PMINT sasar perolehan RM100 juta melalui sembilan syarikat kumpulan tahun ini | DagangNews Skip to main content

PMINT sasar perolehan RM100 juta melalui sembilan syarikat kumpulan tahun ini

Pengurusan tertinggi syarikat Kumpulan PMINT meraikan kakitangan mereka dalam majlis makan malam di Taman Tamadun Islam pada 31 Januari 2023. - Gambar DagangNews
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 1 Feb - Perbadanan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), menyasarkan perolehan sebanyak RM100 juta melalui sembilan syarikat kumpulannya untuk tahun ini.

 

PMINT yang ditubuhkan pada 1 April 1965 di bawah Enakmen Kerajaan Negeri Terengganu bertujuan menjadi agensi utama negeri bagi melaksana dan mempercepatkan pembangunan serta kemajuan sosio ekonomi di Terengganu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, sasaran itu adalah peningkatan hampir 33 peratus berbanding perolehan sebanyak RM67 juta yang direkodkan pada tahun lalu.

 

"Sasaran RM100 juta ini adalah  optimis untuk dicapai kerana kita sedang menyusun semula beberapa strategi untuk semua sembilan syarikat Kumpulan PMINT.

 

"Antara yang berpotensi untuk menjana keuntungan terbesar ialah syarikat dalam bidang pembangunan hartanah iaitu P-Excell Management Sdn Bhd dengan sasaran perolehan RM40 juta pada tahun ini," katanya.


 

Wan Adnan Wan Derahman
                           Wan Adnan Wan Derahman

 


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis makan malam syarikat Kumpulan PMINT yang dihadiri lebih 400 petugasnya di pusat pelancongan Taman Tamadun Islam (TTI) dekat Losong di sini malam tadi.

 

Mengulas lanjut, Wan Adnan berkata pembangunan hartanah akan diteroka dengan lebih agresif oleh P-Excell Management terutama untuk membangunkan kawasan-kawasan perumahan baharu untuk pelbagai kategori rumah dari lingkungan harga RM300,000 hingga lebih RM600,000. 

 

"Selain itu, kita lihat syarikat juga berpotensi untuk terlibat dalam pembinaan bandar-bandar lestari seperti yang diumumkan kerajaan negeri di beberapa daerah di Terengganu.

 

"Antara lokasi bandar lestari yang berpotensi untuk dibangunkan syarikat ialah Durian Mentangau di Dungun serta projek kawasan perumahan di Bandar Baharu Kerteh.

 

"Permintaan untuk pembelian rumah di sana sangat tinggi kerana  ia kawasan tumpuan ramai berikutan lokasinya berhampiran pusat industri petroleum dan gas," katanya.


 

pmint
Pengurusan tertinggi Kumpulan PMINT yakin dapat mencapai sasaran perolehan RM100 juta pada tahun ini melalui penyusunan semula beberapa strategi baharu.

 


Ditanya mengenai penyumbang terbesar syarikat Kumpulan PMINT sepanjang tahun lepas pula, Wan Adnan berkata syarikat yang berprestasi cemerlang ialah PB Hotel Management Sdn Bhd yang menguruskan operasi PB Hotel di Kuala Terengganu. 

 

Menurutnya, syarikat lain yang turut menyumbang ialah Permint Granite Sdn Bhd yang terlibat dalam sektor perlombongan dan Pertima Terengganu Sdn Bhd (sektor pembuatan).

 

"Selain itu, TTI Management Sdn Bhd yang menguruskan operasi di pusat pelancongan Taman Tamadun Islam juga akan mula menampakkan keuntungan pada tahun ini.

 

"Walaupun sebelum ini, syarikat itu bergelut dengan pelbagai kesukaran untuk menghasilkan keuntungan disebabkan kos operasi yang tinggi, pemilihannya  sebagai hab pelancongan ke pulau Redang telah memberi impak yang cukup besar terhadap perolehan keuntungan syarikat.

 

"Selain dewan konvensyen, TTI yang juga terkenal dengan Taman Monumen dan Masjid Kristal juga dijangka menerima tempias peningkatan kedatangan pelancong sepanjang tahun ini," katanya.


 

pmint
Wan Adnan (dua dari kanan) menyampaikan anugerah pekerja cemerlang kepada seorang daripada warga kerja syarikat Kumpulan PMINT pada 31 Januari 2023.

 


Selain itu, Wan Adnan berkata, sektor pembuatan juga boleh menjana keuntungan lebih hebat pada tahun ini melalui Pertima yang sangat terkenal dengan penghasilan makanan dalam tin yang halal dan berkualiti tinggi.

 

"Kita sedang menyusun semula strategi pemasaran dan syarikat akan cuba menembusi pasaran luar negara untuk mencatat keuntungan yang lebih membanggakan pada tahun ini," katanya.

 

Empat syarikat kumpulan PMINT yang lain ialah Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd yang terlibat dalam sektor pertanian, Permint Minerals Sdn Bhd (perlombongan), Cas Ligas Sdn Bhd (pengangkutan) dan
Pmint Urus Sdn Bhd (pengurusan kompleks & strata). - DagangNews.com