Safee Sali ucap selamat tinggal selepas hampir 20 tahun warnai pentas bola sepak | DagangNews Skip to main content

Safee Sali ucap selamat tinggal selepas hampir 20 tahun warnai pentas bola sepak

Safee Sali - Gambar Asiana.my
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Lagenda bola sepak negara, Safee Sali mengumumkan persaraan daripada karier bola sepak profesionalnya hari ini setelah hampir 20 tahun mewarnai pentas bola sepak.

 

Veteran dan ikon berusia 39 tahun itu dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat sepanjang zaman, yang mana  merekodkan lebih 136 jaringan gol menerusi kelab dan 47 untuk pasukan kebangsaan.

 

Mengikuti perjalanan beliau selama hampir dua dekad, Safee akhirnya membuat keputusan untuk mengakhiri kerjaya bola sepak dan mengucapkan terima kasih kepada peminat, rakan seperjuangan, kelab dan para penaja yang telah menyokongnya selama ini.

 

Safee berkata, bola sepak akan sentiasa menjadi sebahagian besar daripada kehidupannya, tetapi beliau amat teruja untuk meneroka masa hadapan dan peluang yang menanti. 

 

Katanya, dalam peralihan ke fasa seterusnya dalam hidup, beliau ingin memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan dalam menjadi pemangkin untuk generasi bola sepak Malaysia yang seterusnya. 

 

"Saya amat teruja untuk mengumumkan bahawa saya sedang dalam usaha untuk menubuhkan akademi bola sepak yang akan mencungkil bakat-bakat muda ke peringkat tertinggi. 

 

"Pada masa sama, saya juga dalam usaha untuk menghasilkan sebuah dokumentari bertajuk “SEPULUH” yang akan memaparkan kehidupan dan kerjaya bola sepak saya," katanya dalam sidang akhbar yang turut dihadiri oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

 

 

safee
Safee Sali (kanan) ketika sidang akhbar mengumumkan persaraan daripada karier bola sepak profesional pada 21 Februari 2023. Turut kelihatan, Datuk Hamidin Mohd Amin.

 

 

Dalam pada itu, Hamidin berkata, Safee merupakan lagenda sebenar bola sepak Malaysia dan menjadi contoh kepada pemain muda dalam negara. 

 

Katanya, dedikasi, usaha keras dan semangat terhadap sukan telah menempatkan beliau di hati peminat tanah air dan komuniti bola sepak di seluruh dunia. 

 

"Bagi mewakili FAM, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Safee di atas sumbangan beliau terhadap bola sepak Malaysia dan semoga berjaya untuk masa hadapan beliau. 

 

"Kami yakin beliau akan terus memberi impak yang positif kepada sukan, dan kami amat menantikan penglibatan beliau di dalam pembangunan bola sepak Malaysia," katanya.

 

Untuk rekod, bekas bintang Harimau Malaya itu memulakan kerjaya profesional pada 2004 dan bermain untuk beberapa buah kelab bola sepak terbaik di dalam serta luar negara, termasuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Selangor, Sarawak, PJ City, PKNS dan Pelita Jaya dari Indonesia. 

 

 

safee

 

 

Dengan kemahiran menyerang dan kebolehan membuat aksi akrobatik, beliau yang merupakan seorang penyerang prolifik adalah watak penting dalam kejayaan Malaysia memenangi Piala AFF pada 2010. 

 

Pada 2022, Safee memegang rekod sebagai pemain bola sepak Malaysia pertama bermain dalam dua perlawanan akhir Piala AFC iaitu ketika bermain dengan KL City FC dan JDT pada 2015.

 

Sementara itu, dokumentari Safee Sali bertujuan untuk berkongsi tentang kehidupan beliau kepada dunia dan memberi inspirasi kepada sesiapa yang sedang mengejar cita-cita mereka. 

 

 

safee
Gambar Facebook FAM

 

 

Dokumentari tersebut bukan sahaja akan menceritakan tentang pencapaian Safee, tetapi turut menyelitkan kehidupan peribadi dan watak-watak penting yang telah menyokong sepanjang perjalanan kehidupan beliau. 

 

Selain menyertai Astro Arena sebagai pengulas bola sepak, Safee telah menubuhkan Akademi Safee Sali, sebuah akademi yang bertujuan membangunkan bakat anak-anak muda dalam bola sepak.

 

Di samping itu, Safee turut mengumumkan sebuah rancangan ‘Sports Tarik’, yang akan disiarkan di saluran YouTube khusus untuk mengupas mengenai topik, pandangan dan personaliti menarik dalam dunia sukan. - DagangNews.com