KUALA LUMPUR 2 Mac - YNH Property Berhad (YNH) menerima persetujuan daripada pemegang saham untuk melupuskan Kiara 163 Retail Park dan AEON Seri Manjung bernilai RM422.5 juta secara tunai kepada ALX Asset Berhad pada mesyuarat umum luar biasa (EGM) semalam.
Pengarah Bukan Eksekutif Bebas YNH, Ching Nye Mi berkata, pelupusan kedua-dua aset tersebut akan menjana penyerapan RM422.5 juta dan mengukuhkan kunci kira-kira kumpulan di samping mendapat lebih ruang bagi membiayai pelbagai rancangan projek dalam bank tanahnya.
Pembiayaan tersebut termasuk projek perdananya, Menara YNH, yang menerima kelulusan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 24 Feb yang lalu, melibatkan pembangunan tanah komersial pegangan bebas dalam Daerah Pusat Perniagaan Kuala Lumpur.
Dalam kenyataannya di Bursa Malaysia, Nye Mi optimis terhadap prospek sektor hartanah di Malaysia dan menjangka kumpulan itu akan menjana pendapatan sewa kira-kira RM6.4 juta setahun dari hartanah semasa di Perak.
“Projek pembangunan hartanah yang sedang berjalan seperti Solasta Dutamas dan projek pembangunan hartanah akan datang di Genting Highlands juga dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan untuk beberapa tahun mendatang," tambahnya.
Menurut pekeliling kepada para pemegang saham bertarikh 10 Februari 2023, kumpulan tersebut menjangka keuntungan bersih pro forma kira-kira RM61 juta dari cadangan latihan pelupusan yang berpotensi meningkatkan aset dan pendapatan bersihnya.
Pendapatan daripada pelupusan akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan keperluan modal kerja kumpulan serta membayar latihan pelupusan yang dicadangkan.
Sebelum ini, YNH telah memaklumkan jumlah pertimbangan tunai RM422.5 juta bagi pelupusan itu merangkumi RM270.5 juta untuk Kiara 163 Retail Park dan RM152 juta untuk Aeon Seri Manjung.
Kumpulan itu berkata, jumlah tersebut akan dilunaskan sepenuhnya oleh ALX Asset Berhad secara tunai melalui penerbitan Nota Jangka Sederhana (MTN) di bawah program nota jangka sederhana yang disokong aset (ABS MTN) sehingga RM500 juta dalam nilai nominal.
Selain itu, YNH juga memaklumkan bahawa cadangan pelupusan itu melibatkan urus niaga pihak berkaitan dan oleh itu, Pengerusi YNH, Datuk Dr. Yu Kuan Chon serta Pengarah Urusan Hartanah YNH, Datuk Yu Kuan Huat tidak terlibat dengan semua perbincangan lembaga pengarah, mesyuarat dan pengundian resolusi untuk pelupusan yang dicadangkan pada EGM tersebut. -DagangNews.com