Sektor pembinaan 2022 catat nilai kerja lebih rendah sebanyak RM121.9 bilion - DOSM | DagangNews Skip to main content

Sektor pembinaan 2022 catat nilai kerja lebih rendah sebanyak RM121.9 bilion - DOSM

KUALA LUMPUR 8 Feb - Sektor pembinaan mencatatkan pemulihan 8.8% pada 2022 selepas dua tahun berdepan dengan trend penurunan, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semua subsektor meningkat pada tahun itu dengan pertumbuhan dua angka direkodkan dalam aktiviti perdagangan khas (19.6%) dan bangunan bukan kediaman (18.7%).

 

Katanya, subsektor kejuruteraan awam dan bangunan kediaman bertukar kepada pertumbuhan positif masing-masing sebanyak 2.7% dan 3.4%.

 

"Bagaimanapun, nilai kerja yang dilakukan dalam sektor pembinaan pada 2022 adalah berjumlah RM121.9 bilion, lebih rendah daripada tempoh sebelum pandemik pada 2019 yang berjumlah RM146.4 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohd Uzir juga berkata, sektor pembinaan terus menunjukkan prestasi memberangsangkan pada suku keempat 2022 dengan nilai kerja selesai sebanyak 15.7% kepada RM32 bilion selepas berkembang kukuh sebanyak 23.2% pada suku ketiga 2022.

 

Momentum pertumbuhan suku keempat didorong oleh pertumbuhan dua digit dalam subsektor kejuruteraan awam (20.8%); bangunan bukan kediaman (19%) dan aktiviti perdagangan khas (12.7%)manakala subsektor kediaman meningkat 5.3% berbanding tahun lalu.

 

DOSM mendapati daripada jumlah RM32 bilion kerja yang dilakukan, sebanyak RM12.1 bilion atau 37.9% terdiri daripada kejuruteraan awam, diikuti bangunan bukan kediaman dengan bahagian 30.1% atau RM9.6 bilion. 

 

Nilai kerja yang dilakukan di bangunan kediaman ialah RM7 bilion (21.8%) dan aktiviti perdagangan khas RM3.26 bilion (10.2%).

 

Mohd. Uzir berkata, sektor swasta adalah pendorong utama kepada pertumbuhan pembinaan suku keempat.

 

Pada asas peringkat negeri, lebih 60% daripada nilai kerja yang dilakukan tertumpu di Selangor (RM7.7 bilion: 24.2%); Wilayah Persekutuan (RM4.7 bilion: 14.7%); Sarawak (RM3.7 bilion: 11.7%) dan Johor (RM3.4 bilion: 10.7%). - DagangNews.com