F Sport sertai barisan sedan mewah Lexus ES 250 terbaharu | DagangNews Skip to main content

F Sport sertai barisan sedan mewah Lexus ES 250 terbaharu



KUALA LUMPUR 15 Okt — Lexus ES 250, antara sedan mewah eksekutif yang selalu menjadi keinginan ramai oleh kerana perincian buatan, keselesaan dan kehalusannya kini diberikan beberapa peningkatan bagi model tahun 2021.

 

Barisan sedan eksekutif ini bermula dengan Lexus ES 250 Premium dan dijual pada harga RM295,663.50, sementara Lexus ES 250 Luxury pula pada harga RM329,910.50.

 

Untuk kelainan, varian F SPORT dijual pada harga bermula RM345,134.00. Semua harga yang dinyatakan ini ialah harga atas jalan tidak termasuk insurans dan dengan pengecualian SST hingga hujung tahun ini.


Penambahbaikan utama yang dilakukan termasuklah menyuntik penampilan lebih segar, bertambah selesa serta aspek keselamatan yang dipertingkat.

 

Terbaru menyertai barisan sedia ada ES 250 ini adalah varian F SPORT dengan gaya khusus serta penyudah yang menakjubkan untuk menawarkan kepada pengguna keunikan tambahan untuk jalanan.

 

Presiden Lexus Malaysia, Ravindran K berkata, sebagai sedan eksekutif yang paling menawan di atas jalan, kekaguman terhadap kesempurnaan kejuruteraan serta penggayaan yang ada pada Lexus ES 250 akan memenuhi selera tinggi sesiapapun.

 

''Digabung dengan keterperincian dan kecemerlangan yang berterusan, peningkatan terhadap model yang dikemaskini ini akan mengekalkan ES 250 sebagai sedan pilihan yang terbaik," ujar beliau dalam kenyataan di sini hari ini.

 

lexus

 

 

Beberapa aspek rekaan juga telah diperbaharui dan tampil lebih segar untuk melengkapi bayangan gaya coupe menawan yang ada padanya.

 

Walaupun rekaan spindle grille masih membawakan imej visual khusus Lexus, elemen yang ada padanya telah diubah, dengan semakin berkurang palang melintang dan corak L yang memberi penekanan kepada aliran lateral.

 

lexus

 


Varian F SPORT mempunyai corak mesh yang terdiri daripada elemen L yang bersilang dengan kemasan metalik gelap. Belahan pada setiap sudut wajah depan juga mengenakan kemasan mesh hitam, tetapi dengan bukaan lebih lebar berbanding dua versi lainnya.

 

Untuk melengkapi gril depan yang dikemasikini, lampu utama juga menerima sentuhan baru. Bagi Lexus ES 250 Premium, unit projektor bi-LEDdiberikan reka hias dalaman baru. Lampu LED3-tahap ultra-kompak pada Lexus ES 250 Luxury dan F SPORT juga diberikan rekaan lampu nyalaan siang yang baru.


 

lexus

 


Selain kemasan luaran eksklusif yang turut melibatkan spoiler belakang, F SPORT juga dipasangkan setrim khas 19-inci aloi dengan penyudah Dark Premium Metallic. Walaupun Lexus ES 250 Premium dan Luxury kekal menggunakan rim 18-inci, set pada ES 250 Premium bagaimanapun menerima rekaan baru dengan penyudah Dark Grey Metallic.

 

Setiap pilihan warna pada Lexus ES 250 adalah unik dan disudahi dengan sentuhan berkualiti tinggi. Pelanggan boleh memilih daripada lapan warna bagi Lexus ES 250 Premium dan Luxury.


 

lexus

 

 

Selain dua warna baru — Sonic Iridium dan Sonic Chrome — turut tersedia ialah Sonic Quartz, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, Red Mica Crystal Shine, Ice Ecru Mica Metallic dan Deep Blue Mica.

 

Varian F SPORT boleh ditempah dalam dua warna eksklusif — Heat Blue Contrast Layering atau White Nova Glass Flake — atau Sonic Iridium, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, Sonic Chrome dan Red Mica Crystal Shine.

 

Ruang dalaman gaya elegan

Turut diperkenalkan adalah tema warna ruang dalaman yang baru. Bagi Lexus ES 250 Premium dan Luxury, ada kemasan hitam elegan dengan Black Walnut atau kemasan lebih mewah Brown Walnut dengan balutan kerusi Hazel.

 

 

lexus

 


Lexus ES Luxury boleh juga didapati dengan kemasan Black Walnut dan balutan Mauve yang merupakan warna coklat sederhana yang halus dan moden. Kemasan aluminium dan sama ada balutan Flare Red atau Black dikhaskan hanya untuk F SPORT.

 

Generasi semasa Lexus ES mempunyai banyak ciri mengkagumkan dengan ruang dalaman luas dan selesa menjadi satu daripadanya, terutama bagi penumpang di belakang. Pakej dalaman yang pintar serta jarak antara roda yang panjang membolehkannya menawarkan keluasan yang setanding model premium yang lebih besar. - DagangNews.com