Ekonomi Malaysia masih mantap, kebarangkalian kemelesetan adalah rendah - Ketua Pakar Ekonomi | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia masih mantap, kebarangkalian kemelesetan adalah rendah - Ketua Pakar Ekonomi

Faktor menyakinkan penganalisis ekonomi ialah perkembangan yang positif ini adalah permintaan dalam negeri (penggunaan) semakin meningkat dan pelaburan luar kekal masuk ke dalam negara.
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 24 Jun – Ekonomi Malaysia masih mantap dan tidak akan jatuh ke kancah kemelesetan walaupun ekonomi dunia tidak menentu  akibat risiko geopolitik termasuk krisis yang berlarutan di antara Russia dan Ukraine , kata Ketua Pakar Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed.

 

Katanya, kestabilan makroekonomi negara kini bertambah baik justeru keberangkalian untuk Malaysia mengalami kadar inflasi yang teruk adalah rendah.

 

“Dalam dua  minggu lepas, saya telah menghadiri lima acara rangkaian perniagaan dan orang bertanya kepada saya: Adakah Malaysia akan mengalami kemelesetan tahun ini?

 

“Jawapan ringkas saya ialah; Tidak, Malaysia tidak akan jatuh ke dalam kemelesetan. Ini berdasarkan beberapa pemboleh ubah penting dalam persamaan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

Shan berkongsi pendapatnya mengenai kebimbangan beberapa pihak termasuk orang ramai bahawa Malaysia akan mengalami kemelesetan atau inflasi yang teruk di masa mendatang.

 

Menyangkal keadaan tersebut, Shan berkata beliau yakin dan positif dengan perkembangan ekonomi Malaysia.

 

“Antara faktor yang membuat saya yakin dengan perkembangan yang positif ini adalah kerana permintaan dalam negeri (penggunaan) semakin meningkat sementara pelaburan luar kekal masuk ke dalam negara.”

 

“Peranan kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakub yang sentiasa menyokong perniagaan dan mengekalkan kestabilan makroekonomi, antara faktor yang menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara.

 

 

Shan Saeed
                                                  Shan Saeed

 

 

Shan berkata, atas usaha cemerlang daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang berhasil meningkatkan angka perdagangan dan perniagaan meningkat 30 peratus year-to-date juga merupakan faktor penyumbang.

 

“Sementara itu, harga komoditi yang lebih tinggi (minyak, minyak sawit dan getah) menyokong bahagian fiskal kunci kira-kira Kerajaan,” jelas Shan.

 

Shan juga berkata: “Kami di Juwai IQI telah berkongsi pada awal tahun bahawa KDNK Malaysia akan berlegar sekitar 4 hingga 5% pada 2022 berdasarkan permintaan agregat yang kukuh dan pelaburan yang kukuh.”

 

Katanya, ramai orang berpendapat bahawa negara perlu mengalami kemelesetan selepas setiap 10 tahun dan ia adalah kitaran perniagaan.

 

“Sekali lagi ia adalah mitos. Kemelesetan bukanlah kitaran perniagaan tetapi kitaran pengguna. Apabila pengguna tidak berbelanja, perniagaan tidak melabur, ekonomi menyusut.

 

“Malaysia mengalami lonjakan dalam penggunaan pengguna, pelaburan datang daripada pelabur tempatan dan global, ketibaan pelancong telah melepasi 2 juta markah sejak April 1-2022.

 

“Jualan kereta meningkat 12.7% pada suku pertama tahun ini (Q-1/2022), prospek pasaran hartanah adalah positif dan penggunaan tenaga kekal kukuh di Malaysia, tegas Shan.

 

 

eko

 

 

Menurut beliau lagi, tinjauan ekonomi global sedang menuju kepada lebih banyak ketidaktentuan dan kerapuhan.

 

Katanya, kestabilan makroekonomi telah menjadi ciri khas bagi kebanyakan ekonomi.

 

“Malaysia telah kembali (pulih) dengan cepat dengan penduduknya mendapat vaksinasi sepenuhnya justeru melonjakkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara. Sekarang ini, Malaysia telah kembali dalam radar pelabur global,” ujar Shan.

 

Bank Dunia dalam laporannya sebelum ini berkata ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.5 peratus tahun ini, didorong oleh pemulihan dalam permintaan domestik, pengembangan dalam eksport, dan pembukaan semula sempadan.

 

Ia mengunjurkan sektor luar akan terus memberikan sokongannya, terutamanya barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan sarung tangan getah perubatan.

 

Bagaimanapun, ia memberi amaran bahawa pertumbuhan boleh perlahan kepada 4.8 peratus jika keadaan global bertambah buruk di tengah-tengah konflik Rusia-Ukraine, pengetatan kewangan di Amerika Syarikat, dan kelembapan struktur di China.

 

Risiko lain termasuk gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk dan kemunculan varian COVID-19 yang lebih teruk. DagangNews.com