COVID-19, DTT dan saluran televisten terestial di Malaysia hari ini | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 12 March 2021

COVID-19, DTT DAN SALURAN TELEVISYEN TERESTIAL DI MALAYSIA HARI INI

 

 

BERMULA 1 Mac 2021, Radio Televisyen Malaysia (RTM) iaitu organisasi media nasional memulakan siaran saluran percubaan bagi sebuah saluran baharu, TV6 melalui platform myFreeview. Buat masa ini saluran percubaan ini diisi dengan kandungan bertema retro – yang mana terdiri daripada program-program klasik milik RTM. Saluran ini menjadi saluran televisyen terestial (free-to-air / FTA) keenam bagi RTM yang bersiaran di platform myFreeview setelah TV1, TV2, TV Okey, BES, dan RTM Sport HD.

 

Beberapa bulan sebelumnya, tepatnya pada 28 Julai 2020, sebuah lagi saluran televisyan terestial (saluran percuma) iaitu AwesomeTV yang dimiliki Awesome Media Network Sdn Bhd memulakan siaran percubaan – dan kemudiannya mula beroperasi dan bersiaran sepenuhnya melalui platform MyFreeview pada 3 Ogos 2020.

 

Ini diikuti oleh saluran televisyan milik kerajaan negeri Sarawak melalui Sarawak Media Group Sdn Bhd iaitu saluran 122 TVS yang terlebih dahulu memulakan siaran di platform Astro pada 10 Oktober 2020 – sebelum menyertai rangkaian saluran terestial yang lain melalui platform myFreeview pada 6 Februari 2021.

 

kreatif

 

Pelancaran tiga saluran terestial yang bersiaran di peringkat nasional dalam tempoh masa beberapa bulan ini memberikan petanda yang positif kepada dunia penyiaran terestial, khususnya ketika kita bergelut dengan persoalan jangka hayat dunia televisyen – khususnya saluran terestial - dalam situasi terkini.

 

Sejak beberapa tahun lalu, perbincangan mengenai masa depan saluran televisyan konvensional menjadi topik hangat dalam dunia penyiaran. Kemunculan platform baharu seperti strim (OTT) menjadi pesaing – malah dilihat sebagai ancaman besar kepada stesen televisyen.

 

Faktor fleksibeliti dan aksesibiliti yang diberikan platform OTT membuatkan ia menjadi lebih mesra penonton. Kandungan yang mahu ditonton boleh ditonton pada bila-bila masa yang dimahukan – serta ia boleh ditonton di pelbagai gajet; sama ada televisyen, telefon pintar, tablet, komputer dan sebagainya.

 

Ramai meramalkan dunia televisyen memasuki fasa-fasa akhir hayatnya.

 

Namun, kita dapat melihat tahun 2020 ibarat memberikan hayat baru kepada dunia televisyen. Pandemik COVID-19 yang melanda, serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan mengembalikan masa kepada orang ramai untuk duduk di rumah – dan mengisi masa menonton televisyen – sesuatu yang sukar untuk dilakukan beberapa ketika kebelakangan ini akibat kesibukan rutin harian masa kini.

 

kreatif

 

Namun, salah satu faktor pemangkin hal ini – selain berkaitan pemberian lesen penyiaran oleh Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM) - pastinya atas faktor pelaksanaan Digital Terrestial Television (DTT) di Malaysia yang mana proses migrasi ini diamanahkan oleh kerajaan Malaysia kepada syarikat Puncak Semangat Sdn Bhd pada 16 April 2014, iaitu setelah hampir dua tahun mereka membida konsesi ini – dan sekarang dikendalikan oleh MYTV Broadcasting Sdn Bhd bagi menguruskan DTT melalui platform myFreeview.

 

Setelah lebih lima dekad bersiaran secara analog, dunia televisyen Malaysia beralih sepenuhnya ke transmisi digital dengan penutupan stesen pemancar analog di Semenanjung pada pertengahan Oktober 2019 serta diikuti 16 stesen pemancar di Sabah serta 26 stesen di Sarawak pada 1 November 2019.

 

Pelaksanaan DTT ini memberikan lebih ruang kepada kemunculan saluran-saluran terestial yang baharu – menyertai saluran terestial sedia ada seperti TV3, TV9, NTV7, 8TV (Media Prima Berhad), TV Alhijrah (Alhijrah Media Corporation) dan lain-lain - yang mana pelaksaan DTT dilihat meningkat kualiti, kelancaran dan efisyen siaran, kos siaran yang terkawal dan beberapa faktor lain yang dilihat menjurus kepada pertimbangan untung rugi dan pulangan pelaburan (ROI) – terutama bagi saluran milik swasta.

 

kreatif

 

Namun, walaupun sudah maju dari aspek siaran, bagaimana pula dengan perubahan trend penontonan masyarakat kini – termasuklah bentuk kandungan yang menjadi keperluan dan pilihan khalayak penonton kini?

 

Adakah stesen televisyen terestial masih kompetitif dan berdaya saing dengan pelbagai pilihan yang baharu muncul mahupun sedia ada pada masa kini- seperti saluran TV berbayar dan OTT?

 

Dalam satu sesi webinar yang berjudul ‘TV in Social Media Age’ anjuran syarikat perunding Precession Capital Berhad pada penghujung tahun 2020 yang lalu, Pengarah Urusan Awesome Media Network yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak meyakinkan bahawa dunia televisyen bukan hanya sebuah industri yang bertahan – tetapi sebenarnya masih mempunyai daya kompetatif yang baik – dengan sekian banyak potensi yang masih belum diteroka.

 

Dalam kata lain, dunia televisyen bukan berada di penghujung hayatnya – tetapi masih dalam fasa untuk terus tumbuh dan berkembang. Menurut beliau, apa yang perlu adalah dunia televisyen ikut berevolusi dan beradaptasi dengan situasi semasa dalam dunia digital hari ini. Saluran televisyen harus tidak terus dengan pendekatan konvensional, tetapi berintegrasi dengan platform digital yang lain – tanpa menafikan platform televisyen sebagai salah satu komponen utama dalam dunia media dan komunikasi massa pada hari ini.

 

Ini disokong oleh seorang lagi panel pada sesi berkenaan iaitu Dr Wong Jeh Shyan iaitu bekas CEO CommerceNet Singapore yang turut membentangkan topik `Capitalising The Media` pada hari tersebut.

 

kreatif

 

Mungkin antara potensi yang boleh dilihat adalah dalam konteks model perniagaan – salah satunya untuk mengubah kebergantungan pendapatan televisyen terestial sebelum ini daripada pendapatan pengiklanan semata-mata, kepada potensi pendapatan lain yang sesuai sebagai sebuah saluran percuma. Ini boleh membantu daya tahan stesen penyiar apabila berlaku trend peralihan perbelanjaan pengiklanan dari televisyen ke platfom media sosial & digital.

 

Berhubung aspek interaktif dalam siaran - hal berkenaan sememangnya menjadi antara fokus dan perhatian dalam agenda pelaksanaan DTT di Malaysia kini – yang mana MyTV Broadcasting sebagai pengendali platform myFreeeview membawa jenama sebagai platform `common integrated infrastructure provider’ (CIIP) – selari dan seperti mana dengan pelaksanaan DTT di negara lain.

 

Ini membuatkan saya bertambah yakin bahawa meskipun terdapat beberapa perubahan gaya hidup, trend tontonan dan sebagainya - sektor televisyen khususnya televisyen terestial akan terus relevan dalam masyarakat dan budaya penontonan masa kini.

 

kreatif

 

Dari pemerhatian umum, dalam satu lagi konteks komunikasi massa, kita dapat melihat kerelevanan saluran televisyen terestial pada masa kini terbukti lagi baru-baru ini – apabila usaha dilaksanakan terhadap `Pelaksanaan dan Pembelajaran di Rumah` (PdPR) akibat penutupan sekolah oleh Kementerian Pendidikan akibat pandemik.

 

Ramai melihat dan berpendapat bahawa saluran televisyen terestial merupakan platform yang paling praktikal dan berkesan dalam melaksanakan pendekatan tersebut - meskipun kita sudah mempunyai pelbagai platform lain termasuklah saluran Youtube, GoogleMeet dan sebagainya.

 

Jangkauan dan capaian saluran televisyen terestial masih dianggap yang paling meluas – yang membolehkan keseragaman sesi PdPR dan keberkesanannya dapat dilaksanakan. Hasilnya beberapa slot di saluran RTM dijadikan slot PdPR, malah saluran NTV7 milik Media Prima Berhad dijenamakan semula sebagai DidikTV bagi memenuhi keperluan tersebut.

 

kreatif

 

Tidak kira dalam konteks komunikasi, agenda kerajaan, perniagaan, atau pelaburan, saya melihat saluran televisyen terestial masih relevan dan berpotensi besar untuk terus wujud mengisi keperluan semasa.

 

Industrinya juga masih berpotensi untuk berkembang. Malah di Malaysia, mungkin usaha baharu boleh diteroka seperti mewujudkan saluran televisyen terestial bersifat komuniti atau wilayah di lokaliti tertentu – seperti mana yang kita dapat lihat berlaku di Indonesia dengan terdapat sekian banyak saluran televisyen wilayah dengan pasaran yang lebih lokal dan spesifik – yang mana mungkin ia memenuhi keperluan dan kehendak sesetengah golongan pengiklan yang bersifat setempat.

 

Setahu saya – jika tidak salah – ada beberapa syarikat lain juga telah mendapat lesen bagi menjalankan operasi saluran televisyen terestial – cuma belum bersiaran. Jika semuanya berjalan lancar, industri televisyen kita akan lebih meriah.

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

 

BACA  ARTIKEL INDUSTRI KREATIF INI JUGA : 

Gelombang Anak Muda Tokusatsu & Harta Intelek

ADAKAH PELUANG UNTUK PLATFORM OTT TEMPATAN BERKEMBANG?

BIG DATA & POTENSI SILANG INDUSTRI BAGI KANDUNGAN KREATIF

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags