Fadhil terima Geran Keusahawanan MASMED 2021 kembangkan perniagaan bundle | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
MULANYA DI SINI - 18 April 2022

Fadhil terima Geran Keusahawanan MASMED 2021 kembangkan perniagaan bundle

Oleh Maisarah Ishak

 

 

 

BIDANG keusahawanan bukan sesuatu yang baharu dalam kalangan mahasiswa apabila semakin ramai daripada mereka mula menceburkan diri dalam perniagaan dan meneruskannya sebagai kerjaya selepas bergraduat.

 

Malah, ramai di antara mereka yang mencipta nama dalam dunia perniagaan pada masa kini hasil daripada penglibatan dalam dunia keusahawanan di peringkat universiti.

 

Pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan dan universiti seperti kewangan, latihan dan bimbingan amat membantu mahasiswa dan golongan muda untuk berniaga dengan lebih yakin.

 

Namun, kejayaan seorang usahawan juga bergantung kepada matlamat yang jelas dalam perniagaan, minat yang tinggi dan sikap serta ciri-ciri keusahawanan yang dimiliki.

 

Usahawan dalam kalangan mahasiswa perlu mempunyai matlamat yang jelas untuk dicapai bagi memastikan usaha dan penglibatan mereka dalam keusahawanan membuahkan hasil.

 

Malah, penglibatan mereka sebagai usahawan mampu memberi banyak kebaikan bukan sahaja kepada diri sendiri malah untuk kebaikan pelbagai pihak.

 

“Saya suka berniaga kerana saya ingin mengubah kehidupan saya menjadi lebih baik dan ingin membantu lebih ramai orang.”

 

Begitulah jawapan yang diterima daripada seorang pelajar dari Fakulti Sains Gunaan (FSG), UiTM Cawangan Pahang, Muhammad Fadhil Zulhilmi Alfian apabila ditanya berkaitan matlamat beliau dalam menjalankan perniagaan.

 


 

masmed
Muhammad Fadhil Zulhilmi di hadapan kedai bundle yang memupuk minatnya berniaga.


 


 

Beliau adalah pelajar semester 4 yang merupakan salah seorang ahli Koperasi Siswa (KOSISWA) sejak Julai 2021.

 

Berbekalkan matlamat perniagaan ini Fadhil sangat komited dengan perniagaan yang dijalankan. Dalam kesibukan beliau menghadiri kuliah dalam talian, beliau mampu menguruskan masa untuk terlibat dengan pelbagai aktiviti keusahawanan di dalam kampus.

 

Sikap bersungguh-sungguh yang ditunjukkan ini sangat membanggakan dan boleh dijadikan contoh kepada pelajar-pelajar yang lain.

 

Bercerita tentang perjalanan awal melibatkan diri dalam keusahawanan, minat terhadap aktiviti ini tercetus apabila beliau menjual tote bag yang dihasilkan sendiri oleh bapa saudaranya.

 

Kemudian, selepas tamat belajar di peringat menengah, beliau bekerja di sebuah kedai pakaian terpakai (bundle) yang sering menyalurkan hasil keuntungan kepada sebuah rumah anak yatim.

 

Mulai detik itu, beliau mula bergiat aktif dalam perniagaan pakaian terpakai sehingga tahun 2019 beliau mula menyambung pengajian di UiTM Kampus Jengka.

 

Sepanjang pengajian, penglibatan dalam aktiviti keusahawanan di kampus semakin rancak apabila beliau diamanahkan untuk menguruskan aktiviti jualan air dan roti setiap petang di gelanggang sukan.

 

Selain itu beliau juga terlibat dengan aktiviti jualan keperluan pelajar di lot kedai kolej kediaman dan turut menjalankan perniagaan bundle secara dalam talian.

 

Seterusnya beliau menjalankan perkhidmatan sampingan seperti pengambilan dan penghantaran bungkusan bagi pelajar yang berkeperluan.

 

Idea untuk menyediakan perkhidmatan tersebut lahir apabila beliau mendapati ramai rakan-rakan yang mengalami masalah untuk mendapatkan barangan mereka di pusat pengumpulan bungkusan.

 

Hal ini jelas menunjukkan sikap beliau yang suka membantu orang lain dan pandai mengambil peluang apabila timbul sesuatu isu. Sikap sebegini turut menggambarkan ciri-ciri seorang usahawan yang jelas ada pada diri beliau.

 


 

masmed
Muhammad Fadhil Zulhilmi memperaga baju bundle di kaki lima.


 

 

Berkat ketekunan dalam berniaga, beliau telah dipilih sebagai seorang daripada penerima Geran Keusahawanan MASMED 2021 bagi melancarkan lagi aktiviti keusahawanan yang diusahakan di kampus.

 

Menurut beliau, geran ini sangat membantu dalam penyediaan stok jualan air yang sentiasa mendapat perhatian rakan-rakannya.

 

Bagi memastikan setiap aktiviti keusahawanan yang dirancang dapat dijalankan dengan berkesan, beliau akan memastikan pengurusan masa dibuat dengan baik.

 

Kebiasaannya, beliau akan membuat promosi jualan pada waktu lapang setelah selesai menjalani kuliah secara dalam talian.

 

Pada hujung minggu, beliau akan menghabiskan masa dengan membeli dan menguruskan stok barangan, menyiapkan tempahan rakan-rakan dan membuat jualan.

 

Selain itu, cuti semester pula merupakan waktu yang ditunggu-tunggu oleh beliau untuk menyumbang tenaga dan membantu perniagaan pakaian terpakai milik sahabatnya.

 

Masa yang padat dengan pelbagai aktiviti keusahawanan ini membantu beliau untuk fokus kepada matlamat hidup dan sentiasa memandang ke hadapan untuk terus maju dan berjaya.

 


 

masmed

 

masmed
Antara barangan jualan yang diusahakan oleh Muhammad Fadhil Zulhilmi

 


 

Sebagai seorang mahasiswa dan usahawan, pelbagai cabaran dalam perniagaan perlu ditempuhi oleh beliau dalam tempoh 2 tahun berada di kampus.

 

Di antara cabaran yang dihadapi adalah berkaitan kesilapan belian barang yang menyebabkan beliau terpaksa menanggung kos untuk mendapatkan semula barangan seperti yang dikehendaki oleh pelanggan.

 

Selain itu, tempahan pakaian terpakai yang perlu dipos memerlukan beliau untuk meluangkan masa ke pusat penghantaran barang dengan segera bagi memastikan pelanggan menerima barangan mereka dalam tempoh yang sepatutnya.

 

Menurut beliau, sifat sabar sangat penting dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan.

 

Pelbagai kerenah dari pembekal dan pelanggan perlu dihadapi dengan matang kerana setiap daripada mereka memberi makna dan nilai tersendiri dalam proses jual beli yang berlaku.

Beliau juga percaya cabaran-cabaran ini akan mematangkan diri beliau dan memberi pengalaman berharga yang tidak mampu dibeli.

 

Malah, beliau yakin pengalaman yang diperolehi semasa berniaga di kampus dapat membantu beliau untuk menjalankan perniagaan yang lebih besar setelah tamat pengajian nanti. – DagangNews.com

 

 

Maisarah Ishak adalah Koordinator Keusahawanan Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang
Portfolio Tags