Menyambut Hari Raya: Agama, Adat dan Adab | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 08 Apr 2024 07:20 AM

MENYAMBUT HARI RAYA 
Agama, Adat dan Adab

 

 

Berlalulah sudah Ramadan, sebulan berpuasa
Tiba Syawal kita rayakan dengan rasa gembira
Anak muda di rantauan, semuanya pulang ke desa
Ibu dan ayah keriangan bersyukur tak terkira

Anuar Zain
(Lirik oleh Habsah Hassan, Komposer Datuk Adnan Abu Hassan)

 

 

HARI RAYA adalah sambutan demi meraikan kemenangan setelah berpuasa sebulan bagi umat Islam seluruh dunia. Firman Allah SWT dalam Surat al- Baqarah, ayat 185: "…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, supaya kamu bersyukur."

 

Pada 1 Syawal kita diharamkan untuk berpuasa demi menyambut kemenangan besar umat Islam berpuasa sepanjang Ramadan. 

 

Pada masa yang sama,  bagi masyarakat Islam terutamanya, Hari Raya juga merupakan detik yang membawa nostalgia zaman kecil yang dihiasi dengan saat-saat indah dipenuhi adab dan adat bagi kita di Malaysia. 

 

Pada bulan Ramadan, anak-anak dididik supaya gigih dan cekal berpuasa. Kemenangan berpuasa itu adalah Hari Raya yang meriah.

 

Inilah yang ditanamkan pada anak-anak dan hadiah yang lebih besar selain dari menempah atau membeli baju raya ialah peluang berjumpa datuk dan nenek yang disayangi. 

 

 

hikayat
Suasana Hari Raya (Imej kad raya UKM)

 

 

Budaya yang tak lapuk dek hujan. Tak lekang dek panas. 

 

Sebelum beraya, keluarga keluar bersama membeli baju Raya. Alhamdulillah, baju kurung, kebaya, baju Melayu telah kembali lengkap dengan tanjak atau songkok buat jejaka. Tudung dan selendang menjadi pelengkap busana bersama hiasan dokoh dan barang kemas. 

 

Kueh muih juga tidak ketinggalan menambah seri suasana raya. 

 

Bagi kebanyakan keluarga pada masa dahulu, Hari Raya adalah peluang balik ke kampung. Ini membentuk kesinambungan dengan keluarga. Segala ceruk rantau kawasan pergunungan, tepi sungai atau di pantai. 

 

Malah,  perjalanan pulang ini mendekatkan kita dengan  pemandangan indah menuju kampung halaman yang tercinta. Kesibukan kota ditinggalkan dan tradisi kampung dihargai. 

 

Luas pandangan, saujana mata memandang.

 

 

iktisad

 

 

Yang lebih penting, Hari Raya kekal sebagai masa terbaik mengeratkan silaturrahim keluarga. Adat dan adab yang tertanam sejak zaman dahulu kala tetap dijaga dengan baik, baik oleh yang tua maupun yang muda. 

 

Bagai aur dan tebing. Bagai kuku dengan isi. 

 

Budaya saling bermaafan itu amat penting dibentuk sejak kecil lagi supaya dapat diteruskan setiap tahun bersalih ganti. 

 

Buang yang keruh. Ambil yang jernih.

 

Tak lepas pula dari nikmatnya hidangan lazat saat Hari Raya tiba. Rendang, ketupat, lemang, dan serunding menjadi hidangan yang wajib ada di setiap rumah. Lalu hiasan rumah dengan berbagai sentuhan khas Hari Raya juga turut menceriakan suasana perayaan ini.

 

Lagu-lagu Raya yang khas turut membangkitkan suasana perayaan. Ini menjadi pencetus kenangan dari satu generasi menyatukan masyarakat melalui irama khas Hari Raya. Tradisi dan adat yang diwariskan oleh nenek moyang menjadi sebahagian intipati tak terpisahkan dari keseluruhan nikmat Hari Raya.

 

Cuma tinggal satu dua tradisi Hari Raya yang hampir pupus, dan mungkin tidak akan kembali. Ia diganti dengan ucapan digital yang begitu canggih, lestari dan murah, namun tidak membangkitkan perasaan gembira seperti kad raya. Bukan saja keseronokan menghantar dan menerima kad raya itu begitu bermakna, lukisan dan gambar juga begitu menawan dan menambat kalbu. 

 

 

hikayat

 

 

Begitu juga tradisi memasang panjut, dari buluh, tin susu atau botol. 

 

Hari Raya, yang menjadi tuntutan agama adalah juga pencetus kesenian dan budaya yang berpanjangan, begitu bermakna bagi setiap keluarga. Perayaan ini bukanlah sekadar warisan tradisi, tetapi juga membentuk sejarah dan corak kekeluargaan sesebuah bangsa.

 

Oleh kerana itu, mari lestarikan adab, adat, silaturrahim sepanjang Hari Raya ini seiring dengan memperlihatkan budaya kita yang kaya dengan sopan santun dan salin hormat menghormati.  Kemenangan ibadah. Perayaan budaya. Tegakkan bangsa. Pelihara silaturrahim dan saling muhibbah. 

 

Selamat Hari Raya dan berhati hati di jalanraya. Maaf Zahir Batin dari Hikayat Fandom. - DagangNews.com 

 

Dari Jauh Ku Mohon Maaf - Sudirman

Dalai dingin subuh hatiku terusik
Kenang nasib diri di rantauan
Bergema takbir raya menitis air mata
Terbayang suasana permai desa

 

Rindu hati ini inginku kembali
Pada ayah bonda dan saudara
Tetapi aku harus mencari rezeki
Membela nasib kita bersama

 

(korus)
Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan ampun maaf
Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama
Meraikan aidil fitri yang mulia

 

Restu ayah bonda kuharap selalu
Hingga aku pulang kepadamu

 

(korus)
Hanya ku sampaikan doa dan kiriman tulus ikhlas
Dari jauh kupohonkan ampun maaf
Jangan sedih pagi ini tak dapat kita bersama
Meraikan aidil fitri yang mulia

 

Restu ayah bonda kuharap selalu
Demi anakmu yang kini jauh

 

Penulis lirik: Haron Abdulmajid
Komposer: S. Atan

 

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb