Harga getah global 2022 dijangka cecah RM10.11 | DagangNews Skip to main content

Harga getah global 2022 dijangka cecah RM10.11

Getah

KUALA LUMPUR 13 Nov. - Pasaran getah global dijangka mengalami kenaikan harga yang lebih baik menjelang separuh kedua tahun 2021.

Perkembangan itu memberi kemungkinan peningkatan harga getah global kepada AS$2.45 (RM10.11) sekilogram menjelang 2022.

Ketua Pegawai Pelaburan ALA Advisors Pte Ltd, Dar Wong berkata, situasi semasa harga getah berkemungkinan akan mengalami kejatuhan berterusan untuk tempoh separuh pertama 2021 sebelum meningkat 'berbentuk V' selepas pertengahan 2021.

"Dari sekarang sehingga Januari tahun depan, kami meramalkan harga getah bergerak tanpa banyak berubah antara AS$1.30 dan AS$1.70 sekilogram. Apabila pasaran mula mencecah pada AS$1.70 sekilogram, harga getah akan mula melonjak.

"Jika harga getah mula pulih pada tahun depan, ia akan berlaku seperti satu gelombang, sebelum mencecah paras tertinggi antara 2022 hingga awal 2024. 

"Saya yakin ia akan mencecah paras kemuncak baharu daripada apa yang kita saksikan pada 2011," jelasnya dalam Persidangan Getah Global (GRC), lapor BERNAMA.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dolar AS yang lebih lemah cenderung untuk meningkatkan semua harga komoditi dalam denominasi dolar AS.

 

getah

 

Harga getah juga mampu mencapai tahap tertinggi apabila kekuatan dolar AS mula berkurangan dalam kitaran pengembangan serta penguncupan yang kerap.

Tambahnya, unjuran harga getah akan mula berkembang secara beransur-ansur apabila Presiden AS yang baru dilantik merangka belanjawan baharu pada Mac dan April depan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC), R.B. Premadasa berkata, pengeluaran getah global dijangka menyaksikan penambahan kapasiti sehingga 2023 dan tidak lagi berkembang selepas tempoh berkenaan.

"Jika harga bertukar menjadi menarik bertepatan dengan ketiadaan pengembangan kawasan matang antara 2023 dan 2024, peladang mungkin mengamalkan langkah jangka pendek untuk memaksimumkan hasil daripada pokok sedia ada. Dalam kes tersebut, purata hasil daripada pokok matang sedia ada boleh bertambah baik dalam tempoh setahun akan datang.

"Pasaran dijangka menerima penawaran yang terhad pada 2024 atau 2025 walaupun permintaan meningkat pada pertumbuhan normal," jelasnya lagi. - DagangNews.com