Signifikan penurunan tol di Lembah Klang - lega! | DagangNews Skip to main content

Signifikan penurunan tol di Lembah Klang - lega!

Nasib malang waktu malam pun kawasan Batu 3 Shah Alam sesak disebabkan 4 lorong mengecil jadi 3 lorong. - Gambar BERNAMA

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

 

SEKALI imbas, pengumuman kerajaan bersetuju menstruktur semula empat syarikat konsesi lebuh raya bertol di bawah kendalian Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dan mengurangkan kadar tol bagi lebuh raya terlibat, hanya babitkan penduduk Lembah Klang, khususnya Shah Alam.

 

Tetapi sebagai penduduk Lembah Klang juga, semua tahu kepentingan kewujudan lebuh raya sedemikian, bagi meleraikan kesesakan lalu lintas keluar masuk ibu negara.

 

Sejak tol Batu 3 ditamatkan, jalan di situ sesak hampir setiap masa. Selain orang ramai kini mengelak menggunakan KESAS dan NKVE disebabkan masih ada tol, bilangan pengguna bertambah seiring dengan peningkatan kawasan perumahan baharu di Shah Alam dan Klang, termasuk Setia Alam!

 

Kenapa dan mengapa tiada apa-apa dilakukan bagi mengatasi kesesakan di Batu 3 itu, terus menjadi misteri harian. Masalah besar ialah dari Shah Alam, bila menurun bukit, terdapat lima lorong sebelum mengecut menjadi 3 lorong.

 

Ini mengakibatkan bootle-neck disebabkan lorong mengecil. Sudahlah begitu, jalan tersebut menyelekoh pula. Pihak berkuasa jalan raya tolonglah fikirkan kaedah terbaik selesaikan kesesakan setiap hari di Batu 3.

 

Paling wajar kekalkan tiga lorong sepanjang bukit dengan meletakkan penghalang jalan. Selagi ada 5 lorong kemudian mengecil kepada 3 lorong, orang akan berebut-rebut dan bersesak.

 

Dan sehingga sesuatu bernas dilakukan oleh pihak berkuasa jalan raya, pembukaan Lebuh raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) diharap boleh membantu mengurangkan kesesakan di Batu 3.

 

Dan potensi tersebut sangat bagus dengan penurunan kadar tol.


 

dash
Pemandangan udara sebahagin daripada Lebuh raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH).

 

 

Penstrukturan Gamuda selesai

Kini setelah konsesi lebuh raya Gamuda Bhd berjaya distruktur semula, semua mata kini tertumpu kepada syarikat konsesi lain, termasuk IJM Corp Bhd.

 

Berita mengenai konsesi lebuh raya Gamuda yang berjaya disusun semula pada 13 Oktober lalu, adalah serentak pada hari yang sama dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan telah bersetuju dengan cadangan untuk menstruktur semula empat syarikat konsesi tol lebuh raya di bawah Prolintas untuk mengurangkan kadar tol lebuh raya terbabit.

 

Penurunan kadar tol itu melibatkan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Bersurai Kajang (SILK), berkuat kuasa 12.01 pagi 20 Okt. .

 

Sementara itu, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) milik dan dikendalikan IJM dan Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) juga akan menyaksikan penurunan kadar tol mulai 1 Jan 2023.

 

Penganalisis berpendapat bahawa syarikat konsesi lain mungkin boleh didekati untuk menstruktur semula, dalam usaha untuk membekukan sebarang potensi kenaikan kadar tol pada masa hadapan.


 

gamuda
Lebuh raya Shah Alam yang konsesinya dimiliki oleh Gamuda Berhad.

 

 

Awal tahun ini, Menteri Kerja Raya Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof turut menyatakan bahawa lebih banyak konsesi lebuh raya dijangka melalui proses penstrukturan semula.

 

Terutama, syarikat konsesi lebuh raya tersenarai lain termasuk Ekovest Bhd, Taliworks Corp Bhd, Bina Puri Holdings Bhd dan Ahmad Zaki Resources Bhd.

 

Namun begitu, penganalisis percaya akan terdapat lebih banyak perkembangan dari segi IJM dengan penstrukturan semula konsesinya, terutamanya pada suku keempat tahun ini (4Q22).

 

“Walaupun IJM kini bekerjasama dengan kerajaan untuk menstruktur semula beberapa konsesi lebuh raya bertolnya, kami tidak menjangka IJM akan keluar sepenuhnya daripada perniagaan konsesi seperti Gamuda, kerana IJM masih mahu mengekalkan kepentingan dalam perniagaan lebuh raya dan ia juga memanfaatkan sambungan lebuh raya berfungsi sebagai salah satu peluang untuk mengembangkan buku pesanan pembinaannya.

 

"IJM telah mengemukakan cadangan kepada kerajaan mengenai penstrukturan semula lebuh raya dan ia masih menunggu keputusan," kata penganalisis UOB Noor Hazmy Noor Hazin kepada theedgemarkets.com pada 14 Oktober.

 

Seorang lagi penganalisis berkata, apa yang difaham, IJM akan tetap terlibat dalam perniagaan konsesi tol dan tidak berhasrat untuk melupuskannya.

 

“Penstrukturan semula kepada saya tidak akan memberi banyak kesan kepada IJM kerana mereka akan mengambil kira kenaikan kadar tol dalam rundingan mereka dengan kerajaan,” kata penganalisis itu.

 

 

bee
Besraya Eastern Extension menuju ke Taman Maluri dan Pandan Indah di ibu negara. - konsesi dimiliki IJM Berhad

 


Kemungkinan dua fasa kepada pelan penstrukturan semula IJM

Sementara itu, Noor Hazmy berkata mungkin terdapat dua fasa kepada pelan penstrukturan itu, dengan yang pertama hanya merangkumi lebuh raya matang seperti Lebuh raya Besraya milik 100% milik IJM, Lebuh raya Pantai Baru (NPE) milik 100% dan 50% milik Lebuhraya Lekas.

 

Ini katanya adalah konsisten dengan kenyataan terbaru PM, di mana beliau menyatakan bahawa pengurangan tol untuk Lekas ​​dan Besraya berpotensi berkuat kuasa pada 1 Januari 2023.

 

Noor Hazmy menyatakan bahawa trafik di NPE, Lekas ​​dan Besraya kini berada di atas paras pra-COVID-19, bangkit semula daripada penurunan besar dalam jumlah trafik pada FY21 disebabkan penutupan di seluruh negara.

 

Memandangkan perjanjian konsesi memerlukan kerajaan membayar pampasan kepada IJM untuk pembekuan kenaikan kadar tol, peningkatan jumlah trafik bermakna bil subsidi tol juga akan meningkat dan seterusnya memberi tekanan lanjut kepada kewangan kerajaan, kata Noor Hazmy.

 

“Oleh itu, pelan penstrukturan untuk konsesi lebuh raya tol IJM mungkin perlu dilakukan tidak lama lagi, supaya kerajaan dapat mengurangkan bil subsidi tol dan membekukan kadar tol,” katanya.

 

Penganalisis berpendapat bahawa fasa kedua mungkin termasuk Lebuh raya Pantai Barat (WCE) milik 38% milik IJM, yang kini masih dalam pembinaan (kira-kira 80% siap).

 

 

PM

 


Gula-Gula PRU15

Bagi penduduk Lembah Klang, gula-gula PRU15 atau tidak... adalah hal sampingan. Asalkan laluan kurang sesak dan tol tidak mencengkam, kita semua alu-alukan.

 

Namun, langkah Datuk Seri Ismail Sabri ini jelas berbeza dengan pentadbiran Pakatan Harapan yang memotong banyak perkara sehingga rakyat berasa sesak lagi sulit dan komuniti perniagaan terkejut projek-projek dipotong.

 

Pengalaman Barisan Nasional mentadbir dan menguruskan ekonomi terserlah jauh matang. Termasuk dalam hal ehwal konsesi lebuh raya.

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 30 tahun. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh mengenai apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu BOLERO oleh Ella berulang-ulang kali.