Shell, DHL Express jalin kerjasama strategik ke arah pertumbuhan perniagaan mampan | DagangNews Skip to main content

Shell, DHL Express jalin kerjasama strategik ke arah pertumbuhan perniagaan mampan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 29 Mac - Shell Malaysia Trading Sdn Bhd menerusi bahagian mobiliti perniagaannya, Shell Fleet Solutions memeterai kerjasama strategik untuk menyokong usaha DHL Express (Malaysia) Sdn Bhd ke arah kemampanan melalui langkah mengurangkan emisi dalam operasi fleet syarikat itu.

 

Kedua-dua syarikat ini akan menggunakan pengetahuan, kepakaran dan infrastruktur global mereka untuk menyokong pertumbuhan perniagaan yang mampan menerusi penyahkarbonan fleet dan peningkatan standard keselamatan dalam penyelesaian pengelektrikan.

 

Perjanjian tersebut juga menyediakan rangka kerja untuk meneroka kerjasama dalam inisiatif neutral karbon lain.

 

Pengurus Besar Shell Fleet Solutions Malaysia, Joanna Lean berkata, pihaknya berhasrat untuk menyokong fleet di Malaysia dalam peralihan ke arah penyahkarbonan memandangkan mereka menghadapi cabaran untuk mengimbangi kos dan keperluan untuk menggunapakai penyelesaian mobiliti rendah karbon. 

 

Katanya, program A2Z menyokong inisiatf itu menerusi penyelesaian yang mereka tawarkan, merangkumi penyelesaian inovatif oleh Shell Recharge Solutions, Shell Telematics dan Shell Nature-based Solutions. 

 

"Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan DHL Express di Malaysia untuk menyumbang ke arah pertumbuhan perniagaan yang lebih mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, Julian Neo pula berkata, syarikat tersebut menyasarkan untuk mencapai emisi sifar bersih menjelang 2050.

 

 

shell
(Dari kiri) Joanna Lean, Julian Neo dan Pengurus Besar Shell Fleet Solutions, Veethara Trakulboon ketika majlis memeterai kerjasama antara Shell Malaysia dan DHL Express.

 

 

Katanya, penggunaan pacuan dan bahan api alternatif serta penyelesaian tenaga bersih merupakan bidang yang penting untuk mencapai matlamat ini. 

 

"Kami bangga kerana dapat menjalankan kerjasama yang lebih erat dengan Shell dalam langkah untuk melaksanakan penyahkarbonan. 

 

"Menerusi program A2Z ini, kami boleh mengurangkan lagi impak persekitaran fleet penghantaran kami dan beralih kepada operasi yang lebih neutral iklim," katanya. - DagangNews.com