Sikap sambil lewa cetus persepsi negatif terhadap perbankan Islam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 6 December 2022

SIKAP SAMBIL LEWA CETUS PERSEPSI NEGATIF TERHADAP PERBANKAN ISLAM

 

 

SETELAH hampir 40 tahun sistem perbankan Islam dilaksanakan di Malaysia, persoalan 'adakah ia dijalankan secara Islam’ masih lagi berlegar dalam fikiran umat Islam di negara ini. 

 

Kepastian 'adakah perbankan Islam dijalankan secara Islam' perlu dikaji secara menyeluruh, bukan sekadar memastikan produk yang dihasilkan sesebuah institusi kewangan memenuhi kehendak syariah. 

 

Malah, keprihatinan orang awam dan mereka yang bertanggungjawab di institusi kewangan juga sememangnya diperlukan. 

 

Isu ilmu dan pengetahuan di dalam perbankan Islam adalah satu perkara penting yang sering bermasalah besar, terutama kepada kakitangan sesebuah institusi kewangan itu sendiri dalam membina, melaksana dan memasarkan produk perbankan.

 

Kita tidak rela perbankan Islam di Malaysia diibaratkan seperti 'hidup segan, mati tak mahu'.

 

 

gambar hiasan

 

 

Perlu diingatkan bahawa perbankan Islam merupakan satu sistem perbankan yang tersendiri dan menyeluruh seperti yang pernah penulis bangkitkan dalam artikel sebelum ini.

 

Sekiranya, kita hanya beranggapan perbankan Islam hanya satu produk baharu di antara produk-produk konvensional, maka pastinya ia akan gagal dilaksanakan menurut lunas-lunas syariah.

 

Sebagai contoh, pembiayaan secara Islam amat ketara bezanya dengan pinjaman konvensional. 

 

Sekiranya membuat pinjaman konvensional, institusi kewangan akan meminjamkan wang kepada pelanggan untuk membeli sesuatu aset dan seterusnya mengenakan faedah atau riba ke atas sejumlah wang yang dipinjamkan. Amalan ini jelas bertentangan dengan syariah yang mengharamkan riba.

 

Sebaliknya jika pembiayaan dibuat daripada institusi kewangan Islam, aset tersebut akan dibeli daripada penjual dan menjualkannya kepada pelanggan dengan harga kos campur keuntungan. 

 

Transaksi ini adalah transaksi ’jual beli’ yang sememangnya digalakkan dalam Islam. Jadi, sistem perbankan Islam amat berbeza dengan sistem perbankan konvensional. 

 

Perbezaan ketara ini bukan sahaja dari aspek asas transaksinya, malah segala dokumen, pengasingan dana, perakaunan dan cara pelaksanaannya juga adalah berbeza. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Semuanya berlegar di ruangan satu sistem tersendiri yang dikenali sebagai Sistem Perbankan Islam.

 

Salah satu aspek yang masih ketinggalan dan perlu diberi perhatian ialah 'kepastian' - di mana pihak-pihak yang berkenaan mahupun dari institusi kewangan itu sendiri ataupun pihak-pihak berwajib untuk memastikan segala urusan yang sudah tersedia berjalan dengan lancar dan tidak melencong daripada landasan yang telah dibina sebelumnya. 

 

Lencongan ini akan mengundang akibat yang amat parah dan boleh mengheret perbankan Islam jauh dari tujuan asal.

 

Kewujudan sikap sambil lewa pihak-pihak yang tertentu dalam melaksanakan transaksi apabila berurusan dengan produk perbankan Islam juga merupakan faktor yang menyemarakkan lagi api tuduhan-tuduhan liar kepada perbankan Islam. 

 

Tanpa perkhidmatan yang tulus beserta dengan ilmu operasi perbankan yang terbatas ia membuatkan pemasaran nilai tambah produk perbankan Islam tidak dapat disematkan ke sanubari para pelanggan. 

 

Malah, pelanggan mula membidas dengan mengatakan produk perbankan Islam sama sahaja dengan produk konvensional. 

 

 

gambar hiasan

 

 

Perkara sebegini perlu diberi perhatian yang serius secepat mungkin sekiranya kita mahu berjaya dan mengembalikan kepercayaan awam terhadap produk perbankan Islam.  

 

Jika kita meneliti transaksi yang dijalankan di institusi kewangan sekarang, terlalu banyak kealpaan telah berlaku dan akan terjadi. 

 

Kealpaan yang mungkin tidak disengajakan atau pun di'tersengajakan' oleh pihak-pihak tertentu sering dikesan berlaku dalam aplikasi sesuatu kontrak yang digunapakai terutama dari segi transaksi mahupun dokumentasi.

 

Apa yang perlu dikhuatiri adalah apabila isu-isu sebegini dibangkitkan oleh pelanggan yang engkar (default customer) di mahkamah sivil. 

 

 

BNM

 

 

Kita perlu sedar, kontrak komoditi murabahah yang menggunakan aturan tawarruq telah digunapakai sekarang dan ia memang banyak pertikaian mahupun dari penggunaan kontrak tersebut mahupun amalannya walaupun diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah, Bank Negara Malaysia (BNM). 

 

Dalam usaha untuk membantu mengurangkan kritikan ini, pihak institusi kewangan perlu memastikan transaksi kontrak dilaksanakan dengan baik dan kemas sepertimana yang digariskan oleh polisi dasar syariah oleh BNM.

 

Jangan biarkan nila yang setitik itu tumpah ke belanga kerana nila tersebut akan merosakkan kesemua susu dalam belanga. Perkemaskanlah penggunaan kontrak tersebut dan pemantauan yang serius perlu dilaksanakan.

 

Kesimpulan yang cuba diunjurkan di sini adalah 'panggilan' kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk lebih serius dalam memastikan transaksi perbankan Islam dilakukan seperti mana yang tercatit di dalam Panduan Perbankan Islam itu sendiri. 

 

Semakan yang terperinci kepada segala dokumen serta perjalanan urusan perbankan Islam adalah amat perlu. 

 

Yang baik kita cemerlangkan agar ia menjadikan perbankan Islam di Malaysia ini gemilang serta mempunyai produk-produk terbilang yang patuh syariah.

 

Yang salah kita perbetulkan dan jadikan ia sebagai sempadan yang tidak akan kita ulang kesilapan. 

 

Jika benar-benar kita berusaha dengan tekad, penulis amat pasti, soalan seperti 'adakah perbankan Islam tidak dijalankan secara Islam?' akan berkubur dengan sendirinya.

 

Marilah kita sama-sama berusaha untuk meletakkan 'batu nisan' kepada soalan sedemikian rupa kerana soalan yang seumpama itu tidak sepatutnya berkumandang lagi setelah hampir 40 tahun perbankan Islam berkembang di Malaysia. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

utm

 

Portfolio Tags