Ekonomi Malaysia di landasan betul pemulihan walaupun berdepan inflasi – pakar ekonomi | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia di landasan betul pemulihan walaupun berdepan inflasi – pakar ekonomi

Dalam ekonomi yang sihat kata pakar ekonomi, kenaikan kadar inflasi yang sederhana adalah wajar. - Gambar Elton Sa
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Data ekonomi terkini menunjukkan Malaysia berada di landasan yang betul dalam menuju kepada pemulihan ekonomi walaupun pada masa yang sama, negara berdepan dengan peningkatan kadar inflasi dan keadaan geopolitik yang tidak menentu.

 

Ketua penyelidikan dan penasihat kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd, Mohd Sedek Jantan berkata, walaupun pada hakikatnya inflasi adalah tinggi, ia masih dalam julat yang terkawal.

 

Dalam ekonomi yang sihat kata beliau, kenaikan kadar inflasi yang sederhana adalah wajar.

 

"Pada suku ini, kami menjangkakan kadar inflasi dalam julat 3.4% sebelum ia mencapai 3.0% menjelang akhir tahun.

 

"Kami juga menjangkakan 3.0% sebagai normal baharu bagi kadar inflasi," beliau memberitahu DagangNews hari ini.

 

Mohd Sedek menjelaskan bahawa kesemua enam petunjuk ekonomi, termasuk pertumbuhan pinjaman, kadar penyertaan tenaga buruh, kadar pengangguran, perdagangan asing, data Indeks Pengurus Pembelian (PMI), indeks harga pengeluar perkhidmatan dan data Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI), telah menunjukkan peningkatan yang ketara.

 

Data IPI yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan (DOSM) terbaharu menunjukkan peningkatan yang ketara dalam enam kategori tersebut.


 

entah

 


DOSM melaporkan bahawa sektor pembuatan, elektrik dan perlombongan masing-masing menyumbang 14.5%, 14.1% dan 2.1%, kepada pengembangan IPI.

 

Industri berorientasikan domestik memacu pengembangan 35.5% sektor pembuatan, manakala industri berorientasikan eksport berkembang sebanyak lapan peratus.


 

Mohd Sedek Jantan
                    Mohd Sedek Jantan

 


"Kami menjangkakan bahawa permintaan tempatan akan terus meningkat, dan rantaian bekalan akan kembali normal dalam masa terdekat," jelas beliau lagi.

 

Mengulas mengenai hubungan kenaikan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS), beliau menjelaskan bahawa kesan kenaikan kadar faedah di AS ke atas ekonomi Malaysia akan menjadi kurang teruk.

 

"Kejutan pengetatan kewangan AS boleh memberi kesan negatif ke atas keluaran rantau Asia Pasifik secara keseluruhan.

 

"Namun begitu, kadar pertukaran Malaysia yang fleksibel, hutang luar negeri yang rendah dalam dolar AS, rizab antarabangsa yang besar, dan asas pelabur institusi domestik yang luas cenderung untuk mengurangkan kesan kejutan tersebut," kata Mohd Sedek.


 

external

 


Beliau berkata, pengimport dan pengguna akan merasai tekanan apabila ringgit melemah, susut nilai sederhana bukanlah perkara yang buruk secara keseluruhan, kerana pengeksport mendapat manfaat.

 

Sementara itu, MIDF Research menjangkakan Malaysia berkemungkinan mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih kukuh pada suku kedua tahun ini, dengan jangkaan lebih baik daripada 5 peratus.

 

RHB Research pula mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 6.1 peratus pada suku kedua memandangkan terdapatnya petunjuk ekonomi yang kukuh. – DagangNews.com