Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Iktisad - 7 June 2022

Fahami risiko, konsep peril dan bahaya dalam takaful

 

 

TERDAPAT 15 pengendali takaful dalam industri kewangan negara, dengan 11 daripadanya adalah pengendali takaful keluarga manakala 4 lagi pengendali takaful am. 

 

 

Perniagaan dalam takaful berkait rapat dengan risiko, justeru, adalah penting untuk memahami maksud risiko dalam takaful.

 

Perkataan 'risiko' berasal daripada Itali - risicare yang asalnya bermaksud 'berani' atau dengan kata lain, mengambil risiko. 

 

Menurut perintis takaful di Malaysia, Datuk Mohd. Fadzli Yusof, risiko dan ketidakpastian menimbulkan ketakutan, kebimbangan, putus asa, kesusahan, panik, bimbang, keraguan, kebingungan, ketidakpercayaan, syak wasangka dan seumpamanya. 

 

Bagaimanapun, dengan sikap yang betul dan disokong oleh pengetahuan dan maklumat, keadaan ini boleh berubah menjadi keyakinan, ketenangan, semangat, kepercayaan, harapan dan jangkaan. 

 

Keperluan untuk mengurus risiko dan ketidakpastian dengan berhati-hati dan berhemat adalah penting di antara individu, keluarga, komuniti, badan korporat dan negara. 

 

Sudah tentu, sifat dan kesan risiko dan ketidakpastian akan berbeza antara kumpulan ini. Sebagai contoh, risiko dan ketidakpastian sesebuah negara berkemungkinan besar akan memberi kesan kepada seluruh negara dan dunia pada umumnya.

 

Frank Knight (1921) dalam bukunya 'Risk, Uncertainty and Profit' menjelaskan bahawa risiko dan ketidakpastian adalah 2 konsep yang berbeza. 

 

Beliau berhujah bahawa risiko adalah sesuatu yang boleh diukur dengan menggunakan kebarangkalian manakala ketidakpastian pula adalah sesuatu yang tidak boleh diukur. 

 

Bagi penulis, risiko adalah keadaan di mana terdapat kemungkinan berlakunya perkara buruk daripada hasil jangkaan yang diinginkan atau diharapkan. Risiko ialah sesuatu yang boleh diukur dengan menggunakan kebarangkalian. 

 

Ketidakpastian pula ialah perkara tidak pasti yang akan berlaku pada masa hadapan kerana tidak mempunyai maklumat penuh. Ketidakpastian adalah sesuatu yang tidak boleh diukur.

 

Konsep risiko berkait rapat dengan beban atau kebarangkalian kerugian sama ada dari segi kewangan atau bukan kewangan. 

 

Tahap kerugian besar atau kecil, bergantung pada tahap dan kemudaratan risiko itu sendiri. Sebaliknya, beban atau kebarangkalian kerugian boleh diukur dari segi peril dan bahaya (hazard) (Mehr, 1986). 

 

Untuk makluman, peril biasanya dirujuk sesuatu yang boleh menyebabkan kerugian atau ejen penghasil kerugian seperti kebakaran, ribut angin dan penyakit. 

 

Bahaya sebaliknya pula ditakrifkan sebagai keadaan yang boleh meningkatkan kemungkinan kerugian daripada bahaya tertentu seperti kecuaian, ketidakjujuran, penggunaan bahan yang lebih rendah dalam pembinaan bangunan dan gaya hidup tidak sihat. 

 

Secara mudahnya, bahaya ialah keadaan yang berpotensi menyebabkan kerugian atau kemalangan.

 

Penulis berharap perkongsian maksud risiko ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin kepada pelanggan dan bakal pelanggan takaful. - DagangNews.com

 

 

Dr Razli Ramli merupakan Pensyarah Kanan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) Universiti Teknologi Malaysia dan juga Felo Adjung Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IIiBF) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

utm

Portfolio Tags