Dayang catat untung RM42.02 juta pada 2Q, jangka kekalkan momentum pada suku berikutnya | DagangNews Skip to main content

Dayang catat untung RM42.02 juta pada 2Q, jangka kekalkan momentum pada suku berikutnya

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Ogos - Dayang Enterprise Holding Bhd. mencatat untung bersih sebanyak RM42.02 juta bagi suku kedua (2Q) berakhir 30 Jun 2022 berbanding kerugian bersih RM21.89 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat kepada RM263.41 juta daripada RM159.59 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Pemulihan ekonomi daripada pandemik didorong kejayaan kadar vaksinasi, penarikan semula sekatan pergerakan dan kenaikan harga minyak telah meningkatkan pendapatan pada suku berkenaan.

 

Hasilnya, kadar penggunaan kapal meningkat kepada 66% berbanding 50% pada suku kedua 2021 dengan lebih banyak arahan kerja atau kontrak diberikan syarikat minyak utama pada suku kedua 2022.

 

Ini menyaksikan pendapatan bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 meningkat 74% kepada RM423.5 juta berbanding RM243.7 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan turut merekodkan untung bersih sebanyak RM55.78 juta pada tempoh itu berbanding kerugian bersih RM49.43 juta. 

 

Keuntungan sebelum cukai berjumlah RM77.7 juta bagi tempoh itu dicapai selepas mengambil kira tuntutan insurans yang diterima daripada insiden Dayang Topaz sebanyak RM3.6 juta, pengembalian kerugian rosot nilai ke atas penghutang dagangan sebanyak RM1.4 juta dan caj susut nilai yang lebih rendah sebanyak RM9 juta, berbanding kerugian rosot nilai tambahan pada PPE sebanyak RM27.9 juta dalam tempoh yang sama hingga kini.

 

Mengenai prospek kumpulan, Dayang menjangkakan volum yang sama untuk suku ketiga ini dengan mengambil kira momentum untuk memanfaatkan harga minyak yang lebih baik.

 

Katanya, kumpulan menerima panggilan yang lebih tinggi untuk arahan kerja daripada pelanggannya untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran dan aktiviti mereka dengan lebih baik daripada anggaran kontrak pelupusan kira-kira RM1.74 bilion.

 

"Tanpa sebarang perubahan drastik kepada harga minyak, aktiviti berkemungkinan akan diteruskan pada tahun hadapan pada tahap yang lebih tinggi.

 

"Di sebalik keyakinan kami yang berhati-hati, kami menyedari halangan dan ancaman luar yang mungkin berlaku boleh menjejaskan operasi sedia ada, justeru, kami kekal berhemat dalam menguruskan hal ehwal perniagaan di samping terus memberikan prestasi cemerlang," katanya. - DagangNews.com