Penyediaan Menu Kasih RM3.50 dapat kerjasama pengusaha makanan di UPM | DagangNews.com Skip to main content

Penyediaan Menu Kasih RM3.50 dapat kerjasama pengusaha makanan di UPM

Bahagian Mahasiswa Holistik, Kementerian Pengajian Tinggi meninjau pelaksanaan Menu Kasih RM3.50 di UPM dan bantuan kupon makanan, baru-baru ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

SERDANG 25 Jan - Pengusaha makanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) memberi kerjasama yang baik bagi memastikan inisiatif pelaksanaan Menu Kasih pada harga RM3.50 dapat disediakan kepada para pelajar di kampus itu. 

 

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, terdapat juga pengusaha yang menyediakan harga serendah RM3 dan memberi pelajar mengambil makanan yang lebih nilainya daripada harga siling RM3.50 sebagai ehsan.

 

Katanya, penurunan harga makanan sejak tahun lalu sangat membantu pelajar terutama daripada keluarga B40 dan selari dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

 

"Persetujuan telah dicapai antara semua pengusaha makanan bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di universiti ini.

 

"Hasil persetujuan bersama, harga kawalan terbaik yang mampu beli untuk pelajar adalah RM3.50, yang diperkenalkan mulai 8 Julai 2022.

 

“Alhamdulillah, hasil pemantauan staf Hal Ehwal Pelajar dan Alumni secara berkala, pengusaha makanan UPM sentiasa memastikan Menu Kasih ini disediakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

upm
Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH), Kementerian Pengajian Tinggi, Hirman Awang (kiri) dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu ketika melakukan tinjauan terhadap pelaksanaan Menu Kasih RM3.50 di kampus itu baru-baru ini.

 

 

Baru-baru ini, Bahagian Mahasiswa Holistik (BMH), KPT meninjau pelaksanaan Menu Kasih RM3.50 di UPM dan bantuan kupon makanan.

 

Turut hadir bersama adalah tiga wakil Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan menu yang dihidangkan oleh pengusaha gerai makanan di kampus itu berkualiti dan sihat.

 

Arifin Abdu berkata, tinjauan tersebut adalah hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

 

"Tinjauan ini bertujuan melihat pelaksanaan kawalan harga makanan di bawah inisiatif tersebut untuk mengurangkan beban kos sara hidup pelajar serta melihat aspek kualiti makanan yang disediakan," tambahnya.

 

Lawatan tersebut dihadiri oleh Pengarah BMH KPT, Hirman Awang; Pegawai Khas Menteri Pendidikan Tinggi, Danial Khaleq Mohd Ali, Penolong Pengarah Kanan BMH KPT, Emylia Shakira Jamean, Timbalan Pengarah Bahagian Pemakanan KKM, Zaiton Daud, dan Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Nuruliman Ibrahim. –DagangNews.com