Skip to main content

Gantung seumur hidup jika pengadil Malaysia ingkar arahan ISTAF, ASTAF

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Dis - Pengadil Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) dari Malaysia bakal digantung seumur hidup dan denda AS$10,000 (RM42,130) sekiranya terlibat dengan Kejohanan Sepak Takraw League (STL) bermula 7 Januari hingga 27 Mac ini.

 

Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat berkata, hukuman itu adalah antara tindakan disiplin yang akan dikenakan sekiranya mereka ingkar dengan peraturan yang ditetapkan.

 

Beliau berkata, sebagai pengadil yang membawa nama ASTAF dan ISTAF, adalah menjadi kewajipan untuk mereka mengikuti peraturan ditetapkan.

 

"Memandangkan mereka adalah pengadil berlesen ASTAF dan ISTAF, maka mereka terikat dengan peraturan pengadil dan wajib menghormati semua undang-undang serta peraturan.

 

"Tambahan pula, komitmen dan kewajipan sebagai pengadil seperti yang disebut dalam peraturan untuk semua pengadil seperti yang tertera dalam artikel 1.1 iaitu pengadil tidak boleh berkhidmat dalam mana-mana pertandingan tanpa kebenaran daripada ISTAF atau ASTAF atau Persekutuan Negara Gabungannya," katanya.

 

Peringatan ASTAF itu adalah yang kedua dikeluarkan selepas 2 Disember lalu susulan terdapat khabar angin menyatakan pengadil dari Malaysia enggan menuruti arahan itu.

 

Kejohanan STL tidak mendapat kelulusan dan pengiktirafan ASTAF selepas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) disingkirkan sebagai ahli gabungan badan induk sukan sepak takraw Asia. - DagangNews.com