islam lebih bagus daripada yang satu lagi. Definisi riba wajib difahamkan dahulu. Kalau tidak tahu, memang ramai yang akan keliru untuk membezakan antara haram lebihan daripada pinjaman, dan halal lebihan daripada jual beli. Sila rujuk surah Al-Baqarah 275. Lebihan daripada pinjaman, walaupun 1 sen, walaupun secara in-kind (macam belanja makan tengah hari), ia tetap riba. Lebihan daripada jual beli pula bergantung kepada konsep 'willing buyer, willing seller'. Kalau mahal, kita tak beli dan cari lain, beli daripada penjual yang menawarkan harga lebih baik. Teh tarik, kos tak sampai 20 sen, boleh dijual sehingga RM2.50. Lebihan RM2.30 itu bukan riba sebab transaksi tersebut ialah berkonsep jual beli. Tapi kalau kita pinjam daripada kawan RM2.50 untuk beli teh tarik, dan janji nak bayar balik kepada kawan kita RM3, maka lebihan 50 sen itu adalah riba yang diharamkan.

 

 

gambar hiasan

 

 

Secara ringkasnya, bagi penulis isu mengenai OPR adalah bermusim, terutama apabila kadar ini dinaikkan daripada 1.75% kepada 2.75% (empat kali kenaikan sepanjang 2022). 

 

Kepada yang telah ambil pembiayaan Islam, penulis juga ingin mengetahui penindasan apakah yang telah berlaku? Jika rasa tertindas, kita boleh buat aduan kepada BNM. 

 

Saya akui, kadang-kadang, struktur pembiayaan (seperti kadar terapung) sedikit mengelirukan kerana pelanggan kurang memahami transaksi yang berlaku. 

 

Sebab itu kita sebagai pelanggan bank yang bijak, perlu memahami fasiliti pembiayaan yang diambil, sebelum menandatangani perjanjian dengan bank. Tidak tahu, sila tanya pegawai bank sebelum turunkan tanda tangan.

 

Kemudahan pembiayaan Islam tidak akan menindas pelanggan. Jika ia produk yang menindas, saya pasti, BNM tidak akan berdiam diri, sebaliknya mengambil tindakan kepada bank tersebut seperti yang termaktub dalam Islamic Financial Services Act 2013. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

utm

Portfolio Tags