Pemasangan lokar di 626 sekolah atasi isu beg berat siap sepenuhnya akhir Oktober 2022 - Radzi | DagangNews Skip to main content

Pemasangan lokar di 626 sekolah atasi isu beg berat siap sepenuhnya akhir Oktober 2022 - Radzi

Datuk Dr Radzi Jidin (kiri) menyaksikan gimik seorang murid memasukkan buku ke dalam lokar sambil disaksikan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) di SK Gombak Setia pada 5 Oktober 2022.

GOMBAK 5 Okt - Kementerian Pendidikan (KPM) akan membekalkan lokar kepada 626 sekolah dua sesi bagi fasa pertama dengan kerja pemasangannya dijangka siap sepenuhnya akhir bulan ini.

 

Kemudahan itu bakal memanfaatkan 249,646 murid sekolah rendah sebagai antara tujuh inisiatif KPM bagi menangani isu beg berat.

 

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, bagi fasa pertama, lokar berkenaan akan dibekalkan kepada murid tahap satu iaitu Tahun Satu dan Tahun Dua dengan fasa kedua dijadualkan tahun depan.

 

"Inisiatif untuk kurangkan masalah beg berat (dalam kalangan murid) sudah diumumkan pada 6 Mac 2022 dan Alhamdulillah hari ini, ia berjaya dilancarkan. Ia antara inisiatif paling besar dan tak pernah dilaksanakan sebelum ini.

 

"Program ini membabitkan kos RM37.3 juta untuk fasa pertama membabitkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua dengan fasa kedua akan diteruskan pada 2023 membabitkan murid Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Inisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak Setia di sini, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Yang turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

 

Mengulas lanjut mengenai kerja pemasangan yang sedang giat dijalankan, Radzi berkata, bagi sekolah di daerah Gombak, misalnya, 38 sekolah telah menerima lokar berkenaan.

 

Diminta mengulas mengenai pemantauan dijalankan KPM bagi memastikan kemudahan lokar berkenaan bakal dimanfaatkan sebaiknya, Radzi berkata, Jemaah Nazir akan sentiasa turun padang bagi tujuan melihat sendiri pematuhan di semua sekolah terbabit.

 

"Kita minta Jemaah Nazir turun ke bawah bagi memantau bagi aspek pematuhan kepada tujuan inisiatif ini.

 

"Selain pemantauan, kita juga perlukan kerjasama baik (dari semua pihak) termasuk murid, ibu bapa dan guru supaya budaya ini dapat dibina dan masing-masing memahaminya sekali gus beg dibawa murid tidak seberat seperti sebelumnya," katanya.

 

Pada masa sama, Radzi berkata, kemudahan lokar berkenaan diharap dapat disambut antaranya melalui penerapan pengajaran dan pembelajaran yang sedikit berbeza.

 

Jelasnya, sebagai contoh, sekiranya proses pengajaran berasaskan tema diaplikasikan, ini sedikit sebanyak mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan buku teks.

 

"Buku teks boleh diletakkan di lokar dan digunakan pada bila-bila masa (diperlukan). Apa yang penting dan perlu ditekankan, jangan bawa balik sama seperti sebelum ini, kerana kemudahan sudah ada," katanya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, kerjasama dengan pihak Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim), Radzi turut memaklumkan inisiatif lain seperti penggunaan uniform sekolah kebangsaan dibenarkan bagi sesi persekolahan Kelas Agama Fardu Ain (KAFA) turut telah dimulakan.

 

"(Bagi) pemakaian murid ke sekolah agama di sebelah petang, JAKIM bersetuju membenarkan murid memakai seragam sekolah mereka. Maka tak perlu bawa persalinan ke sekolah agama bagi bagi sesi petang.

 

"Ini telah dipersetujui, maka ada kelonggaran diberikan kepada anak kita. Saya berterima kasih kepada Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri yang mendukung usaha ini, dan ia telah (mula) dilaksanakan," katanya.

 

Mac lalu, Radzi menyenaraikan tujuh inisiatif meringankan beg sekolah iaitu penyediaan lokar, penyusunan semula jadual waktu sehingga empat mata pelajaran sehari dan buku latihan tidak lebih dua buah serta buku teks digital.

 

KPM turut menggalakkan penggunaan pendekatan pengajaran dan pembelajaran (PdP) bertema atau modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (Virtual Lab) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap buku teks dan penggunaan uniform sekolah kebangsaan dibenarkan bagi sesi persekolahan KAFA. - DagangNews.com