Hextar Industries cadang ambil alih 100% ekuiti dalam HFL bernilai RM480 juta | DagangNews Skip to main content

Hextar Industries cadang ambil alih 100% ekuiti dalam HFL bernilai RM480 juta

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Hextar Industries Bhd. memeterai perjanjian penjualan saham bersyarat (SSA) bagi memperoleh keseluruhan kepentingan dalam Hextar Fertilizers Limited (HFL) daripada Hextar Holdings Sdn. Bhd. melibatkan pertimbangan pembelian berjumlah RM480 juta.

 

Pertimbangan pembelian itu akan dipenuhi sepenuhnya melalui terbitan 1,600,000,000 saham biasa baharu dalam Hektar Industries pada harga terbitan 30 sen sesaham.

 

Cadangan pengambilalihan itu membolehkan kumpulan meningkat kapasiti pengeluaran sedia ada daripada 75,000 tan metrik setahun kepada 679,000 tan metrik setahun.

 

Ia juga membantu Hextar Industries memanfaatkan rangkaian pengedaran meluas kumpulan HFL di seluruh Malaysia bagi mengembangkan pangkalan pengedarannya.

 

Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Hextar Industries, Datuk Chan Choun Sien berkata, perniagaan baja adalah industri yang sangat kompetitif dan kumpulan memerlukan skala untuk bersaing dengan berkesan.

 

Katanya, operasi baja HFL jauh lebih besar daripada operasi semasa Hextar Industries dan akan memberikan akses kepada rangkaian pengedaran dan kemudahan pembuatan yang mantap di Semenanjung Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

 

"Langkah ini juga disertakan dengan jaminan keuntungan sebanyak RM94 juta dalam tempoh 2 tahun kewangan.
 

 

"Dengan pertimbangan pembelian dipenuhi sepenuhnya dalam saham, kumpulan Hextar Industries dapat mengekalkan tunainya untuk operasi perniagaannya.

 

"Asas modal yang diperbesar berikutan penerbitan saham pertimbangan juga akan lebih mencerminkan skala operasi gabungan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Kumpulan HFL terdiri daripada HFL yang memegang 100% kepentingan ekuiti dalam Hextar Fertilizers Group Sdn. Bhd., yang seterusnya memegang 100% kepentingan ekuiti dalam Hextar Fert Sdn. Bhd., Hextar Solutions Sdn. Bhd. dan PK Fertilizers Sdn. Bhd.

 

Ia terlibat terutamanya dalam pembuatan, perumusan, pengedaran dan perdagangan pelbagai jenis baja serta menyediakan perkhidmatan seperti penyelesaian pengurusan tanaman, khidmat nasihat dan perundingan agronomik profesional, pembangunan produk dalaman, pembuatan adunan pukal dan penyesuaian pelbagai formulasi baja.

 

Kemudahan pembuatan kumpulan HFL terletak di Pasir Gudang (Johor), Telok Gong (Selangor), Lahad Datu (Sabah) dan Bintulu (Sarawak). - DagangNews.com