Greatech meterai MOU ambil alih 60% kepentingan Kaon Automation | DagangNews Skip to main content

Greatech meterai MOU ambil alih 60% kepentingan Kaon Automation

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Greatech Technology Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MOU), berhubung cadangan pengambilalihan 60% kepentingan ekuiti dalam pakar automasi Ireland, Kaon Automation Ltd.

 

Kumpulan itu berkata, Kaon Automation terlibat dalam penyediaan penyelesaian automasi untuk syarikat pembuatan terkemuka di seluruh dunia dalam sektor peranti perubatan, automotif, elektronik dan barangan pengguna.

 

Katanya, sektor teknologi perubatan Ireland diiktiraf sebagai antara lima hab global teratas dan mempunyai reputasi terbaik untuk kepakaran bertaraf dunia dengan pusat penyelidikan dan inisiatif yang cemerlang.

 

Pengarah Eksekutif Greatech, Datuk Tan Eng Kee berkata, kombinasi kepakaran Kaon Automation dan Greatech akan memanfaatkan kekuatan kedua-dua syarikat baik dalam aspek perniagaan mahupun dalam persekitaran kesepaduan dalaman.

 

"Saya percaya bahawa sinergi yang lebih besar untuk perniagaan lebih mampan akan terhasil menerusi perkongsian yang kukuh," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Eng Kee berkata, budaya mesra orang Ireland akan meningkatkan pengaruh serta memacu rantaian nilai tambahan kepada organisasi secara holistik.

 

"Dengan usaha ini, integrasi teknologi dan budaya akan membentuk dan mengubah jangkauan pasaran kami, sambil mendedahkan bakat kami kepada globalisasi, memimpin pasukan untuk melonjak tinggi.

 

"Saya percaya bahawa dengan penglibatan yang ketara ini, Greatech akan memacu detik penentu baharu yang lebih menarik pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com