Terbitan khas dianggap selesai, Coraza telah mematuhi syarat ekuiti bumiputera | DagangNews.com Skip to main content

Terbitan khas dianggap selesai, Coraza telah mematuhi syarat ekuiti bumiputera

KUALA LUMPUR 25 Jan - Suruhanjaya Sekuriti (SC) menerusi suratnya bertarikh 20 Januari 2023 mendapati Coraza Integrated Technology Bhd. telah mematuhi syarat ekuiti bumiputera.

 

M&A Securities bagi pihak kumpulan dalam makluman di Bursa Malaysia berkata, ia berdasarkan kepada penetapan harga terbitan saham terbitan khas pada 75 sen setiap satu, mewakili diskaun kira-kira 0.36% daripada harga pasaran purata wajaran lima hari saham Coraza dari 29 November 2022 hingga 5 Disember 2022 lebih kurang 75.27 sen sesaham.

 

"Pada 7 Disember lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah menyediakan senarai peruntukan terdiri daripada 104 pelabur bumiputera bagi saham terbitan khas sebanyak 61.2 juta kepada M&A Securities.

 

"Setakat 15 Disember 2022, jumlah bayaran untuk 905,000 saham terbitan khas berjumlah RM678,750 telah diterima daripada 58 pelabur bumiputera. Wang telah dimasukkan ke dalam bank. Ini mewakili penerimaan hanya 1.5% daripada jumlah 61.2 juta saham terbitan khas yang ditawarkan," katanya dalam makluman itu hari ini.
 

M&A Securities pada 19 Disember lalu, memaklumkan MITI mengenai kadar penerimaan dan meminta persetujuan MITI bahawa peruntukan saham terbitan khas dianggap mematuhi Keperluan Ekuiti Bumiputera.

 

MITI melalui surat bertarikh 19 Disember, memaklumkan bahawa mereka telah menghabiskan semua peluang untuk memperuntukkan saham terbitan khas. 

 

"Dalam hal ini, MITI tidak akan meneruskan untuk memperuntukkan lagi baki saham terbitan khas. Oleh itu, terbitan khas dianggap selesai," jelasnya. 

 

Dalam penutupan petang ini, saham Coraza menokok 1 sen atau 1.09% kepada 92.5 sen dengan 31.73 juta saham diniagakan. - DagangNews.com