Di sebalik pandemik, sumbangan ICT kepada ekonomi negara meningkat RM320 bilion  pada 2020 | DagangNews Skip to main content

Di sebalik pandemik, sumbangan ICT kepada ekonomi negara meningkat RM320 bilion  pada 2020

 

 


KUALA LUMPUR 15 Okt. - Sumbangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada ekonomi Malaysia terus meningkat kepada RM320 bilion pada 2020 dengan mencatat pertumbuhan 2 digit iaitu 10.4% berbandin 7.3% pada tahun sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan.

 

Industri ICT menunjukkan perkembangan yang positif walaupun negara berhadapan dengan cabaran yang getir berikutan pandemik COVID-19.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan positif ini seiring  dengan fokus utama kerajaan dalam pemerkasaan ekonomi digital yang akan mengukuhkan pertumbuhan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi memulihkan pertumbuhan negara.

 

Katanya, ICT menyumbang 22.6% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), merangkumi Nilai Ditambah Kasar Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NDKTMK), 14.2% dan e-dagang bagi industri lain sebanyak 8.4%.

 

Sementara itu, NDKTMK mencatatkan nilai RM201.6 bilion dengan pertumbuhan yang lebih perlahan iaitu 3.3% pada 2020 berbanding 6.6% pada tahun sebelumnya.

 

“Ini disebabkan oleh penyusutan dalam industri kandungan dan media dan perdagangan ICT dengan masing-masing mencatatkan 11.7% dan 4.9%.

 

“Bagaimanapun, industri pembuatan ICT dan perkhidmatan ICT  terus menyokong pertumbuhan NDKTMK masing-masing dengan 5.9% dan 6.7%,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Selain itu, Mohd Uzir, berkata Nilai Ditambah Kasar e-dagang meningkat kepada RM163.3 bilion pada 2020 daripada RM129.2 bilion yang dilpaorkan tahun lepas, melonjak sebanyak 26.5% berbanding 10% direkodkan pada 2019.

 

“Buat pertama kali, sejak penyusunan semula Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA), e-dagang merekodkan sumbangan dua digit sebanyak 11.5% kepada KDNK pada 2020,” katanya.

 

Sektor Pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada Nilai Ditambah Kasar e-dagang dengan sumbangan 54.5 peratus diikuti oleh sektor Perkhidmatan dengan 41.7%.

 

“Pelaksanaan pelbagai fasa kawalan pergerakan bagi membendung penularan COVID-19 dan penutupan sektor ekonomi bukan penting telah mendorong pengguna untuk meningkatkan pembelian secara dalam talian, seterusnya mempercepatkan pertumbuhan pasaran e-dagang di Malaysia,” katanya.

 

Beliau turut melaporkan guna tenaga dalam industri ICT pada 2020 berjumlah 1.16 juta orang yang menyumbang sebanyak 7.7% kepada keseluruhan guna tenaga.

 

“Industri pembuatan ICT merupakan penyumbang utama dengan 35.3% diikuti oleh perkhidmatan ICT (29.5%) dan perdagangan ICT (21.7%),” katanya. - DagangNews.com