Siapakah yang gembira dan menikmati kesan positif akibat kejatuhan nilai ringgit berbanding matawang lain? | DagangNews Skip to main content

Siapakah yang gembira dan menikmati kesan positif akibat kejatuhan nilai ringgit berbanding matawang lain?

oleh Marziah Mokhtar, Nurhidayah Zakaria dan Siti Mariam Mellisa Abdullah

RAMAI yang ingin tahu hubung kait antara mata wang asing dan prestasi ekonomi negara kerana rata-rata rakyat bercerita hal ini apabila berlaku kejatuhan nilai matawang ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Rakyat Malaysia risau dan tertanya-tanya bagaimana nilai matawang ringgit yang rendah boleh mempengaruhi taraf kehidupan rakyat.

 

Satu penjelasan ringkas terhadap situasi yang menyebabkan ringgit jatuh baru-baru ini adalah kerana berlakunya pengukuhan dolar AS. Tindakan negara tersebut menaikkan kadar faedah mengakibatkan penyusutan nilai matawang asing termasuk ringgit Malaysia.

 

Kadar faedah yang tinggi di AS telah menjadi faktor tarikan kepada pelabur asing untuk memindahkan aset pelaburan mereka kepada negara yang memberi pulangan pelaburan yang lebih tinggi.

 

Kadar pertukaran mata wang dapat didefinisikan sebagai harga sesuatu matawang berbanding matawang asing negara lain.

 

Dengan lain kata, ia merujuk kepada harga mata wang sesebuah negara yang dinyatakan dalam nilai mata wang asing.  Mata wang dolar AS digunakan sebagai pengukur kebanyakan matawang negara lain.

 

Apakah yang menentukan kadar pertukaran asing tersebut?

Harga kadar pertukaran asing ditentukan apabila berlaku keseimbangan permintaan dan penawaran mata wang asing di pasaran. Nilai sesuatu mata wang akan meningkat apabila berlaku lebihan permintaan atau menurun apabila berlaku lebihan penawaran.

 

Namun, kekuatan mata wang sesebuah negara tidak hanya bergantung kepada kuasa permintaan dan penawaran tetapi juga kepada asas-asas ekonomi negara tersebut.

 

Malaysia mengamal dasar ekonomi terbuka dan seringkali terkesan apabila berlaku perubahan kepada rakan dagangan utamanya.

 

Sebagai contoh, apabila terjadi pergolakan ekonomi global yang tidak menggalakkan, nilai matawang negara akan terjejas disebabkan Malaysia menggunakan sistem kadar pertukaran fleksibel dan tidak ditambatkan kepada mana-mana matawang asing.

 

 

parafrasa

 

 

Kejatuhan nilai ringgit yang berlaku dapat dikaji dari perspektif positif mahupun negatif. Pergerakan nilai ringgit tidak mengira sama ada arah mana sekali arah pun akan memberi manfaat kepada sesetengah pihak dan menjejaskan yang lain.

 

Tatkala nilai ringgit menyusut maka sebahagian sektor ekonomi akan menerima manfaat daripada kejatuhan ringgit dan tentunya sebahagian yang lain akan menerima impak yang negatif.

 

Siapakah yang gembira dan menikmati kesan positif akibat kejatuhan nilai ringgit berbanding matawang lain?

Apabila ringgit kurang bernilai dan berada dalam keadaan lemah, pelancong mendapati nilai matawang mereka lebih tinggi.

 

Perkara ini tentulah menggembirakan mereka, sebagai contoh, pelancong dari Amerika, dengan hanya AS$1 mereka memperoleh barang bernilai RM4.5. Sebaliknya, rakyat Malaysia terpaksa membayar 4.5 kali ganda lebih mahal untuk mendapatkan barangan yang diimport dari Amerika.

 

Dari satu sudut pandang lain pula, apabila nilai ringgit menyusut, para pengeksport akan menerima manfaat apabila hasil nilai eksport menjadi lebih tinggi dalam nilai ringgit.

 

Nilai mata wang yang rendah telah membuka peluang kepada negara untuk bersaing di dalam pasaran eksport kerana produk kita menjadi lebih murah secara perbandingan.

 

Secara khususnya, penyusutan nilai ringgit akan memberi manfaat kepada sektor eksport barangan Malaysia terutama barangan perkilangan yang menyumbang sebanyak dua pertiga daripada jumlah eksport kasar.

 

Satu perkara yang perlu diberikan perhatian adalah keselesaan sektor import yang dapat mengaut keuntungan tanpa perlu bersaing.

 

Hanya kerana berlaku kejatuhan nilai mata wang negara, barangan eksport dilihat lebih menarik dan kompetitif.

 

Pada jangka masa panjang dibimbangi pihak pengeluar tidak mempunyai insentif untuk mengurangkan kos dan boleh mengakibatkan penurunan dalam produktiviti.

 

 

parafrasa

 

 

Kesan Negatif

Dari satu perspektif lain pula, kesan negatif penurunan nilai mata wang ringgit menyebabkan barangan import menjadi lebih mahal.

 

Sekiranya pengeluaran barangan tersebut memerlukan bahan mentah yang diimport, maka pengusaha yang terlibat tidak mahu menanggung kerugian kesan dari kejatuhan nilai ringgit ini.  

 

Justeru, pengusaha akan memindahkan beban tersebut kepada pengguna dan menyebabkan harga barangan yang mempunyai komponen import menjadi mahal.

 

Kos pengeluaran yang meningkat disebabkan oleh bahan mentah yang lebih mahal akan dirangkumkan dalam harga barangan yang dikeluarkan.

 

Hal ini boleh menyebabkan inflasi yang dikenali sebagai inflasi diimport. Statistik menunjukkan Malaysia mengimport RM55.5 billion produk makanan pada tahun 2020.

 

Apabila nilai mata wang ringgit jatuh, negara perlu memperuntukkan belanjawan yang lebih besar bagi tujuan ini.

 

Sekiranya harga makanan menjadi lebih mahal, isi rumah kini terpaksa meningkatkan jumlah perbelanjaan untuk menampung kos sara hidup. Hal ini lebih memberi kesan kepada golongan yang berpendapatan rendah memandangkan makanan merupakan keperluan asas.

 

 

parafrasa

 

 

Walaubagaimanapun, satu manfaat yang terhasil secara tidak langsung adalah tercetusnya peralihan permintaan rakyat kepada barangan keluaran tempatan.

 

Namun, sekiranya kapasiti pengeluaran dalam negara tidak mampu memenuhi permintaan, maka inflasi disebabkan permintaan boleh terjadi. Sekali lagi ramai terpaksa menghadapi kos sara hidup yang tinggi dan secara tidak langsung menggugat taraf kehidupan rakyat.

 

Satu kesan negatif dari kejatuhan nilai ringgit yang lain, adalah kuasa membeli pengguna yang mengecil. Sekiranya rakyat Malaysia melancong ke luar negara, mereka terpaksa berbelanja lebih banyak.

 

Umpamanya, sebelum kejatuhan nilai ringgit, rakyat Malaysia dapat membeli cenderahati dari negara yang dilawati dengan harga RM30 tetapi kini mereka perlu menggunakan lebih banyak wang untuk mendapatkan barangan yang sama. Hal ini berlaku kerana kemerosotan nilai ringgit Malaysia.  

 

Penurunan ringgit Malaysia dilihat memberikan kesan kepada ekonomi negara, namun ia dilihat lebih bersifat sementara dan dijangka berpotensi untuk kembali kukuh untuk bersaing dengan matawang lain.

 

 

parafrasa

 

 

Kestabilan kadar pertukaran asing memainkan peranan yang penting bagi memastikan kestabilan ekonomi di sesebuah negara.

 

Secara langsung, pergerakan kadar pertukaran matawang asing akan menyebabkan perubahan dalam harga komoditi import dan eksport, sekali gus memberi kesan kepada aktiviti perdagangan antarabangsa negara. – DagangNews.com

 

 

Marziah Mokhtar, Nurhidayah Zakaria dan Siti Mariam Mellisa Abdullah adalah Pensyarah Kanan Ekonomi, Pusat Asasi, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Dengkil.