DUA KISAH LEGENDA DARI PAHANG
Kuala Semantan. Kampung Pulau Tawar. Kuala Tembeling. Pengkalan Balai. Bukit Segumpal. Chenor tanah airku.
Nama-nama tempat bersejarah ini sejati dan segar dalam ingatan. Saya anak jati Pahang, jadi fenomena filem berunsur kisah sejarah dan legenda negeri Pahang amat menyentuh perasaan.
Sewaktu remaja saya disajikan kisah waris terdahulu iaitu Tok Tunggal dan Tok Chenduk. Tok Tembaga dan Tok Parit. Tok Imam Perang Husin dan Tok Nit. Tok Kota.
Al-fatihah pada Arwah yang telah pergi…Mereka melawan lanun di perairan yang luas, bertikam lidah dan berkembara ke Patani, Singapura dan Bentan. Ini menjadi sebahagian dari jati diri dan darah daging kami di Pahang.
Sejak kecil lagi, suasana Sungai Pahang itu menjadi latar belakang kehidupan. Itulah laluan ‘lebuhraya’ dari Semantan ke Pekan - melalui Sungai Pahang, Sungai Kuantan, Sungai Bebar, Sungai Rompin, Sungai Endau dan beberapa buah sungai kecil yang lain.
Sejak kecil saya sedar, pada zaman dahulu, jika hendak ke Kelantan dari Pahang, ikutlah Sungai Tanum anak Sungai Jelai, atau Sungai Sat dan Sungai Sepia kedua-duanya anak Sungai Tembeling. Begitu juga ke Perak, dahulukala semuanya mengikut sungai.
Sultan Mahmud, Tun Fatimah dan Tun Teja ke Pahang setelah Feringgi menjatuhkan Melaka. Keluarga diRaja turun ke Muar, menyeberang sungai dan terus ke Pahang (silalah baca buku Lipur Lara Alam Melayu untuk mengikuti kisah ini).
Sebagai Penonton
Justeru, pengalaman menonton filem Mat Kilau ini boleh dikatakan pengalaman ‘balik ke asal’ yang memanggil seluruh jiwa raga. Tidak segan silu, saya mengaku, baru lima minit menonton, dengar saja Bumi Pahang disebut, sudah teresak-esak menangis dalam panggung wayang. Kenapa?
Tiada muzik atau kasih sayang ‘berlebihan’ dalam cerita ini. Namun mesej yang disampaikan padu, ‘no frills’ dan ada kalanya begitu pedih apabila mengenali kelemahan anak bangsa disebut Mat Kilau.
“BUMI TANAH PAHANG INI ADALAH BUMI YANG BERDAULAT”
Ternyata, pengalaman menonton Mat Kilau lebih dari itu. Membesar di Kampung Chenor, Temerloh Pahang pemandangan dalam filem ini begitu serasi.
Sudah biasa mendengar nama Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Bahaman. Kuala Semantan dan Kampung Pulau Tawar. Biasa mendengar kisah legenda di tebing Sungai Pahang. Di Chenor. Kertau. Sekara. Kampung Awah dan Bukit Segumpal. Namun, kisah sebegini hampir hanyut ditelan zaman.
Kami sedia maklum keindahan kehidupan di sini adalah warisan ratusan tahun.
Sepanjang hayat menulis hikayat, saya mendoakan ada satu hari nanti filem seperti Mat Kilau. Saya menunggu. Dan berharap. Kini sudah tiba. Walaupun saya bukan orang filem, saya amat gembira.
Saya tidak tahu dan tidak kesah cacat cela perfileman. Saya tidak rasa janggal bahasanya bahasa Melayu, dan bukan bahasa yang saya biasa dengar di kampung. Tidak ada Moh. Kome. Dereh sikit. Diharapkan selepas ini, lebih banyak filem sebegini akan diusahakan.
Cuma saya rasakan, keindahan budaya Melayu itu ada baiknya jika ditonjolkan. Terasa kekurangan tiada pantun atau qasidah. Kitab dan gamelan. Gasing atau sepak raga. Main senapang pelepah pisang. Terasa suasana kampung terlalu serius, tidak seperti kampung saya semasa kecil.
Mat Kilau hebat bermain gasing…
Tidak mengapa.
Yang penting, filem ini telah menaikkan semangat jati diri bangsa, cinta pada budaya kepahlawanan dan berseninya silat, kasih dan keyakinan pada ugama.
Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan berjaya mencetus ‘emosi’ jeritan batin selama ini.
Kalau saya tonton sepuluh kalipun, saya akan menangis - sedih, gembira, bangga, nostalgia, rindu.
WALINONG SARI - FILEM ANIMASI PENDEK
Hari berganti hari
Bulan berganti bulan
Rusa di hutan menjadi jinak
Ayam denak berkeliaran
Tiada yang memburu
Tersohorlah perihal Puteri Walinong Sari di seluruh Nusantara, siang malam asyik bertempur dengan anak raja dan pahlawan perkasa – tiada seorang pun yang dapat mengatasi ilmu persilatan puteri itu.
Pada masa yang sama, saya berdebar-debar menunggukan tayangan perdana animasi Wslinong Sari diarah Eugene Foo, penulis skrip Honey Ahmad. Pelakun juga tersohor semuanya.
Saya menulis Walinong Sari sebagai lagenda pembukaan dalam buku Lipur Lara Nusantara kira-kira 3 tahun lalu. Saya memilihnya kerana rakan saya zaman kanak-kanak Tengku Hasani mengingatkan saya bahawa cerita itu mempunyai tempat yang istimewa di kampung Chenor. Apabila saya menulisnya, semua cinta saya kepada Hikayat dan negeri asal saya dicurahkan ke dalamnya.
Oleh itu , saya merasa amat gembira Hikayat ini telah mencetus inspirasi kepada Honey Ahmad dan Eugene Foo untuk mencipta filem animasi pendek yang cantik dengan sokongan MDEC - dan ia mendapat sambutan dan perhatian. Begitu ramai jenius berbakat terlibat dalam pengeluarannya, betapa indahnya melihat perkara ini berlaku. Sangat berbangga menjadi sebahagian daripada projek ini.
Adalah sangat penting , sebagai penulis, kita terus menceritakan semula, dan menyusun cerita rakyat supaya boleh dah jadikan bahan terbaik dalam industri kreatif.
Lipur Lara Nusantara dan Lipur Lara Alam Melayu mempunyai 40 cerita setiap satu - hanya menunggu untuk memberi inspirasi kepada filem, penerbitan TV, animasi atau drama sekolah seterusnya!
Harap sesiapa yang belum menonton kedua film ini berpeluang berbuat demikian satu hari nanti.
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA
#alifeinspiredbyhikayat
#lipurlaraalammelayu
#lipurlaranusantara
#walinongsari