Graduan UiTM manfaatkan platform e-dagang MOHE X SHOPEE: Siswa Mall | DagangNews Skip to main content

Graduan UiTM manfaatkan platform e-dagang MOHE X SHOPEE: Siswa Mall

Oleh Sr Ts Dr Siti Hafsah Zulkarnain & Md Faizul Khalid

 

 

SELARAS dengan perubahan arus teknologi kearah pendigitalan, penggunaan platform e-dagang juga sudah menjadi norma baru dalam mempromosikan produk perniagaan secara dalam talian.

 

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengorak langkah dengan menyediakan dana latihan kepada 5,000 orang graduan universiti awam bagi mempelajari teknik perniagaan secara e-dagang menggunakan platform Shopee.

 

Kerjasama yang diwujudkan oleh KPT bersama rakan strategik Shopee Malaysia dan 20 universiti awam telah terlaksana melalui Majlis Pelancaran MOHE X SHOPEE: Siswa Mall yang telah disempurnakan oleh Datuk Seri Dr Noraini Ahmad,  Menteri Pengajian Tinggi dalam majlis yang penuh gilang gemilang di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM pada 25 November 2021.

 

Majlis turut disaksikan secara dalam talian oleh lebih 300 orang graduan dari seluruh universiti awam yang terlibat dalam program ini.

 

Graduan UiTM yang disasarkan bagi program ini akan menerima dana latihan, baucar kedai Shopee dan kredit iklan bagi setiap perniagaan yang diwujudkan di bawah platform e-dagang ini.

 

Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) bersama Pejabat Jaringan Industri Komuniti & Alumni merupakan pusat yang bertanggungjawab dalam mempromosikan dan melaksanakan program ini kepada graduan UiTM tahun 2019, 2020 dan 2021.

 

Semoga dengan pelaksanaan program ini akan mewujudkan ekosistem perniagaan yang dinamik dalam kalangan graduan universiti bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang akan memberikan kesan positif jangka panjang kepada pembangunan ekonomi negara selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 dan Pelan Tindakan Keusahawanan 2021-2025 yang telah dilaksanakan oleh seluruh Universiti Awam di Malaysia.


 

masmed

 

masmed

 

masmed

 

 

Inisiatif ini juga dilihat mampu mewujudkan peluang penciptaan pekerjaan (job creator) dan mengubah persepsi mahasiswa dan graduan dengan melihat bidang keusahawanan sebagai pilihan kerjaya yang mampu memberikan pendapatan yang lumayan dalam perniagaan.

 

Selaras dengan hasrat UiTM untuk menjadi Universiti Keusahawanan pada tahun 2025 akan menjadi kenyataan dengan pelbagai usaha dan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh warga kampus dalam mewujudkan ekosistem keusahawanan yang kompetitif dan dinamik.

 

Usaha yang dilaksanakan secara berterusan ini akan  menjadi amalan dan budaya warga universiti serta mampu memacu kepada perubahan yang positif bagi melahirkan lebih ramai Ikon Usahawan Universiti yang menjadi kebanggaan negara pada masa akan datang. – DagangNews.com

 

 

 

Sr Ts Dr Siti Hafsah Zulkarnain adalah Pengarah Pusat Keusahawanan Mahasiswa, Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED) UiTM dan Md Faizul Khalid adalah Ketua Jabatan Inkubator Perniagaan, MASMED UiTM