Pendapatan Bermaz Auto bagi 3QFY23 menjangkaui jangkaan penyelidik didorong jualan tinggi Mazda | DagangNews Skip to main content

Pendapatan Bermaz Auto bagi 3QFY23 menjangkaui jangkaan penyelidik didorong jualan tinggi Mazda

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Mac - Pendapatan Bermaz Auto Berhad pada suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) yang dimaklumkan di Bursa Malaysia semalam menjangkaui jangkaan dan konsensus penganalisis, menurut CGS-CIMB Research dan AmInvest Research.

 

CGS-CIMB berkata hasil sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23) itu mengatasi jangkaan firma dan konsensus masing-masing pada 86% dan 83%.

 

Sementara itu, kumpulan itu melebihi jangkaan AmInvest sebanyak 27% dan konsesus pada 20%.

 

“Volum jualan kenderaan di Malaysia lebih tinggi daripada jangkaan menyumbang kepada peningkatan pendapatan kumpulan sebanyak 25% suku ke suku (QoQ), terutamanya daripada operasi Mazda Malaysia,” kata CGS-CIMB.

 

“Operasinya di Filipina mencatat pertumbuhan jualan 25% tahun ke tahun (YoY) berikutan peningkatan jualan unit sebanyak 34%,” menurut AmInvest.

 

CGS-CIMB berkata, untung bersih Bermaz Auto bagi 3QFY23 telah memecah rekod kewangan sukunya sebanyak 34% QoQ kepada RM87.8 juta berbanding RM65.5 juta pada suku sebelumnya.

 

Oleh itu, CGS-CIMB meningkatkan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) sebanyak 1 hingga 12% serta mengunjurkan pertumbuhan jualan yang kukuh bagi tahun kewangan 2023, 2024 dan 2025 masing-masing pada 39%, 9% dan 10%.

 

Sementara itu, AmInvest meningkatkan pendapatan Bermas Auto bagi FY23 sebanyak 27% diikuti FY24 (6%) dan FY25 (7%).

 

"Kami kekal positif pada kumpulan disebabkan tunggakan yang besar dan buku pesanan mampan," kata AmInvest di dalam nota hari ini.

 

Menurut CGS-CIMB, pesanan tunggakan kumpulan melebihi 7,000 unit akan memberi keterlihatan pesanan yang sihat untuk tahun kewangan 2024 (FY24).

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan tambah pada harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM3.30 sesaham manakala AmInvest pada nilai saksama (FV) RM2.63. -DagangNews.com