Fat Leonard – gangster Pulau Pinang jadi penjual senjata api bertaraf dunia, merasuah Tentera Laut AS | DagangNews Skip to main content

Fat Leonard – gangster Pulau Pinang jadi penjual senjata api bertaraf dunia, merasuah Tentera Laut AS

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

BERMULA dengan kesalahan memiliki ketika baru berusia 21 tahun, Leonard Glenn Francis dihukum penjara pada usia 24 tahun.

 

Dikenali di seluruh dunia sebagai Fat Leonard kerana berat badannya pada satu ketika mencecah 160 kilogram, muncul sebagai pengedar dan penjual senjata api bertaraf dunia dengan pelanggan utamanya, Tentera Laut Amerika Syarikat (AS).

 

Dilahirkan di Pulau Pinang, Fat Leonard menerusi syarikat miliknya Glenn Defense Marine Asia (GDMA) yang berpangkalan di Singapura, memperoleh kontrak membekalkan makanan, bahan api dan keselamatan kepada Armada Ketujuh Tentera Laut AS.

 

Hubungan dan rangkaiannya dengan pihak berkuasa di Asia Tenggara adalah kunci kejayaan perniagaannya dengan Tentera Laut AS.

 

Armada Ketujuh menyelia pergerakan 60 kapal dan kapal selam, 150 pesawat dan 20,000 kelasi.


 

armada 7th

 


Fat Leonard bekerjasama dengan firma Indonesia untuk menyediakan bekalan kepada Tentera Laut AS yang mula melawat Bali ketika Teluk Subic di Filipina ditutup.

 

Antara 2006 dan 2013, Fat Leonard memikat pegawai kanan Tentera Laut AS, dengan makanan, jamuan, minuman keras, wang tunai, percutian, cerut Cuba, perabot dan jam tangan mewah serta pelacur.

 

Berikutan penahanannya pada 2013, Francis mengaku bersalah atas tuduhan rasuah, konspirasi untuk melakukan rasuah dan konspirasi untuk menipu AS pada Januari 2015, dan ditetapkan untuk dijatuhkan hukuman pada 22 September lepas.

 

Dia juga mengaku menggunakan kenalan Tentera Laut AS, termasuk kapten kapal, untuk mendapatkan maklumat sulit dan menipu Tentera Laut AS berpuluh juta dolar supaya mengemudi kapal ke pelabuhan tertentu di Pasifik (yang dikuasainya) dan memalsukan caj perkhidmatan.

 

Dalam rayuannya, Fat Leonard menamakan tujuh pegawai Tentera Laut AS yang telah menerima rasuah daripadanya.

 

Dia berdepan hukuman maksimum penjara 25 tahun dan bersetuju untuk melucut hak AS$35 juta (RM146 juta) dalam aset peribadi, jumlah yang diakuinya sebagai caj berlebihan kepada Tentera Laut AS.


 

fat leonard

 


Jabatan Kehakiman AS, yang menggelar skim itu sebagai penipuan besar yang merugikan Tentera Laut AS berpuluh juta dolar, membawa pertuduhan terhadap lebih 30 orang, kebanyakannya mengaku bersalah atau disabitkan kesalahan di perbicaraan.

 

Namun sebelum dijatuhkan hukuman pada 22 September, Fat Leonard bertindak nekad melarikan diri dari kediamannya di San Diego pada 4 September.

 

Ironinya, pada 22 September jugalah, dia ditangkap di Venezuela susulan `notis merah’ Interpol. Dia mengaku kepada pihak berkuasa mahu menuju ke Rusia – negara yang tiada perjanjian ekstradisi dengan AS.

 

Kehidupan di Pulau Pinang

Dalam satu siaran podcast tahun lalu, Fat Leonard bercerita mengenai kehidupan awalnya di Pulau Pinang.

 

Dalam podcast itu, dia memperincikan bagaimana kekurangan bimbingan daripada ibu bapanya menyebabkan dia dalam masalah apabila polis menemui pistol, mata wang asing dan jaket kalis peluru di rumahnya.

 

Pada 1989, ketika berusia 24 tahun, Fat Leonard dihukum penjara 36 bulan oleh Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang atas dua pertuduhan memiliki senjata api.

 

Asalnya, dia didakwa di Mahkamah Sesyen atas kesalahan memiliki dua .38 revolver Smith & Wesson Khas pada tahun 1986 dan berdepan hukuman mati.

 

Ibunya datang jauh dari England untuk merayu di hadapan hakim bahawa dia  telah mengabaikan Fat Leonard dan bahawa dia mempunyai bapa yang suka menipu - membawa kepada Mahkamah Sesyen melepaskannya daripada hukuman mati.

 

Mahkamah Tinggi, bagaimanapun, tidak begitu bermurah hati apabila pihak pendakwaan membuat rayuan.

 

Hakim Edgar Joseph Jr menjatuhkan hukuman 18 bulan bagi setiap pertuduhan dan enam sebatan rotan juga.

 

Hakim memutuskan bahawa mahkamah mesti menjatuhkan hukuman penjara dan sebatan tidak kurang daripada enam sebatan.


 

fat leonard
Gambar Fat Leonard semasa bekerja di Pelabuhan Pulau Pinang pada awal 1990-an. - Gambar The Star


 

Pendakwaan di AS

Fat Leonard mengaku bersalah pada 2015 dan telah dibenarkan berada dalam kurungan rumah untuk menerima rawatan perubatan sementara dia bekerjasama dengan pihak pendakwaan.

Dengan bantuannya, pendakwa raya memperoleh sabitan ke atas 33 daripada 34 defendan, termasuk lebih daripada dua dozen pegawai Tentera Laut.

 

Di samping sudut rasuah, apa yang membimbangkan pihak berkuasa AS ialah pegawai-pegawai tentera laut yang terbabit telah memberikan maklumat sulit kepada Fat Leonard mengenai pergerakan kapal, butiran kapal selam dan rancangan peluru berpandu balistik – yang dikhuatiri dikongsi dengan kuasa-kuasa asing.

 

Kesan ke atas Tentera Laut AS

Skop penyiasatan ke atas GDMA secara tidak sengaja menghalang keupayaan Tentera Laut AS untuk mengisi peranan kepimpinan kanan, dan melambatkan beratus-ratus kerjaya pegawai dan mengurangkan minat orang untuk menyertai Tentera Laut. AS

 

Beratus-ratus pegawai dan anggota yang tidak terbabit pun turut sama terkena tempias kerana pencalonan naik pangkat, contohnya mewajibkan latar belakang mereka disiasat.

 

Kes Fat Leonard tersebut menyebabkan proses kenaikan pangkat terhenti selama bertahun-tahun, menurut Ray Mabus, Setiausaha Tentera Laut (SECNAV) ketika itu.

 

"Sekiranya Fat Leonard menyebut nama seseorang, atau nampaknya kepada kami jika seseorang telah berkhidmat dalam jawatan kanan di Pasifik pada masa tersebut, yang meliputi ramai orang, mereka terperangkap dalam perkara ini sehingga nama mereka boleh ditarik keluar."

 

"Ia mengambil dalam peratusan besar pegawai bendera, dan ia benar-benar melemahkan Tentera Laut dari segi kenaikan pangkat, dari segi jawatan," ujar beliau lagi.


 

fat leonard
Gambar terbaharu Fat Leonard selepas ditangkap pihak berkuasa Venezuela pada 22 September 2022.


 

Jabatan Kehakiman, bagaimanapun, telah memajukan hampir 450 nama kepada Tentera Laut AS yang mereka enggan mendakwa di mahkamah.

 

Tentera Laut memilih untuk mengambil hanya segelintir ke mahkamah tentera, mengeluarkan sekurang-kurangnya 12 surat kecaman daripada Mabus dan penggantinya, Richard V. Spencer, dengan kira-kira 40 tindakan pentadbiran lain.

 

Pada awal 2018, terdapat kira-kira 170 nama yang masih belum selesai diproses.

 

"Ia benar-benar begitu memusnahkan pangkat atasan Tentera Laut," kata Mabus.

 

"Terdapat orang jahat di sini. Anda perlu menangkap mereka. Anda perlu memastikan mereka dihukum. Tetapi terdapat ramai orang yang tidak melakukan apa-apa yang turut  terperangkap dalam perkara ini."

 

Langkah pembetulan sistem

Pada Februari 2018, Laksamana Bill Moran, Naib Ketua Operasi Tentera Laut, mengumumkan pelaksanaan peningkatan pengawasan dan langkah serta dasar lain untuk menghalang berulangnya rasuah yang berleluasa seperti dalam kes Fat Leonard ini.

 

Tentera Laut AS telah menggantung 566 vendor, secara kekal menghalang 548 lagi daripada kontrak, menurut Jawatankuasa Penggantungan Antara Agensi dan Debarmen kerajaan.

 

Mereka termasuk GDMA dan 55 syarikat sekutunya di Pasifik. Pengawas rasuah awam mengatakan bahawa semakan dalaman terhadap cara Tentera Laut berurusan dengan kontraktor adalah penting, tetapi masalah yang lebih sukar untuk diperbaiki ialah budaya rasuah yang meracuni pangkat tertinggi Tentera Laut AS.

 

 

fat leonard

 

 

Apa seterusnya untuk Fat Leonard

Masalah untuk mendapatkan perintah ekstradisi daripada Venezuela ialah Amerika Syarikat tidak mengiktiraf kerajaan baharu negara itu, malah tidak memiliki wakil diplomatik.

 

Media AS meramalkan isu ini boleh menjadi `bahan tawar-menawar’ untuk kerajaan Venezuela untuk mendapatkan pengiktirafan sewajarnya daripada kuasa besar dunia tersebut.

 

Apa yang pasti, apabila dia kembali ke bumi Amerika kelak, pendakwa raya menyatakan Fat Leonard akan menghadapi hukuman yang lebih panjang, meminta mahkamah mengambil maklum kegagalannya untuk hadir pada perbicaraan hukumannya seperti yang diperintahkan.

 

Kesalahan itu boleh menambah lima tahun kepada kemungkinan hukuman 25 tahun jika dia akhirnya didakwa kerana tidak hadir.

 

Tarik nafas sahajalah bila membaca nama negara kita dikaitkan dengan isu tidak menyenangkan seperti ini, lagi dan lagi...

 

Johardy Ibrahim adalah Editor DagangNews.com yang pernah berkhidmat di Utusan Malaysia, Bernama, TVS dan The People's Mirror dalam kerjaya lebih 30 tahun. Merrepak adalah kolum pojok beliau setiap minggu - pertama kali diperkenalkan di Mingguan Malaysia pada 2009 yang menyentuh mengenai apa sahaja isu mencuit jiwa minda seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Lagu Tiga Kupang oleh XPDC berulang-ulang kali.