Pelaksanaan CPTPP tepat pada masanya bagi pulih perniagaan - FMM | DagangNews Skip to main content

Pelaksanaan CPTPP tepat pada masanya bagi pulih perniagaan - FMM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 6 Okt - Pelaksanaan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) disifatkan tepat pada masanya bagi membolehkan perniagaan Malaysia memanfaatkannya sebagai satu lagi alat pemulihan dalam perdagangan.

 

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata, pihaknya percaya penyertaan Malaysia menjadi negara ke-9 melaksanakan perjanjian itu pastinya memberi manfaat kepada perniagaan negara daripada segi akses keutamaan kepada pasaran CPTPP yang semakin berkembang.

 

"China, Ecuador dan Taiwan telah mengemukakan permohonan mereka untuk menjadi ahli CPTPP tahun lalu manakala United Kingdom (UK) kini dalam proses rundingan untuk menyertai CPTPP.

 

"Dengan penyertaan China dan UK, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka terus berkembang sebanyak 4.2% pada 2030," katanya dalam satu kenyataan.

 

Soh berkata, pihaknya memuji Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana usaha gigihnya dalam menyelesaikan prosedur domestik berikutan mandat daripada Kabinet untuk penyerahan instrumen ratifikasi perjanjian perdagangan itu kepada New Zealand sebagai depositari CPTPP pada 30 September 2022.

 

"Adalah penting untuk menstabilkan aktiviti pembuatan dan membina semula ketersambungan rantaian bekalan di rantau ini sambil menjamin pasaran baharu," katanya.

 

Menurut kajian analisis kos faedah oleh MITI pada 25 Julai 2022, Malaysia dijangka mencatat KDNK yang lebih tinggi sebanyak AS$56.5 bilion (AS$1=RM4.64) sepanjang tempoh 2021-2030.

 

 

CPTPP

 

 

Bagi Malaysia, CPTPP menawarkan peluang akses pasaran untuk tiga pasaran baharu, iaitu Kanada, Mexico dan Peru, yang tidak mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan negara ini.

 

"Berdasarkan data Bank Dunia pada 2021, ketiga-tiga pasaran baharu itu secara kolektif mewakili populasi lebih 200 juta dengan gabungan KDNK lebih AS$3.5 trilion, 9.4 kali lebih besar daripada ekonomi Malaysia," katanya. - DagangNews.com