Exabytes anjur MY SME Export Forum bermula 1 Jun hingga 3 Jun 2022 | DagangNews Skip to main content

Exabytes anjur MY SME Export Forum bermula 1 Jun hingga 3 Jun 2022

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Exabytes meneruskan usahanya untuk merancakkan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia menerusi penganjuran MY SME Export Forum yang kedua bermula dari 1 Jun hingga 3 Jun 2022. 

 

Penganjur dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, forum pengeksportan e-dagang PKS perniagaan-ke-perniagaan (B2B) itu akan berlangsung secara maya dan percuma untuk pihak PKS, usahawan serta bakal peserta yang berminat untuk meneroka pasaran asing.

 

Katanya, forum itu akan membincangkan impak positif daripada perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) kepada perniagaan Malaysia. 

 

"Forum tersebut juga akan membincangkan syarat-syarat kelayakan, prosedur, perkembangan dan peluang-peluang terkini dalam pasaran antarabangsa serta arah aliran pasaran halal global, inisiatif semasa kerajaan Malaysia bagi segmen itu, pendigitalisasian perniagaan eksport serta ekosistem keseluruhan pengeksportan. 

 

"MY SME Export Forum adalah penting bagi pemulihan ekonomi dalam dunia pasca wabak. Pada tahun ini, ia akan menumpukan kepada pasaran halal yang diterajui Malaysia yang semakin berkembang, sekali gus menjadikan pendigitalisasian sebagai pendekatan utama bagi semua pengeksport Malaysia," katanya.

 

Jelas kenyataan itu, forum Pengeksportan e-dagang PKS B2B pertama yang telah berlangsung pada 2021 merupakan forum pengeksportan pertama dan terbesar yang berjaya menarik penyertaan lebih 800 peserta maya yang menghadiri acara dalam talian tersebut. 

 

"Pada 2022, Exabytes akan menjadi tuan rumah kepada 22 orang penceramah yang akan mengupas dan berkongsi pelbagai topik merangkumi 16 jenis perniagaan eksport. 

 

"Sebahagian daripada penggiat-penggiat industri utama yang akan terlibat, termasuk Pengurus Pengembangan Perniagaan dan Pemasaran Serantau, Alibaba.com, Nianci Phang; Pengarah Bahagian ASEAN dan Oceania Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman dan Ketua Platform Halal Bersepadu Halal Development Corporation, Mohammad Hafiz Jamaluddin," katanya.

 

Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Exabytes Network Sdn Bhd, Chan Kee Siak berkata, pihaknya percaya forum tahun ini yang disusun khas dan telah ditambah baik akan dapat mengukuhkan lagi landskap PKS di samping membantu PKS untuk memupuk kesedaran serta meneroka peluang jualan yang lebih luas. 

 

"Peserta-peserta bengkel e-dagang B2B yang kami laksanakan sebelum ini juga berdepan kesukaran dan cabaran yang sama ketika mengeksport produk mereka ke peringkat antarabangsa. Justeru, selaku pembekal teknologi digital ke seluruh negara dengan pengalaman selama 21 tahun, kami ingin membantu lebih banyak PKS Malaysia untuk dinobatkan sebagai pengeksport pada peringkat global.


 
“Banyak pengeksport kini berdepan cabaran dan kekangan dalam perniagaan eksport, seperti kekurangan kakitangan untuk membangun, menyokong dan menyelenggara sistem, kekurangan orang hubungan bagi sasaran pasaran yang bersesuaian, keperluan untuk mendapatkan bantuan kewangan, serta kesukaran dengan aspek piawaian dan pensijilan asing. 

 

"Kami harap lebih ramai pemilik-pemilik perniagaan akan berupaya untuk memahami ekosistem pengeksportan dengan lebih lanjut serta mengukuhkan perkembangan perniagaan mereka dalam industri dan pengeksportan secara B2B menerusi MY SME Export Forum,” katanya. - DagangNews.com