Secret Recipe mahu buka lebih 400 cawangan menjelang akhir 2025 | DagangNews Skip to main content

Secret Recipe mahu buka lebih 400 cawangan menjelang akhir 2025

(Dari kiri ke kanan) Ketua Pemasaran Secret Recipe, Evelyn Lee, Patrick Sim dan Mira Filzah di majlis pembukaan cawangan ke-350 Secret Recipe di Malaysia, baru-baru ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

PETALING JAYA 8 Feb - Secret Recipe menyasarkan untuk membuka lebih 400 cawangan menjelang akhir 2025 sejajar dengan pelan pertumbuhan syarikat.

 

Pengarah Urusan Secret Recipe, Patrick Sim berkata, pihaknya menyedari bahawa operasi dan kewujudan rangkaian cafe itu berpotensi untuk meninggalkan kesan ketara dalam komuniti di lokasi ia beroperasi. 

 

Katanya, ia bukan sahaja dengan menjadi salah satu rangkaian cawangan paling berjaya tetapi juga dengan pembukaan kilang baharunya di Kota Damansara, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan tempatan dan di sekitar rantau ini.

 

"Sehubungan itu, saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa Secret Recipe bukan sahaja telah mencipta impak yang positif malah turut menempa satu legasi yang berterusan sehingga ke hari ini.

 

"Saya juga berbangga dengan pencapaian Secret Recipe yang dilihat sebagai permulaan yang amat baik untuk tahun baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Baru-baru ini, Secret Recipe meraikan pembukaan cawangannya yang ke-350 di Malaysia di 1 Utama pada 31 Januari lalu. 

 

 

(Dari kiri ke kanan) Ketua Operasi Secret Recipe, Rodzi Ahmad, Patrick Sim, Mira Filzah, dan Evelyn Lee di Secret Recipe 1 Utama.
(Dari kiri ke kanan) Ketua Operasi Secret Recipe, Rodzi Ahmad, Patrick Sim, Mira Filzah, dan Evelyn Lee di Secret Recipe 1 Utama.

 

 

Selama lebih 25 tahun, jenama itu telah berkembang menjadi salah satu rangkaian kek dan kafe gaya hidup yang paling pesat berkembang di rantau ini.

 

Ia turut membuka cawangan di luar negara seperti di Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei, Maldives, Amerika Syarikat, Australia, Vietnam dan Bangladesh.

 

Sementara itu, duta jenama Secret Recipe, Mira Filzah menyifatkan Secret Recipe mempunyai tempat istimewa di hatinya.

 

“Saya mengenali ramai kenalan rapat dan ahli keluarga yang telah menjadikan Secret Recipe sebagai sebahagian daripada apa jua perayaan mereka, atau untuk bersantai dan  manjakan diri.

 

"Saya yakin kejayaan pembukaan kedai yang ke-350 ini hanyalah salah satu pencapaian kerana jenama ini akan terus berkembang pesat,” tambahnya. – DagangNews.com