Skip to main content

FGV hasil makanan ternakan berkualiti tinggi, bekalkan ayam kampung di seluruh negara

Ketika ini, Malaysia mengeluarkan kira-kira 8 juta ekor ayam kampung setiap tahun. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 9 Ogos - FGV Holdings Berhad (FGV) melalui anak syarikatnya, FGV Integrated Farming Sdn. Bhd. (FGVIF) melancarkan makanan ternakan ayam kampung di bawah jenama ALMA. 

 

Ia merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan dalam menyahut seruan kerajaan serta meyumbang kepada agenda Sekuriti Makanan Negara dan Dasar Agromakanan Negara (NAP 2.0). 

 

Susulan itu, FGV bekerjasama dengan Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) untuk menghasilkan formulasi baharu makanan ternakan ayam kampung yang diperbuat daripada produk sampingan daripada kilang pemprosesan padi dan beras sejajar dengan inisiatif 'waste to wealth' yang dijalankan oleh Bernas.

 

Inisiatif itu dijangka mengurangkan 10% kos pengeluaran dengan menggantikan komponen bijirin jagung yang diimport. 

 

Produk sampingan sebanyak 30,000 tan metrik setahun ini akan digunakan khusus untuk menghasilkan makanan ternakan ayam kampung ALMA.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Bernas, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, kerjasama dengan FGVIF dalam pengeluaran makanan haiwan adalah sumbangan kumpulan ke arah menangani isu keselamatan makanan negara dan menambah nilai kepada produk sampingan, hasil pemprosesan padi. 

 

"Dengan kerjasama ini juga, kami menyasarkan untuk menawarkan makanan ternakan berkualiti tinggi pada harga berpatutan untuk memastikan harga ayam dan daging lembu dijual pada kadar berpatutan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

FGV
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed (empat dari kiri) bersama ADUN Guai, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh pada majlis pelancaran makanan ternakan ayam kampung FGV ALMA-Bernas dan pemasaran ayam kampung segar Ladang’57 di AEON BiG sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2022 (MAHA 2022) di Serdang, Selangor, hari ini

 

 

Selain makanan ternakan ayam kampung, FGV sebelum ini melancarkan rangkaian produk makanan haiwan ALMA untuk daging lembu, lembu tenusu, kambing dan biri-biri.

 

Ketika ini, Malaysia mengeluarkan kira-kira 8 juta ekor ayam kampung setiap tahun dan hampir 10% daripada pengeluaran itu dieksport ke Singapura, manakala selebihnya diedarkan di Kuala Lumpur, Ipoh dan Pulau Pinang. 

 

Potensi bekalan makanan ternakan untuk industri ini dijangka mencapai sebanyak 32,000 tan metrik setahun.

 

Sementara itu, bagi meningkatkan bekalan dan memastikan ketersediaan bekalan ayam kampung di pasaran, FGV secara proaktif telah menerajui Projek Pembangunan Peneroka (PPP) di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) di bawah pengurusan pertanian kontrak.

 

Bersempena majlis pelancaran itu, FGV turut mengumumkan produk ayam kampung segar yang dipasarkan di bawah jenama Ladang’57 dan boleh didapati di pasar raya besar AEON BiG seluruh negara. 

 

AEON BiG merupakan salah satu rakan pemasaran dan pengedaran yang membantu FGV menjayakan agenda Keselamatan Makanan Negara.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Mohd. Nazrul Izam Mansor berkata, usaha sama itu sejajar dengan visi FGV untuk menjadi antara syarikat perniagaan tani bersepadu terkemuka dan mampan di dunia.

 

"Kerjasama ini akan mengembangkan lagi segmen perniagaan makanan ternakan dan ternakan ayam kami," katanya. - DagangNews.com