Hikmah-hikmah yang perlu dicapai Jemaah Haji | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 15 July 2022

Hikmah-hikmah yang perlu dicapai Jemaah Haji

 

 

 


 

PARA tetamu Allah SWT perlu menzahirkan perasaan syukur kerana berpeluang menunaikan ibadah haji pada tahun ini dan perlu dimanfaatkan sebaiknya.

 

Jemaah haji perlu juga memahami dan menggali hikmah disebalik ibadah haji yang telah dilaksanakan supaya kekal istiqamah dan konsisten melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT sekembali ke Tanah Air tercinta.

 

Sewajarnya, ibadah haji yang telah dilaksanakan mampu memberi impak yang positif terhadap perubahan dan penambahbaikan diri individu yang melaksanakan dan juga kepada masyarakat umumnya.

 

Terdapat beberapa hikmah disebalik pelaksanaan ibadah haji yang perlu dicapai dan diusahakan oleh masyarakat Islam yang berpeluang menunaikan haji:

 

1. Mengesakan Allah SWT dan menolak segala bentuk amalan syirik dan khurafat

Kesempurnaan ibadah haji tidak dapat diraih kecuali dengan niat semata-mata kerana Allah SWT.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah), ketika Kami memberikan tempat kepada Ibrahim di Baitullah (dengan mengatakan): "janganlah kamu mensyirikkan sesuatupun dengan Aku dan sucikanlah rumah-Ku ini bagi orang yang tawaf, dan orang yang beribadat dan orang yang ruku’ dan sujud.” (Surah al-Hajj: 26)

 

Ibadah haji difardukan pada tahun kesembilan Hijrah, namun Nabi SAW tidak menunaikan haji pada tahun tersebut kerana perbuatan syirik masih menebal di Masjidilharam.

 

Justeru, tindakan Nabi SAW ini menunjukkan bahawa tujuan utama ibadah haji ialah membebaskan amalan haji dari percampuran amalan kesyirikan.

 

Setahun sebelum melaksanakan ibadah haji, Nabi SAW telah mengutuskan Saidina Abu Bakar untuk memaklumkan kepada manusia agar tidak melakukan tawaf dalam keadaan telanjang dan orang musyrikin tidak dibenarkan lagi menunaikan ibadah haji.


 

irsyad

 


2. Mengukuhkan dan sentiasa mengingati Allah SWT di setiap masa dan tempat

Zikir dari segi bahasa menyebut, mengucapkan, mengagungkan dan mengingati. Zikir ialah mengingati Allah SWT dengan sepenuh hati, jiwa dan perasaan dalam setiap gerak hidup.

 

Allah SWT berulang kali memerintahkan untuk berzikir kepadaNya ketika melaksanakan ibadah haji. Firman Allah SWT yang bermaksud:

 

“Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang bendoa: Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia, dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.” (Surah al-Baqarah: 200)

 

Menurut al-Baydawi dalam kitab tafsirnya menjelaskan perkataan ‘berzikirlah’ dalam ayat tersebut adalah menunjukkan kepada matlamat utama daripada ibadah haji ialah mengingati Allah SWT yang disembah dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

 

Seterusnya, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya disyariatkan tawaf dan sa‘ie di antara Safa dan Marwah ialah kerana untuk menegakkan zikrullah.” (Riwayat Abu Dawud)

 

3. Memahami pelaksanaan ibadah haji didasarkan pada asas kemudahan dan pilihan

Tanggapan yang menyatakan bahawa pelaksanaan ibadah haji tidak diterima oleh Allah SWT sekiranya tanpa menempuh kesusahan adalah salah dan tidak benar.

 

Tidak dinafikan wujud pelbagai ujian kesulitan dan kepayahan seperti kepenatan, lapar, haus, panas dan sebagainya kepada jemaah haji. Namun, Islam adalah agama sesuai dengan fitrah manusia meraikan kemudahan dan tidak pernah membebankan.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Dia (Allah) sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama sesuatu kesukaran.” (Surah al-Hajj: 78

 

Seterusnya, Allah SWT berirman yang bermaksud: ) “Allah menghendaki kemudahan bagimu dan tidak menginginkan kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah: 185)

 

Justeru, masyarakat Islam perlu memahami bahawa kemudahan dan keringanan sentiasa mengiringi manusia dalam setiap urusan samada ibadah mahupun kehidupan.


 

irsyad

 


4. Melazimi ketenangan semasa melakukan ibadah

Ketenangan dalam beribadah menghasilkan khusyuk. Khusyuk merupakan jiwa dan roh kepada ibadah. Ibadah yang tidak dijiwai dengan khusyuk hanyalah ibadah yang sia-sia dan menghasilkan kepenatan.

 

Shaikh Dr. Yusuf al-Qaradawi menjelaskan khusyuk terbahagi kepada dua iaitu khusyuk hati dan khusyuk anggota badan. Khusyuk hati ialah merasakan pengawasan dan kehebatan Allah SWT. Khusyuk anggota merupakan pelengkap dan manifestasi daripada khusyuk hati seseorang yang sedang beribadah.

 

Nabi SAW melaksanakan ibadah haji dalam keadaan tenang tanpa tergopoh-gapah atau tergesa-gesa. Nabi SAW menasihatkan Sahabat RA supaya tidak memukul binatang tunggangan untuk mempercepatkan perjalanan berangkat untuk meninggalkan Arafah menuju ke Muzdalifah.

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Wahai manusia, bertenanglah, bertenanglah! setiap kali melalui tempat tinggi, Baginda akan mengendurkan tali kekang untuk memudahkan binatang tunggangan berjalan.” (Riwayat Muslim)

 

Selain itu, Nabi SAW turut mengingatkan supaya tidak ergesa-gesa dalam melaksanakan lontaran ‘jamrah’ dalam sebuah hadis yang bermaksud:

 

“Wahai manusia! janganlah di kalangan kamu membunuh sebahagian yang lain, apabila kamu melontar ‘jamrah’, maka lontarkanlah dengan batu kerikil (sebesar kacang dal).” (Riwayat Abu Dawud)

 

Kesempurnaan ibadah haji bukan diukur dengan kecepatan menyelesaikan atau ukuran kuantiti yang dilakukan. Kayu ukur yang sebenar ialah kualiti ibadah untuk mencapai darjat taqwa di sisi Allah SWT.


 

irsyad

 


5. Sentiasa bersedia mentarbiah diri untuk penyempurnaan akhlak

Ibadah haji mengukuhkan penyucian jiwa hamba daripada nafsu syahwat. Ibadah haji merupakan peluang untuk muhasabah diri dan berusaha meninggalkan sifat mazmumah dengan digantikan sifat mahmudah.

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Musim haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, sesiapa yang menetapkan niatnya pada bulan itu untuk menunaikan haji, maka janganlah berkata lucah dan kotor, berbuat fasik dan berbantah-bantah di dalam masa mengerjakan haji.” (Surah al-Baqarah: 197)

 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah SWT itu baik. Dia tidak menerima sesuatu melainkan yang baik. Sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kepada orang yang beriman seperti yang diperintahkanNya kepada Rasul.” (Riwayat Muslim)

 

Demikianlah, masyarakat Islam dituntut memahami dan mengetahui hikmah disebalik ibadah haji supaya terus kekal momentum beribadah kepada Allah SWT. - DagangNews.com

 

DR. AZRI BIN BHARI merupakan Pakar Rujuk Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor.

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL IRSYAD
Portfolio Tags