'Dah pergi Mekah, berbaloikah saya masih menyimpan di Tabung Haji?' | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Iktisad - 19 October 2021

'Dah pergi Mekah, berbaloikah saya masih menyimpan di Tabung Haji?'

 

 

SOALAN: “Saya telah menunaikan fardu haji. Oleh demikian, kalau kita sudah menunaikan ibadah haji apakah berbaloi jika kita terus menyimpan di Lembaga Tabung Haji atau mula menyimpan di tempat lain. Ini kerana tujuan simpanan di Tabung Haji adalah untuk menunaikan ibadah haji sahaja. Lagipun, saya merasakan saya akan mendapat pulangan yang lebih tinggi hasil pelaburan di tempat lain. Terima kasih.”

 


Soalan di atas adalah antara soalan yang lazim dikemukakan kepada penulis. Penulis sememangnya bersetuju dengan pandangan dilontarkan dan sesungguhnya keputusan untuk melabur atau menyimpan wang di mana-mana pusat pelaburan adalah milik si pelabur.

 

Pada penulis, sekiranya rukun Islam kelima telah terlaksana, maka kita berhak untuk memastikan segala pelaburan atau simpanan wang kita sentiasa berada dalam akaun-akaun patuh syariah.

 

Kita boleh sahaja menyimpan di bank-bank Islam atau membuat pelaburan dana unit amanah yang juga memenuhi keperluan Islam.

 

 

tabung haji
Tidak ada salahnya jika mahu terus menyimpan di Tabung Haji walaupun sudah menunaikan rukun Islam kelima.

 

 

Namun, para penyimpan boleh juga terus meletakkan wang mereka di Tabung Haji. Jika kita lihat potensi dividen yang diberikan Tabung Haji, pulangan atau dividennya adalah agak lumayan dan setanding dengan pulangan simpanan-simpanan patuh syariah yang lain.

 

Seperkara yang amat dekat di hati penulis adalah simpanan para penyimpan Tabung Haji akan digunakan untuk membantu para jemaah lain menunaikan fardu haji melalui 'muassasah'. 

 

Ia berbentuk subsidi. Menunaikan haji adalah satu ibadat yang penuh dengan pahala. Apatah lagi jika penyimpan Tabung Haji, yang telah pun menunaikan haji, tetapi wang mereka digunakan untuk membantu para jemaah baharu mengerjakan ibadah ini.

 

Pahala haji akan terus mengalir kepada para penyimpan yang terus menyimpan dengan Tabung Haji.

 

Penulis adalah penyimpan tegar di Tabung Haji. Pada penulis dengan menyimpan sebegini, ia adalah salah satu cara yang membolehkan penulis mengumpul pahala untuk dijadikan bekalan di alam yang satu lagi itu. 

 

Ia adalah pulangan istimewa yang penulis amat harapkan hasil daripada 'pelaburan' wang simpanan di Tabung Haji, walaupun sudah menunaikan rukun Islam kelima ini. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS)
Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm
 

Portfolio Tags