AI dan masyarakat: Mencipta demokrasi lebih berdaya | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 23 Aug 2023 08:00 AM

AI dan masyarakat: Mencipta demokrasi lebih berdaya

 

 

ANDA sedang menonton satu video lama di YouTube. Dalam video tersebut, terdapat seorang individu yang sangat berpengetahuan dan berpandangan jauh ke hadapan, sedang berbicara tentang potensi yang tiada batas bagi internet.

 

Ia seperti menjelajahi dunia baru, tetapi ia berlaku dalam skrin komputer. Individu tersebut memikirkan bagaimana dunia digital ini dapat mengubah kehidupan kita dengan perubahan yang mendalam.

 

Video yang dimaksudkan adalah temuramah di antara David Bowie dan Jeremy Paxman dalam rancangan Newsnight pada tahun 1999. Pada masa itu, jika ditonton pada masa ini, Bowie seolah-olah berada jauh di hadapan waktunya. Bowie berbicara tentang pelbagai peluang menarik dan juga cabaran yang masih belum pasti dalam era digital yang baharu.


 

bowie

 


Kini, teknologi yang dahulunya dianggap asing telah berkembang menjadi suatu dunia yang rumit. Rumit? Kerana dunia atas talian kini dipenuhi dengan pelbagai maklumat sama ada yang benar dan mungkin tidak benar.

 

Ini telah menjadi suatu perkara yang sangat membingungkan, mana tidaknya, kerana sebilangan besar dari kita selalu mempercayai apa yang dilihat dalam dunia maya tanpa melakukan sebarang semakan fakta terlebih dahulu!

 

Singkirkan Perasaan Negatif, Sesuaikan Diri Dengan AI

Perkembangan dunia digital yang pesat, telah melahirkan ‘makhluk asing’ yang menakutkan sebagai mana digambarkan oleh Elon Musk – yang pernah mengeluarkan kenyataan bahawa dengan kewujudan kercedasan buatan (AI), ia mendatangkan risiko mendalam kepada masyarakat dan manusia.

 

Nyata kenyataan Musk mungkin ada betulnya kerana sebilangan besar masyarakat dan manusia menghadapi kesulitan untuk beradaptasi dengan AI pada zaman digital ini.

 

Tetapi janganlah terlalu takut dan bimbang seperti menonton filem sains fiksyen i,ROBOT yang dilakonkan oleh Will Smith. Ini kerana, AI sebenarnya adalah kolektif algoritma atau set arahan yang sangat pintar digunakan untuk melakukan sesuatu perkara seperti membuat ramalan berdasarkan data dengan lebih efisen dan efektif.


 

tnb

 


Mungkin ini masih belum lagi dapat mengurangkan perasaan yang berbolak balik tentang AI – antara kegembiraan dan kebimbangan – kerana sudah pasti ramai sedang tertanya-tanya bagaimana semua ini akan mempengaruhi kehidupan kita pada masa sekarang dan masa hadapan.

 

Sebagai manusia, janganlah terlalu terperangkap dalam rasa ini. Jika kita menyingkap kembali sejarah, kita telah melihat perubahan besar yang telah dibawa oleh AI. Tidak dinafikan, setiap teknologi baharu yang wujud akan datang bersama – sama ada perkara baik dan buruk – yang dianggap sebagai cabaran kepada masyarakat dan manusia.

 

Ia ibarat tarian, antara cahaya dan bayang-bayang, di mana segala-galanya berubah dalam bentuk yang positif tetapi mencabar. Untuk memahami dan menyesuaikan diri dalam dunia AI ini, kita perlu menyingkirkan perasaan ini dan bergerak maju kehadapan dengan melihat gambaran yang lebih besar tentang bagaimana perubahan itu bakal berlaku.

 

AI Berperanan Mengukuhkan Demokrasi

Dalam segala konteks mengenai AI,  tidak dinafikan, AI berperanan untuk membantu memperkukuhkan proses dan sistem demokrasi sedia ada. Bayangkan AI dijadikan sebagai satu panduan yang bakal membantu kita mencari maklumat yang betul dengan cepat dan menjelaskan konsep-konsep yang rumit agar lebih mudah difahami.

 

Di sini,  AI berperanan untuk membantu bukan sahaja pemimpin tetapi juga rakyat untuk berhubung dengan lebih baik. Ini bukanlah sekadar omongan kosong tetapi terdapat laman web seperti "The Idea Forge" yang menjadi platform untuk masyarakat berbincang, berkongsi pendapat, menyuarakan suara mereka dalam mencari titik persamaan.

 

Ia boleh dianggap sebagai salah satu kaedah yang terbaik bukan sahaja untuk pemimpin tetapi juga untuk rakyat memberi pandangan serta kritikan yang dapat membantu dalam mengubal undang-undang baharu dan terlibat dalam membuat sesuatu keputusan.

 

Tidak terhad dengan itu, bayangkan pada masa hadapan, dengan bantuan AI, pemimpin dan rakyat dapat bekerjasama dengan lebih erat. AI akan menjadi jambatan antara pemimpin, kerajaan dan rakyat. Ia akan menjadi satu platform baru di mana pemimpin dapat berkomunikasi dengan rakyat dengan lebih berkesan.

 

Manakala sebagai rakyat, kita semua dapat memainkan peranan lebih aktif dalam memperbaiki ekonom dan membangunkan negara.


 

tnb

 


Tidak Semua Tentang AI Itu Indah

Namun ada perkara penting yang perlu diberi perhatian tentang AI. Walaupun AI mempunyai potensi untuk membawa lebih banyak kebaikan, ia sebenarnya dikendalikan oleh entiti, kebanyakannya adalah korporat yang lebih tertumpu pada perniagaan dan berkisarkan kepada keuntungan.

 

Entiti yang melabur dalam AI lebih berminat untuk mencari keuntungan daripada memikirkan apa yang terbaik untuk semua. Inilah sebabnya mengapa kita semua perlu terlibat dan memastikan AI berkhidmat untuk kepentingan semua.

 

Jika AI benar-benar ingin digunakan dalam membantu proses dan sistem demokrasi sedia ada, kita semua perlu bekerjasama dari setiap peringkat. Sebagai rakyat, kita tidak boleh hanya duduk dan berharap yang terbaik dari kemajuan AI ini.

 

Langkah-langkah yang berkesan perlu diambil untuk memastikan AI dapatmembantu dalam memberikan maklumat yang tepat, memperkasakan suara rakyat, dan mengubah cara rakyat berinteraksi dengan pemimpin.

 

Jika tidak, ia  mungkin tidak akan berakhir dengan baik. Kepercayaan terhadap institusi politik serta kerjaan akan mulai pudar, maklumat yang salah akan meluas tersebar, dan cara kuno dalam menguruskan sesuatu akan menyebabkan kita makin terkebelakang dalam dunia digital yang begitu pantas ini.

 

Ini adalah masa terbaik, di mana rakyat perlu bangkit bersama dan menukar perspektif tentang AI. Perubahan yang bakal menanti kita pada masa hadapan bukanlah sesuatu yang telah ditetapkan.

 

Tetapi kita mempunyai kuasa untuk membentuk masa hadapan dengan bantuan AI! Ingat! Sepanjang sejarah, manusia akan sentiasa menjadi penulis cerita mereka sendiri, dan ia tidak akan berbeza walaupun untuk masa sekarang dan hadapan.

 

AI Bukan Makhluk Asing! Ia Adalah Kolektif Berkuasa Super Algoritma

Apabila kita menggunakan AI dengan bijak, ia boleh membawa kita ke era demokrasi yang baru. AI sebenarnya bukanlah ancaman; ia sebenarnya ibarat rakan sepasukan yang dapat menguatkan nilai-nilai kemasyarakatan kita.


 

tnb

 


Namun, seperti dalam mana-mana kerjasama, kita perlu memainkan peranan dan terlibat secara aktif. Kita tidak boleh mengabaikan nasib demokrasi hanya pada segelintir individu yang berkepentingan dan hanya memikirkan tentang kuasa.

 

Oleh itu, ketika kita berada di dalam dunia teknologi yang menakjubkan ini, janganlah kita hanya menjadi penonton sahaja! Marilah kita membentuk masa hadapan baharu kita, masyarakat dan negara bersama AI.

 

Kita jadikan AI sebagai sinar harapan baharu untuk demokrasi, satu kuasa yang bakal mendorong kepada perubahan positif untuk generasi yang akan datang. Ini adalah saat kita menulis sejarah dan mengubah arah masa hadapan! – DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

dagangnews