Pertumbuhan pinjaman dijangka menyederhana pada 2023 sekitar 4-4.5% ekoran tekanan inflasi - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Pertumbuhan pinjaman dijangka menyederhana pada 2023 sekitar 4-4.5% ekoran tekanan inflasi - Kenanga Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 2 Feb - Kenanga Research mengunjurkan pertumbuhan pinjaman bagi 2023 akan lebih menyederhana kepada sekitar 4 hingga 4.5% dengan mengambil kira tekanan inflasi yang kemungkinan lebih buruk daripada jangkaan. 

 

Ia berikutan keputusan mengejut Bank Negara Malaysia (BNM) menghentikan seketika kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75% selepas menyaksikan kenaikan empat kali berturut-turut sepanjang 2022 daripada paras terendah, 1.75%.

 

Menurut firma itu, permohonan pinjaman semakin mereda pada Disember 2022 (susut 16% tahun ke tahun, 12% bulan ke bulan) memandangkan kos pinjaman menjadi lebih mahal. 

 

"Penurunan itu terutamanya disebabkan pinjaman isi rumah yang susut 19% tahun ke tahun memandangkan permohonan berkaitan hartanah semakin berkurangan.

 

"Kelulusan pinjaman juga merosot (-16% tahun ke tahun, -18% bulan ke bulan) dengan permohonan yang lebih rendah dalam tempoh tersebut dan mungkin tidak diambil sehingga menjelang perayaan Hari Raya," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Data yang dikeluarkan BNM semalam menunjukkan pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat sebanyak 5.5% pada Disember 2022 (November: 5.6%) apabila pertumbuhan bayaran balik pinjaman mengatasi pengeluaran pinjaman. 

 

Pertumbuhan pengeluaran pinjaman terus kukuh (10.4%; November: 9.1%) meskipun pertumbuhan pinjaman terkumpul agak sederhana bagi pembelian rumah dan kereta.

 

Bagi perniagaan, pertumbuhan kredit yang lebih kukuh didorong oleh pertumbuhan yang lebih tinggi bagi bon korporat terkumpul (4.6%; November: 3.5%) dan pinjaman perniagaan terkumpul (3.3%; November: 3%).

 

Menurut Kenanga Research, sistem pinjaman yang meningkat 5.7% tahun ke tahun pada Disember 2022 berikutan prestasi isi rumah dan perniagaan yang lebih baik memenuhi unjuran pertumbuhan pinjamannya tahun ini sekitar 5.5 hingga 6%. 

 

"Sebagai ganti kepada tekanan kemelesetan yang mungkin menyekat pengeluaran ekonomi keseluruhan, kadar faedah yang tinggi disebabkan permintaan kredit yang agak ketat," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'overweight' terhadap sektor perbankan dengan pilihan utamanya ialah Maybank, CIMB dan Alliance Bank Malaysia Bhd.

 

Firma itu berkata, walaupun penutupan yang sihat boleh mengurangkan kebimbangan dalam sektor perbankan, ia percaya ketidaktentuan kemelesetan semasa masih boleh menjejaskan prospek jangka panjang

 

"Namun, kemungkinan besar bank tidak akan terjejas secara drastik seperti sektor lain memandangkan pendedahan mereka yang pelbagai dengan ujian tekanan berterusan dijalankan untuk mengukuhkan kesiapsiagaan.

 

"Dalam jangka sederhana, sekiranya makro tidak menjadi lebih teruk daripada yang dijangkakan, kita akan melihat pendapatan yang kukuh meningkatkan keseluruhan sektor (lebih 20% pertumbuhan pendapatan sesaham) berikutan kelonggaran keperluan peruntukan dengan kemungkinan hapus kira untuk meningkatkan lagi pendapatan," katanya.

 

Mengenai OPR, Kenanga Research berkata, BNM mungkin tidak akan menyemak semula kenaikan lain kerana pemerhatian lanjut mungkin diperlukan untuk menentukan secara bermakna toleransi sistem kewangan untuk menerima kenaikan 25 mata asas lagi. - DagangNews.com