DoU bersama PPKKL beri impak minimum kepada Boustead Plantation - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

DoU bersama PPKKL beri impak minimum kepada Boustead Plantation - Kenanga Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Kenanga Research menjangkakan Dokumen Kerjasama (DoU) bersama Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat (PPKKL) hanya akan memberi impak minimum kepada Boustead Plantations Berhad.

 

Firma itu berkata, hanya sebahagian kecil tanah simpanan kumpulan itu akan digunakan dan ia merupakan langkah awal ke arah mencapai matlamat di bawah rangka kerja amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui penglibatan dengan masyarakat tempatan melalui latihan dan bimbingan.

 

"Kami tidak menjangkakan sebarang kesan besar ke atas pendapatan kerana pelaburan ke dalam projek itu dijangka minimum.

 

"Walaupun kerjasama dengan PPKKL adalah langkah ke arah matlamat kemampanan jangka panjang mereka, projek itu merupakan percubaan kumpulan dengan tanaman lain dan bukannya penunjuk perubahan besar," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

DoU tersebut mewujudkan kerjasama di antara kedua-dua pihak untuk memulakan dan membangunkan projek tanaman komersial iaitu cili dan halia secara siap guna melalui penggunaan sistem fertigasi pintar dan pertanian pintar Internet Benda (IoT).

 

Usaha itu menandakan langkah pertama BPB untuk memanfaatkan sumber pasaran pertanian lain selain daripada perniagaan perladangan sawit huluan sedia ada.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM1.00.

 

"Bagaimanapun, kumpulan itu berdepan risiko harga minyak sawit mentah yang lebih rendah daripada jangkaan selain peningkatan kos yang lebih tinggi daripada jangkaan yang mungkin memberi kesan kepada pendapatan mereka," katanya. - DagangNews.com