UCSI terus perkukuh kedudukan catat peningkatan cemerlang QS World University Rankings  | DagangNews Skip to main content

UCSI terus perkukuh kedudukan catat peningkatan cemerlang QS World University Rankings 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - Universiti UCSI terus mengukuhkan kedudukan di peringkat global apabila empat disiplinnya mencatat peningkatan cemerlang melalui senarai terkini QS World University Rankings mengikut Subjek 2023.

 

UCSI dalam kenyataan hari ini memaklumkan, universiti swasta itu kini di kedudukan ke-34 peringkat global bagi subjek Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan yang terus membaiki kedudukan dengan mendaki enam anak tangga berbanding pencapaian tahun lalu.

 

Katanya, UCSI turut menembusi kelompok 200 terbaik dalam bidang Seni dan Reka Bentuk serta Pengajian Pengurusan Perniagaan. Ia juga mendaki 58 anak tangga untuk berada dalam kelompok 330 terbaik bagi disiplin Pengurusan dan Sains Sosial.

 

"Selain itu, Universiti UCSI juga buat pertama kalinya tersenarai dalam kelompok 300 terbaik bagi subjek Farmasi dan Farmakologi.

 

"UCSI turut tersenarai di kedudukan ke-21 di peringkat global bagi Seni Persembahan sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai universiti terbaik di Malaysia bagi pengajian muzik dan seni persembahan," katanya.

 

Naib Canselor UCSI, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pencapaian terbaharu yang menunjukkan kedudukan subjek universiti di peringkat global itu menunjukkan universiti tersebut memberi impak kepada akademik dan industri.

 

Beliau berkata, bagi mengekalkan trajektori menaik setiap tahun bukan tugas mudah dan beliau berterima kasih kepada semua pelajar dan staf UCSI serta pemegang taruh atas usaha berterusan yang dipamerkan.

 

 

UCSI
                                        Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir

 

 

“Meski ada banyak peningkatan pencapaian, kami kekal fokus untuk berkembang bagi memenuhi keperluan ekonomi yang sentiasa berubah. Kami tidak mahu graduan hanya adaptasi dengan perubahan, kami mahu mereka memacu perubahan itu.

 

"Ke depannya kami akan laksanakan lebih lagi dalam penyelidikan, kerjasama antarabangsa, rakan kongsi industri serta kepimpinan pemikir," katanya.

 

Universiti UCSI merupakan universiti swasta terbaik di Malaysia yang tersenarai dalam QS World University Rankings 2023 di kedudukan ke-284 sekali gus dikelaskan dalam kelompok 1% terbaik di dunia.

 

UCSI juga merupakan universiti tunggal yang menerima pengiktirafan 'QS Recognition for Improvement Award' sempena QS EduData Summit di New York pada 2022.

 

Setakat ini, Universiti UCSI memiliki empat kampus yang beroperasi iaitu di Kuala Lumpur, Kuching, Port Dickson dan Bangladesh. - DagangNews.com