Ramalan terakhir Eren: Bahaya memupuk budaya penuh kebencian | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 13 November 2023

RAMALAN TERAKHIR EREN: BAHAYA MEMUPUK BUDAYA PENUH KEBENCIAN

 

 

MINGGU lepas, saya sempat menonton episod terakhir Attack On Titan bersama keluarga dan menyedari betapa siri animasi selama 10 tahun itu mencerminkan paradigma yang paling ditakuti. Bahawa manusia cenderung mengulangi kesilapan lama, buta terhadap sejarah zaman silam. 

 

 

parafrasa

 

 

Baru-baru ini, di media sosial kita lihat begitu banyak pertelagahan - terkini tentang alumni sekolah SBP. Ada juga perbalahan dan tuduhan dasar perkauman seta diskriminasi yang membawa kepada penghijrahan berskala besar ke negara lain. Masalah kemanusiaan Palestin juga membawa perbalahan topik boikot dan sebagainya. Pelbagai topik. Pelbagai ragam. 

 

Malaysia - yang cintakan keamanan, perlahan-lahan berubah mencerminkan rakyat yang cenderung berbalah, dendam mendendam jika kita lihat perangai ahli politik di luar sana. Kadang-kadang, walaupun mereka bersetuju antara satu sama lain, sindiran dan cemuhan digunakan dalam bahasa pengantaraan. Kita berusaha mengajar anak-anak untuk tidak berkelakuan seperti ini, namun sifat  kebencian ini semakin tidak terkawal.

 

Ada yang terang-terangan dan tidak langsung menyesal, menghasut kebencian sebagai tanda 'moden' dan progresif.

 

Memupuk budaya berakar umbi dalam perasaan benci membawa akibat buruk dalam masyarakat melibatkan kepelbagaian etnik. Budaya benci membenci boleh mencetuskan ketegangan dan konflik yang membawa kepada diskriminasi, pertembungan etnik dan keganasan. Apabila kebencian berleluasa, ia melemahkan struktur sosial, menyukarkan kehidupan secara aman dan harmoni.

 

Sebenarnya kesemua pihak sama saja, paku dulang paku serpih. Mengata orang, ada saka yang lebih. Ada saja segelintir dalam masyarakat yang mesti lantang bersuara. 

 

Salah satu bahaya utama budaya penuh kebencian ialah potensi untuk sebahagian dari masyarakat dipinggirkan dan dikecualikan. Kebencian menimbulkan prasangka dan diskriminasi terhadap kumpulan etnik tertentu. Ini boleh mengambil kira pelbagai cara - dasar berat sebelah, kekuatan ekonomi tidak sama rata,  peluang kepada sumber dan peluang, dan peluang memiliki aset dan kekuatan sosial budaya.

 

Meminggirkan mana-mana kumpulan etnik bukan sahaja merupakan ketidakadilan, ia  menghalang kemajuan masyarakat dan pembangunan negara secara keseluruhan. Kita lihat apa yang telah berlaku dan sedang berlaku kepada rakyat Palestin.

 

Satu lagi bahaya untuk memupuk budaya kebencian ialah potensi radikalisasi dan ekstremisme. Apabila kebencian terus disemarakkan, ia mewujudkan landasan yang subur untuk ideologi ekstremis berakar umbi. Pihak pelampau boleh mengeksploitasi perasaan permusuhan ini bila ada individu yang merasa terpinggir atau marah terhadap komuniti etnik lain.

 

Fikirkan, ekstremisme bukanlah 'keistimewaan' eksklusif satu kaum. Malangnya, pemikiran ekstremis berleluasa apabila tidak dibendung. Sama ada di Bangsar atau Chow Kit. Subang atau Kampung Baru. Pulau Pinang atau Kota Bharu.

 

Daripada duduk bersama-sama dan membincangkan penyelesaian yang lebih baik untuk negara kita, ada yang berhibur dengan mencemuh 'elit Melayu berjiwa parasit' yang merompak perniagaan milik minoriti Cina dan India. Dan akhirnya terus maju. Tanggapan bahawa orang Melayu atau Bumiputera diberi kekayaan tanpa mengangkat sekerat jari pun. 

 

Tanpa mengangkat jari.

 

Saya pasti kita semua boleh mengangkat jari kita, dan banyak lagi. Sejak kecil kami telah diajar bahawa setiap orang mempunyai tujuan dalam hidup.

 

Yang pekak pembakar meriam,
Yang buta menghembus lesung,
Yang lumpuh penghalau ayam,
Yang pekung penjemuran,
Yang kurap pemikul buluh…

 

Lebih banyak dikatakan untuk mencetuskan dan menghasut kebencian.

 

Merompak juga tidak eksklusif untuk sesuatu kaum. Mereka yang cenderung untuk merompak, merasuah, membunuh, berbuat demikian bukan kerana warna kulit mereka, tetapi kerana didikan dan hati nurani mereka. Bukan kerana etnik mereka, tetapi etika. Bukan kerana kedudukan sosial, tetapi kerana kekurangan akhlak.

 

Janganlah asyik merengek dan bertengkar. Ibu membesarkan kita dengan penuh adab dan adat. 

 

Saya percaya negara kita dipacu ke hadapan oleh mereka yang berdaya tahan walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Yang bertanya khabar antara satu sama lain di kedai, tersenyum apabila kita bertemu lagi atau berbual dengan jiran yang baru berjumpa di dalam kapal terbang.

 

Dengan membawa budaya adat kita yang sebenar, kita boleh berusaha ke arah membina masyarakat inklusif yang merangkumi semua percampuran, memupuk persefahaman, dan menggalakkan keamanan dan keharmonian dalam kalangan semua. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb

 

Portfolio Tags