Dari Novel Le Layar Perak | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 5 September 2022

DARI NOVEL LE LAYAR PERAK 

 

 

10 tahun dahulu, Kongres Antarabangsa Folklor Asia berlangsung di Jogjakarta. Seramai 500 peserta dari negara Asia Tenggara serta Itali, Jepun, Belanda dan banyak lagi hadir untuk memperkasa kepentingan kearifan lokal dan cerita rakyat.

 

Ketika itu saya baru menerbitkan novel sulung, NAGA The Legend of Tasik Chini. Hala tuju pada masa itu adalah untuk memperkenalkan Hikayat Melayu pada dunia. 

 

Hikayat dan Lipur Lara adalah warisan yang diturunkan dari generasi ke generasi melalui budaya penglipurlara dan dunia hiburan sezaman. Pencerita dan penonton saling bergantung di atas satu sama lain di mana pencerita mengambil inspirasi dari ikehidupan seharian dan penonton menikmati hasil karya si tukang cerita.

 

Justeru, budaya penglipur lara dan folklor berkait rapat dengan masyarakat dan mengandungi unsur-unsur hiburan, nasihat, seni, cinta, pengajaran, dan kesusasteraan.

 

Di seluruh dunia contohnya, pementasan teater dan perfileman adalah industri kreatif paling lumayan menjanjikan pulangan yang tinggi dan genre hiburan yang paling mendapat tempat di hati penonton.

 

Cerita legenda dan folklor masih kekal sebagai penceritaan paling diminati. Maka, cerita folklor mesti terus relevan, jika tidak ia akan hilang dari persada seni kita. Persembahan seperti wayang kulit, makyung, taridra dan teater merupakan landasan cerita rakyat yang begitu kaya dan unik. 

 

Yang penting, cerita legenda dan folklor akan terus mengalami perubahan dan evolusi berikutan terdapat pelbagai cara penyampaian baru.

 

Ia hanya kekal mampan apabila dapat menyesuaikan penyampaian dengan trend semasa, kreativiti pencerita, cita rasa masyarakat dan mempunyai kekuatan ekonomi.

 

 

hikayat
Pameran ilustrasi Siri Legenda Malaysia bakal berlangsung di MaTIC dari 16 hingga 30 September 2022

 


MASALAH HARI INI

Hakikatnya, budaya cerita rakyat tidak mendapat penumpuan ‘frontline’ generasi masa kini. Ini sedikit sebanyak disebabkan kurang penampilan baru cerita rakyat untuk memenuhi citarasa sekarang.

 

Malangnya, ini satu masalah yang berbentuk ‘self-propagating’ di mana keadaan yang dihadapi kini akan menjadi lebih buruk dalam erti kata lebih banyak cerita lisan/rakyat akan hilang dengan kadar yang lebih cepat, dan negara akan kehilangan lebih banyak inventori cerita warisan.

 

Ini sebenarnya menimbulkan pelbagai masalah, termasuk pembanjiran budaya asing untuk mengisi kekosongan itu. Selain itu, generasi muda akan lebih susah untuk menyayangi budaya sendiri setelah mereka ketagihan budaya asing yang mengisi kekosongan tadi.

 

Semakin lama budaya cerita lisan dibiarkan pupus tanpa sebarang tindakan semakin susah untuk membetulkan keadaan ini. Kos yang tinggi diperlukan untuk mencari dan mengdokumentasi cerita lisan. Disamping itu, kos yang amat tinggi di perlukan untuk menghidupkan semula minat orang ramai terhadap budaya ini. 

 

Saban hari, kita kehilangan pakar budaya cerita rakyat, manuskrip lama dan penurunan ilmu kepada generasi baru. Kurangnya penggiat seni warisan budaya cerita rakyat di kalangan pelajar pelajar di bangku sekolah juga membimbangkan.

 

 

hikayat
Pameran Art Lipur Lara Alam Melayu di MaTIC sehingga 11 September 2022

 


KARYA DAN ILUSTRASI

Lebih 20 tahun saya menulis antologi dan novel diilhamkan oleh hikayat Melayu. Asalnya menulis dalam Bahasa Inggeris dan pada tahun 2020 menulis antologi Bahasa Melayu Lipur Lara Nusantara yang terpilih antara 50 buku terbaik Malaysia 2021.

 

Kini saya merasa sangat bersyukur kerana dapat bekerja sama dengan artisan dan mereka dari pelbagai bidang kreatif seperti pelukis, produser filem, animator, koreografer, pemuzik ,  penulis skrip dan ramai lagi!

 

Salah satu aspek terpenting dalam buku saya adalah ilustrasi yang indah. Ini bagai inspirasi yang saling meninggikan kualiti berkarya bagi saya dan juga barisan pelukis. 

 

Pada mulanya, kerjasama rapat dengan pelukis A Malek Rahim (1955 - 2016) selamat 8 tahun menghasilkan HIKAYAT, NAGA, NIK, SRIKANDI dan SITI. Beliau juga menghasilkan karya A Hikayat A Day dan lukisan untuk penulisan saya di NST.


 

hik
                                                    Arwah A Malek Rahim

 


Kami akan berbincang tentang hasil karya yang diinginkan sebelum setiap lukisan dihasilkan. Ketika menghabiskan ilustrasi untuk KIRANA, arwah En Malek menghembuskan nafas terakhir. Saya begitu terkejut dan kehilangan. Beliau merupakan salah seorang yang paling menyokong penulisan saya sehingga akhir hayatnya. Alfatihah…

 

Sekian lama saya terus berkarya tanpa En Malek. Akhirnya Dani Warguide dari Kelantan memberikan ilham dan inspirasi membentuk dunia Bidasari & The Djinn. Bermulalah perjuangan menulis karya baru menggambarkan Dunia Alam Melayu. 

 

Dani Warguide memberi fokus pada kisah kisah dari Kelantan dan dunia Bidasari. Beliau memperkenalkan saya kepada Walid Muhammad dari Melaka untuk membantu menghasilkan karya buku Bentala Naga.

 

Dan akhirnya Tan Sri Johar Jaafar pula memperkenalkan saya kepada Ariyana Ahmad yang tinggal di Dublin, Ireland yang mencetus sesuatu kelainan dalam novel grafik Puteri Saadong dan Seri Gumum. 

 

Dengan barisan pelukis baru, kami berjaya menyiapkan empat novel grafik baru Siri Legenda Malaysia dan Lipur Lara Alam Melayu pada tahun 2022. 

 

DUNIA PERFILEMAN

Filem Mat Kilau menyemarak industri filem kita. Keyakinan dan minat terhadap hikayat, legenda dan folklor kita tiba-tiba melonjak seluruh tanah air. 

 

Sebenarnya, pada tahun 2021, saya mula berjinak dengan dunia animasi, bekerjasama dengan Pengarah Eugene Foo dan penulis skrip, Honey Ahmad.


 

hikayat

 

Kami bertiga mengadakan perbincangan awal selepas Honey terbaca kisah Walinong Sari dalam buku saya berjodol Lipur Lara Nusantara. Dengan bantuan dan sokongan initiatif DC3+ MDEC, filem Animasi Walinong Sari berjaya meraih kejayaan di peringkat antarabangsa tahun ini. 

 

Inilah cara pemeliharaan dan pembaikpulihan budaya cerita rakyat Melayu dapat dibangkitkan. Kewujudan kandungan untuk media baru termasuk filem dan kesusasteraan baru, pameran dan merangsangkan kepentingan dalam pelbagai industri.

 

Tahun ini pula syarikat kami bzBee Consult Sdn Bhd diberi kepercayaan mempamerkan kisah Tun Fatimah Ratu Melaka Terakhir bersama Pengarah Bade Azmi dan Langit Terang Production.

 

hikayat

 

Ilustrasi oleh Walid Muhammad
Ilustrasi oleh Walid Muhammad

 

Proses pengfileman, CGI dan konsep art yang diperlukan serta proses mencipta Original Soundtrack satu dunia yang sangat kreatif dan menyeronokkan. 

 

KEPENTINGAN

Warisan budaya cerita rakyat mengalami persaingan hebat dengan media baru yang menjurus kepada pengaruh barat. Pada masa yang sama, pengenalan kepada budaya di sekolah-sekolah telah jauh berkurangan.

 

Legenda masa lalu secara meluas dianggap sebagai mitos semata-mata yang tidak mempunyai nilai sejarah, ditolak mentah-mentah sebagai tidak bernilai. Ini telah banyak melemahkan kesusasteraan Melayu.

 

Pengiktirafan UNESCO untuk Makyung sebagai ‘Masterpiece of the Oral & Intangible Heritage of Humanity' pada 25 November 2005 diikuti pantun dan dondang sayang sedikit sebanyak memberi semangat untuk penggiat seni dan budaya terus memperjuangkan karya masing masing.  

 

Di dunia Melayu dan Asia, warisan budaya cerita rakyat menghadapi pelupusan kerana kalah dari segi penguasaan ekonomi dan globalisasi. Budaya Rakyat dan kesenian menerima kurang perhatian oleh kerana penumpuan terhadap bidang pembangunan dan industri yang dianggap lebih mampu memberikan pulangan lumayan.

 

Namun, filem Langkasuka dan Puteri Gunung Ledang dan terkini, Mat Kilau membuktikan bahawa legenda Melayu lama mempunyai daya tarikan tersendiri.


 

hikayat

 


Ia adalah satu fenomena yang memerlukan langkah-langkah proaktif dan campur tangan jika kita ingin memperkasa warisan budaya hikayat, legenda dan folklor - terpulang kepada kita untuk memperkasa industri kreatif yang disasarkan menyumbang RM31.9 billion kepada  pertumbuhan ekonomi yang mampan dan  Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK). 

 

Dengan program berstruktur untuk mengumpul pengetahuan semua, memulihkan dan mengekalkan pengetahuan mengenai warisan Melayu, kita boleh membina semula dan suburkan minat dalam cerita rakyat dan menyediakan kandungan bagi penceritaan genre baru dan moden.

 

Tetapi, jika tiada apa yang dilakukan, semua bentuk warisan ini akan hilang selama-lamanya.

 

Tentu sekali, kita tidak akan biarkan ini berlaku, bukan?

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA
Portfolio Tags