Program R.I.S.E. Maybank tingkatkan kehidupan lebih 19,000 OKU di seluruh ASEAN | DagangNews Skip to main content

Program R.I.S.E. Maybank tingkatkan kehidupan lebih 19,000 OKU di seluruh ASEAN

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Okt - Program pemerkasaan ekonomi Maybank R.I.S.E. (Reach Independence and Sustainable Entrepreneurship) yang direka untuk menyokong komuniti kurang bernasib baik khususnya Orang Kurang Upaya (OKU) di ASEAN, telah memberi kesan positif kepada kehidupan 19,481 peserta di seluruh Malaysia, Indonesia, Filipina dan Laos.

 

Untuk memperingati kejayaan pelaksanaan program perdana oleh Yayasan Maybank itu, sebuah dokumentari telah diterbitkan untuk meraikan kejayaan peserta R.I.S.E yang telah mengubah kehidupan mereka dan bagi menunjukkan impak positif program itu terhadap keluarga dan komuniti mereka. 

 

Tayangan perdana dokumentari R.I.S.E bertajuk “A Time to R.I.S.E” telah diadakan pada 30 September di Jakarta, yang dihadiri oleh Pengerusi Maybank dan Yayasan Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli dan Ketua Pegawai Kemampanan Maybank, Shahril Azuar Jimin.

 

Zamzamzairani berkata, Maybank berada dalam kedudukan penting untuk meningkatkan kehidupan OKU supaya mereka mampu kekal berdikari dan menyumbang secara berterusan ke arah pertumbuhan ekonomi. 

 

Beliau berkata, program R.I.S.E. bertujuan untuk menyediakan sokongan sebenar dan nyata untuk komuniti yang kurang bernasib baik sebagai sebahagian daripada komitmen Maybank demi memacu keterangkuman kewangan di seluruh ASEAN serta memenuhi matlamat kemampanan kumpulan untuk meningkatkan kehidupan 1 juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025. 

 

“Agenda Kemampanan kami di bawah pelan M25 adalah berpaksikan kepada misi kami untuk Menginsankan Perkhidmatan Kewangan. Bagi memacu kepentingan ini, kami akan terus melaksanakan inisiatif demi kebaikan rakyat dan masyarakat di rantau ini terutamanya melalui program berimpak tinggi seperti R.I.S.E. 

 

"Ini akan menjadi komitmen jangka panjang kami untuk melengkapkan lagi komuniti dengan kemahiran dan pengetahuan kewangan sepanjang hayat, menangani keperluan semasa dan situasi, dan membina daya tahan kewangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

maybank

 

 

Sebanyak 40% peserta yang dilatih telah mencapai purata peningkatan pendapatan bulanan sebanyak 379.52%, manakala 70% daripada kesemua peserta telah dapat berdikari dan terus berkembang maju dalam perniagaan mereka bertahun-tahun selepas menjalani latihan awal. Ini juga dicapai tanpa sebarang pinjaman atau bantuan kewangan.

 

Seorang peserta program, Zulkiflee Hussein dari Malaysia berkata, program R.I.S.E. telah memberi manfaat kepadanya, keluarga dan masyarakat OKU di kawasannya. 

 

Dia dapat mengembangkan perniagaannya dan mengambil pekerja sambilan agar mereka boleh meningkatkan pendapatan. Zulkiflee kini mampu menyediakan kehidupan yang lebih selesa untuk keluarganya. 

 

Selain itu, dia telah diberi peluang untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada golongan OKU baharu di hospital bagi menggalakkan mereka menerima ‘kekurangan upaya’ dan mendorong mereka ke arah kehidupan yang lebih baik.

 

Sementara itu, Veronica Calalang dari Filipina berkata, program R.I.S.E. telah membantu menaikkan semangat dan memberi kesedaran kepadanya.

 

"Saya boleh melakukan lebih banyak lagi. Ia melengkapkan saya dengan pengetahuan yang betul tentang cara memulakan perniagaan dan mengatasi cabaran yang dihadapi, baik dalam kehidupan mahupun dalam perniagaan," katanya. - DagangNews.com